#4383: Matlamat Tidak Menghalalkan Cara

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mengambil iktibar daripada kisah saudara Nabi Yusuf yang bertindak zalim kepada Nabi Yusuf, apa iktibar yang kita dapat ambil?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَلَمَّا ذَهَبُوا۟ بِهِۦ وَأَجْمَعُوٓا۟ أَن يَجْعَلُوهُ فِى غَيَـٰبَتِ ٱلْجُبِّ ۚ وَأَوْحَيْنَآ إِلَيْهِ لَتُنَبِّئَنَّهُم بِأَمْرِهِمْ هَـٰذَا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ ١٥ وَجَآءُوٓ أَبَاهُمْ عِشَآءًۭ يَبْكُونَ ١٦ قَالُوا۟ يَـٰٓأَبَانَآ إِنَّا ذَهَبْنَا نَسْتَبِقُ وَتَرَكْنَا يُوسُفَ عِندَ مَتَـٰعِنَا فَأَكَلَهُ ٱلذِّئْبُ ۖ وَمَآ أَنتَ بِمُؤْمِنٍۢ لَّنَا وَلَوْ كُنَّا صَـٰدِقِينَ ١٧ وَجَآءُو عَلَىٰ قَمِيصِهِۦ بِدَمٍۢ كَذِبٍۢ ۚ قَالَ بَلْ سَوَّلَتْ لَكُمْ أَنفُسُكُمْ أَمْرًۭا ۖ فَصَبْرٌۭ جَمِيلٌۭ ۖ وَٱللَّهُ ٱلْمُسْتَعَانُ عَلَىٰ مَا تَصِفُونَ

Maksudnya: Lalu Nabi Yaakub membenarkan mereka pergi membawa Yusuf bersama. Ketika mereka bersepakat untuk membuangnya ke dasar perigi, Kami wahyukan kepada Yusuf, “Engkau akan selamat dan sesungguhnya suatu hari nanti engkau akan menceritakan sendiri kepada mereka tentang perbuatan mereka ini, dan ketika itu mereka sudah lupa mengenainya.” Kemudian saudara-saudaranya pulang pada waktu senja sambil berpura-pura menangis. Mereka berkata, “Wahai ayah! Sesungguhnya kami telah pergi bermain berlumba-lumba dan kami tinggalkan Nabi Yusuf untuk menjaga barang-barang kami seorang diri, lalu dia dimakan serigala. Sesungguhnya engkau tidak akan percaya kepada kami walaupun kami berkata benar.” Mereka pulang menunjukkan baju Nabi Yusuf yang berlumuran dengan darah yang palsu. Lalu Nabi Yaakub pun berkata, “Hakikatnya kamu telah mengikuti nafsu kamu ketika melakukan sesuatu. Maka hanya bersabar sahaja yang terbaik bagiku dan hanya kepada Allah-lah aku memohon diberi kekuatan menghadapi apa yang kamu telah ceritakan ini.”

(Surah Yusuf: 15-18)

Ayat-ayat ini menceritakan berkenaan sifat hasad dan dendam yang bersarang di dalam hati saudara-saudara Yusuf A.S yang ingin memisahkannya daripada bapa mereka, Nabi Yaakub A.S dengan melakukan tipu daya dan rancangan jahat, perancangan dan perjalanan jahat mereka diceritakan pula di dalam kumpulan ayat ini, namun bimbingan dan perlindungan Allah SWT telah janjikan ke atas Nabi Yusuf A.S daripada segala kejahatan musuh, lalu di sinilah bermulanya penceritaan akan cabaran perjuangan dakwah yang dihadapi Nabi Yusuf A.S. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/524)

Matlamat Tidak Menghalalkan Cara

Saudara-saudara Nabi Yusuf A.S melakukan perkara yang salah kerana memperdayakan Nabi Yaakub A.S dan menzalimi Nabi Yusuf A.S. Kesemua ini dilakukan bagi mencapai matlamat supaya mereka mendapat perhatian yang lebih di sisi Nabi Yaakub A.S. Cara yang dilakukan ternyata salah biarpun bermatlamatkan sesuatu yang baik. Mereka tidak sedar bahawa dorongan utama dalam perkara ini ialah sifat hasad dan cemburu dalam diri mereka terhadap kelebihan dan keistimewaan yang ada pada Nabi Yusuf A.S.

Dalam kaedah syarak, matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Perkara ini dapat difahami berdasarkan kaedah Fiqh:

الْوَسَائِلُ لَهَا أَحْكَامُ الْمَقَاصِدِ

Maksudnya: “Semua wasilah atau cara, hukumnya adalah seperti hukum maqasid (maksud yang hendak dicapai).”

Kaedah ini memberi maksud bahawa segala cara atau jalan mempunyai hukum-hukum yang dimaksudkan. Jika sekiranya maksud yang hendak dicapai adalah buruk dan jahat, maka sebarang bentuk cara dan wasilah adalah ditegah. Begitu juga hendaklah difahami sebarang bentuk maksud dan tujuan sekalipun baik tetapi tidak harus digunakan untuk mencapai ke arah itu kecuali dengan cara-cara yang harus.

Sesetengah pihak mengamalkan konsep yang salah terutamanya dalam arena politik. Politik Machiavelli membenarkan kelakuan tidak bermoral seperti penipuan dan pembunuhan orang yang tidak bersalah adalah taktik biasa dan berkesan dalam berpolitik untuk kepentingan kekuasaan. Teori politik ini diasaskan Niccolo Machiavelli (meninggal 1527) merupakan seorang ahli falsafah, diplomat dan penulis yang berasal dari Itali semasa Zaman Renaissance. Beliau juga merupakan salah seorang pengasas utama sains politik moden. Politik Machiavelli adalah tertolak di sisi syarak kerana mengaburi rakyat meskipun dengan tujuan menjalankan kebaikan dalam kerajaan setelah memperolehi kuasa. Politik Machiavelli mengenepikan nilai-nilai murni dan persoalan halal dan haram. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/526-528)

Apa-apa yang membawa kepada haram, maka hukumnya haram seumpamanya. Contohnya menjual anggur adalah harus pada asal. Tetapi jika diketahui bahawa pembeli mahu membeli bagi memproses menjadikannya arak, maka jualan kepadanya adalah haram. Sama juga dalam isu menjual senjata, pada asalnya hukumnya harus, tetapi jika dijual senjata kepada seseorang atau kumpulan yang mahu merompak, maka hukumnya adalah haram. Inilah yang dimaksudkan dengan: (الوسائل لها أحكام المقاصد).

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

(Surah al-Maidah: 2)

Syeikh al-Sobuni berkata: Iaitu bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara melakukan kebaikan dan kebajikan dan meninggalkan kemungkaran serta (bertolong-tolonganlah dalam) perkara yang membawa ketaatan kepada Allah SWT. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/301)

Kaedah ini telah disebut oleh ramai ulama’ dan fuqaha’ antaranya adalah Imam al-Qarafi dalam kitabnya al-Furuq. Kata beliau: Kaedah ini iaitu “الوسائل تتبع المقاصد في أحكامها” (Segala wasilah atau cara mengikut hukum maksud atau tujuan). Dan cara ini hendaklah difahami, jika ianya haram maka hukumnya haram dan jika wasilahnya wajib, maka hukumnya wajib. Begitulah baki pada hukum-hukum yang lain. (Lihat al-Furuq, 3/111-112)

Imam al-Tufi pula menyebut bahawa ia termasuk dalam kaedah kulliy iaitu yang umum bukan bersifat cabang. (Lihat Mukhtasar al-Raudhah, 3/89)

al-Imam al-Syafi’ie pula menyebut dalam kitabnya: Segala bentuk zara’i’ yang membawa kepada yang halal dan haram adalah seumpama yang membawa kepada makna-makna yang halal dan haram” (Lihat al-Umm, 4/57)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa kaedah yang seringkali kita dengar iaitu “الغاية تبرر الوسيلة” (matlamat menghalalkan cara) dengan maksud jika matlamatnya baik, maka tidak ditegah daripada mencapai ke arah itu walaupun dengan pelbagai cara yang diharamkan, adalah menyimpang daripada kebenaran dan ajaran Islam, bahkan ia diharamkan kerana matlamat yang baik tidak boleh dilakukan dengan wasilah yang haram seperti mencuri dengan bertujuan untuk bersedekah. Kaedah seperti ini bercanggah dengan agama Islam yang mulia.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)