#4384: Sikap Profesionalisme dalam Politik

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mengambil iktibar daripada sikap nabi Yusuf dengan saudara-saudaranya, apakah yang dapat kita fahami?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَمَّا فَتَحُوا۟ مَتَـٰعَهُمْ وَجَدُوا۟ بِضَـٰعَتَهُمْ رُدَّتْ إِلَيْهِمْ ۖ قَالُوا۟ يَـٰٓأَبَانَا مَا نَبْغِى ۖ هَـٰذِهِۦ بِضَـٰعَتُنَا رُدَّتْ إِلَيْنَا ۖ وَنَمِيرُ أَهْلَنَا وَنَحْفَظُ أَخَانَا وَنَزْدَادُ كَيْلَ بَعِيرٍۢ ۖ ذَٰلِكَ كَيْلٌۭ يَسِيرٌۭ (٦٥) قَالَ لَنْ أُرْسِلَهُۥ مَعَكُمْ حَتَّىٰ تُؤْتُونِ مَوْثِقًۭا مِّنَ ٱللَّهِ لَتَأْتُنَّنِى بِهِۦٓ إِلَّآ أَن يُحَاطَ بِكُمْ ۖ فَلَمَّآ ءَاتَوْهُ مَوْثِقَهُمْ قَالَ ٱللَّهُ عَلَىٰ مَا نَقُولُ وَكِيلٌۭ

Maksudnya: “Apabila mereka membuka barang-barang yang dibawa pulang, mereka dapati bukan hanya bekalan makanan yang diperoleh, tetapi juga barang dagangan yang dibawa turut dipulangkan kepada mereka. Lantas mereka berkata, “Wahai ayah, kebaikan apa lagi yang kita inginkan? Lihatlah, barang dagangan kita dipulangkan. Jika kami pergi sekali lagi bersama saudara kami, kami dapat membawa lagi bekalan makanan kepada keluarga kita. Kami akan jaga saudara kami ini dan kita akan dapat bekalan makanan tambahan sebanyak yang mampu ditanggung seekor unta lagi. Ia sangat mudah bagi pemerintah Mesir untuk menunaikannya.” Bapa mereka berkata, “Aku sama sekali tidak akan membenarkannya untuk pergi bersama kamu semua sehinggalah kamu memberikan janji kepadaku dengan bersumpah atas nama Allah bahawa kamu akan membawanya kembali kepadaku, kecuali jika kamu ditawan musuh.” Apabila mereka selesai memberikan janji mereka maka bapa mereka berkata, “Allah menjadi saksi atas apa yang kita ucapkan.”

(Surah Yusuf: 65-66)

Berdasarkan ayat ini dan sebelumnya, secara ringkasnya Nabi Yusuf A.S kemudiannya diberi tawaran oleh raja untuk menjadi menteri dengan portfolio menjaga perbendaharaan negara. Lalu dalam tema ini dikisahkan pula mengenai kecemerlangan Nabi Yusuf A.S dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut. Tujuh tahun pertama menyaksikan kesuburan tanaman yang luar biasa, maka Baginda telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengumpulkan hasil tanaman bagi kegunaan pada tujuh tahun kemarau panjang yang akan datang. Kehebatan pengurusan dan ketinggian profesionalisme Nabi Yusuf A.S dalam menjaga ekonomi Mesir telah menarik minat peniaga luar negara termasuklah saudara-saudaranya yang tinggal di Palestin untuk mengadakan transaksi dagangan bagi mendapatkan bekalan makanan. Seterusnya, bermulalah penceritaan kisah di antara Nabi Yusuf A.S dan saudara-saudaranya, dan bagaimana Baginda menggunakan kebijaksanaannya dalam menegakkan kebenaran dan memberikan pengajaran kepada saudara-saudaranya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/553)

Sikap Profesionalisme dalam Politik

Kisah Nabi Yusuf A.S dalam ayat ini menyerlahkan susuk keperibadian Nabi Yusuf A.S sebagai seorang pemimpin yang mempunyai ciri profesionalisme yang tinggi. Baginda melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Menteri Perbendaharaan dengan begitu cemerlang sekali. Karakter ahli politik yang penuh berhikmah dan profesionalisme dalam mengatur strategi penguasaan berlandaskan keadilan, mengutamakan rakyat daripada dirinya sendiri khususnya di waktu kesusahan, bertimbang rasa dalam pengagihan makanan dan selainnya. Namun, realiti hari ini menunjukkan sikap rakus dan tamak ahli politik yang jauh daripada bimbingan wahyu yang terkandung di dalam surah Yusuf ini.

Berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2019 yang membabitkan 180 negara di seluruh dunia, menyaksikan Malaysia berada di kedudukan ke-51 dengan skor 53. Kedudukan pertama dalam CPI 2019 diraih dua negara yang masing-masing mencatatkan skor 87, iaitu New Zealand dan Denmark, disusuli Finland (86), manakala tempat ketiga dikongsi Singapura, Sweden serta Switzerland. Namun, apa yang lebih menyedihkan, negara yang dibelenggu pertelagahan, peperangan dan konflik, iaitu Somalia, Sudan Selatan, Syria, Yaman serta Venezuela pula berada di kedudukan lima terbawah dalam CPI 2019. Bagi Malaysia, CPI 2020, hanya ada dua kemungkinan iaitu sama ada Malaysia terus memperbaiki kedudukan dan gemilang atau merudum disebabkan pelbagai faktor yang mempengaruhi persepsi membabitkan salah laku, rasuah, penyelewengan, ketelusan kerajaan serta manipulasi kuasa.[1]

Berdasarkan laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2019 ini, negara non-muslim menunjukkan reputasi terbaik dan bersih daripada amalan rasuah dalam kalangan pemimpinnya, negara itu ialah New Zealand, Denmark dan Finland. Sementara negara-negara Islam terpalit dengan amalan yang sama sekali bukan datangnya daripada ajaran Islam. Seharusnya negara Islam menjadi contoh bagi negara-negara bukan Islam, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Justeru, Surah Yusuf mengajar umat hari ini agar kembali mengambil pelajaran daripada kepemimpinan Nabi Yusuf A.S agar kegemilangan Islam kembali menerangi bumi. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/555-556)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, sikap profesionalisme dalam pekerjaan dan juga dalam usaha menegakkan kebenaran, hendaklah dengan menggunakan kebijaksanaan dan juga ketenangan. Kisah pengalaman Nabi Yusuf A.S ini adalah pengalaman manusiawi yang diakhiri dengan kejayaan di dunia dengan menjadi menteri di Mesir dan di akhirat sebagai muhsinin. Resepinya ialah ketakwaan, kesabaran dan sentiasa bersikap positif dalam segala tindakan. Amalkanlah resepi ini nescaya akan ada kemanisan di penghujungnya. Berlaku jujurlah dalam segala urusan kerana satu kali kita mengkhianatinya, maka tiada lagi kepercayaan orang lain terhadap diri kita.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ لَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوْبِنَا مَنْ لَا يَخَافُكَ فِيْنَا وَلَا يَرْحَمُنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan pemimpin kami – disebabkan dosa-dosa kami – orang yang tidak takut kepada-Mu dan tidak mempunyai belas kasihan kepada kami.” (Lihat al Mustadrak ‘ala Majmu’ Fatawa, 3/108)

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/01/649272/cpi-2019-malaysia-lonjak-ke-tangga-51  (tarikh capaian: 24.6.2020. 4.57pm)