#4386: Bukti Sains Berkenaan Kewujudan Allah dan Kebenaran al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami berkenaan kewujudan Allah dan kebenaran al-Quran melalui sains?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

الٓمٓر ۚ تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱلْكِتَـٰبِ ۗ وَٱلَّذِىٓ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ ٱلْحَقُّ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يُؤْمِنُونَ (١) ٱللَّهُ ٱلَّذِى رَفَعَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ بِغَيْرِ عَمَدٍۢ تَرَوْنَهَا ۖ ثُمَّ ٱسْتَوَىٰ عَلَى ٱلْعَرْشِ ۖ وَسَخَّرَ ٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ ۖ كُلٌّۭ يَجْرِى لِأَجَلٍۢ مُّسَمًّۭى ۚ يُدَبِّرُ ٱلْأَمْرَ يُفَصِّلُ ٱلْـَٔايَـٰتِ لَعَلَّكُم بِلِقَآءِ رَبِّكُمْ تُوقِنُونَ

Maksudnya: Alif, Lam, Mim, Ra. Ini ialah ayat-ayat al-Quran yang tinggi kedudukannya. Apa yang diturunkan kepada kamu wahai Muhammad daripada Tuhanmu adalah benar. Malangnya ramai manusia tidak beriman dengannya. Allah yang telah mengangkat langit itu tanpa tiang sebagaimana kamu melihatnya, kemudian Dia menguasai pentadbiran makhluk-Nya atau bersemayam di atas arasy (tidak sama dengan makhluk). Dia telah menundukkan matahari dan bulan untuk manfaat makhluk-Nya. Semuanya hanya bergerak mengikut masa yang telah ditetapkan. Bahkan Dia mengurus tadbir semua perkara. Dia menjelaskan tanda-tanda kebesaran-Nya dengan terperinci agar kamu yakin pertemuan dengan Tuhanmu.

(Surah al-Ra’d: 1-2)

Ketika mana ramai manusia yang masih tidak beriman kepada Allah SWT, Dia mengemukakan beberapa dalil nyata yang membuktikan kewujudan, keesaan dan kudrat-Nya. Ada antaranya yang berbentuk samawi (langit) dan ada yang terdapat di bumi. Antara dalil tersebut adalah Allah SWT meninggikan langit tanpa tiang yang menyokongnya sebagaimana kamu melihatnya. Ini berdasarkan perintah dan arahan-Nya semata-mata. Kemudian Dia beristiwa’ di atas arasy yang dijadikannya sebagai pusat pentadbiran-Nya dengan makna yang selayak dengan keagungan dan kekuasaan-Nya. Dia mentadbir urusan kerajaan-Nya dengan penuh peraturan berdasarkan kehendak ilmu-Nya dan penuh tekun serta kemas berdasarkan kehendak dan kebijaksanaan-Nya. Dia juga mempermudahkan matahari dan bulan dan menjadikan kedua-duanya tunduk dan patuh terhadap segala arahan yang diberikan kepada kedua-duanya bagi memberi manfaat kepada seluruh makhluk-Nya. Kedua-duanya hanya beredar di atas orbit yang ditentukan pada waktu yang tertentu. Matahari mengelilingi orbitnya dalam masa setahun, manakala bulan pula mengelilingi orbitnya dalam masa sebulan. Peredaran setiap satu daripada keduanya tidak menyalahi sistem yang telah ditentukan. Maka setelah menyebutkan bukti-bukti ini, Allah SWT menyatakan bahawa Dialah Tuhan yang mentadbir segala urusan kerajaan-Nya dalam keadaan dan suasana yang paling sempurna. Maka Tuhan yang mampu mencipta dan mentadbir semua perkara ini pastilah yang mampu untuk membangkitkan semula manusia daripada kematian mereka untuk perhitungan pada hari akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 13/64)

Sains Bukti Kewujudan Allah SWT dan Kebenaran al-Quran

Antara ciri dan keunikan uslub surah-surah Makkiyyah dalam al-Quran al-Karim adalah penerangan dan penyingkapan aspek sains menerusi ayat-ayat kauniyyah, iaitu ayat-ayat yang menceritakan tentang kejadian dan penciptaan alam. Aspek sains ini menjadi salah satu tema utama di dalam surah-surah Makkiyyah sebagai suatu bukti dan dalil yang amat nyata terhadap pengukuhan rukun iman yang pertama iaitu beriman terhadap kewujudan Tuhan Yang Maha Berkuasa yang mencipta alam yang kompleks dan mengkagumkan ini.

Banyak fenomena alam semesta yang mana bila dikaji secara terperinci, boleh menafikan pendapat yang mengatakan alam ini wujud dengan sendirinya, dan secara tidak langsung menjadi bukti kepada wujudnya Tuhan Yang Maha Mencipta. Fenomena sains yang diceritakan di dalam al-Quran ini merentasi pelbagai bidang sains seperti kosmologi, geologi, biologi manusia dan haiwan, fizik dan juga kimia. Apa yang lebih menarik, sebahagian fenomena sains yang dibentang di dalam al-Quran ini hanya dapat disahkan dan disingkap menerusi penemuan kajian moden pada kurun ini. Hakikatnya penemuan-penemuan tersebut mengesahkan kebenaran mukjizat al-Quran yang mendahului lebih 1400 tahun dalam menerangkan aspek sains tersebut, dan ia menjadi bukti dan dalil yang nyata terhadap pengukuhan rukun iman yang lain iaitu beriman kepada kebenaran kitab al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT.

Sebagai penegasan kepada bukti kekuasaan Allah SWT dalam aspek sains ini, Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Fussilat ayat 53 bahawa Dia akan sentiasa menyingkap kepada manusia tanda-tanda kekuasaan-Nya. Firman Allah SWT: Kami akan memperlihatkan mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di seluruh pelusuk langit dan bumi serta pada diri mereka sendiri agar jelas kepada mereka bahawa al-Quran itu benar. Adakah masih tidak cukup bagi mereka bahawa Tuhanmu telah membuktikan kebenaran al-Quran dan Dia menyaksikan semua perkara? (Surah Fussilat: 53).

Justeru, pada zaman ledakan sains dan teknologi ini, seharusnya apa jua penemuan sains perlu bersandarkan keimanan kepada Allah SWT. Konsep yang disebut sebagai sains tauhidik ini akan melahirkan umat Islam yang mempunyai tradisi keilmuan yang tinggi dan lebih bertakwa kepada Allah SWT. Umat Islam yang mempunyai minda sebegini tidak mengehadkan ilmu dengan hanya apa yang diperolehi melalui cerapan berdasarkan akal semata-mata tetapi ia melangkaui dengan ilmu Allah SWT yang kadangkala tidak boleh dicerap menggunakan pancaindera dan akal yang saintifik tetapi hanya melalui keyakinan yang tinggi kepada Allah SWT semata-mata. Ilmu yang mendasari konsep sains tauhidik tidak terbatas dengan penemuan  akal manusia secara fizikal tetapi juga melalui pembacaan ilmu Allah yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Akhirnya, ilmu tersebut dapat mengenalkan manusia kepada Allah SWT sebagai Penciptan Yang Maha Agung. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/589-590)

Kesimpulan

Mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW adalah al-Quran itu sendiri. Oleh itu, umat Islam berkewajipan untuk membaca, memahami dan menghayati segala kandungan yang ada di dalamnya bagi meneguhkan keimanan terhadap kebenaran Islam.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.