#4406: Sikap Rahmat Sesama Islam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah kita diminta bersikap rahmat sesama islam dan tegas selain daripada mereka? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

(Surah al-fath:29)

Menjawab bagi persoalan di atas Di antara sikap para sahabat R.Anhum yang dijelaskan oleh al-Quran adalah bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama umat Islam dan sebaliknya mereka bersikap keras dan tegas dalam berinteraksi terhadap orang kafir yang memusuhi Islam. Ketegasan mereka terpancar melalui keazaman mereka untuk memerangi musyrikin Makkah yang dimaklumi sangat kuat menentang dakwah Rasulullah SAW sehingga membawa kepada mereka menghalau, membunuh dan memerangi umat Islam. Kalaulah tidak kerana suruhan memeterai Perjanjian Hudaibiyah, nescaya para sahabat pasti akan memerangi mereka pada waktu tersebut.

Pasti sifat dan akhlak terpuji mereka yang ditonjolkan melalui Surah al-Fath ini untuk dijadikan ikutan dan pedoman hidup bagi umat Islam yang hidup selepas mereka. Ini kerana mereka merupakan sebaik-baik manusia yang lahir daripada madrasah dan didikan Rasulullah SAW sendiri. Lantaran itu Rasulullah SAW sendiri mengiktiraf kehebatan mereka dengan menyifatkannya sebagai “sebaik-baik kurun”.

Dalam konteks semasa, mutakhir ini lahir sekelompok umat Islam yang mencanang slogan Islam sebagai agama rahmat kepada sekalian alam dengan bersandar kepada ayat 107 Surah al-Anbiya’ (  وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ  ) . Slogan yang dicanang ini hakikatnya adalah suatu kebaikan yang dapat menjelaskan sisi kebaikan pada agama Islam kepada semua lapisan masyarakat sama ada Islam atau bukan Islam, khususnya dalam mengimbangi ledakan isu Islamofobia dalam kalangan bukan Islam masa kini.

Namun, perlaksanaan slogan ini ada kalanya dilihat tergelincir apabila dinilai dari lensa sifat dan sikap para sahabat yang dijelaskan di dalam ayat terakhir Surah al-Fath ini. Ini kerana perlaksanaan slogan tersebut, mereka bersikap sebaliknya dengan melayani saudara Islam mereka dengan secara kasar dan keras, sebaliknya bersifat lemah lembut dan apologetik terhadap golongan kafir yang hakikatnya diketahui membenci dan memusuhi Islam dan umatnya.

Justeru, pengenalan dan perlaksanaan slogan tersebut dalam konteks kemasyarakatan merupakan suatu langkah yang amat terpuji. Namun proses menterjemahkannya dalam tindakan perlu dilaksanakan dengan lebih teliti khususnya dalam memelihara prinsip-prinsip Islam dan supaya ketelusan tidak dibayangi motif tertentu. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/372-373)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.

Wallahu A’lam