#4424: Benarkah Dakwaan Mengenai Kelebihan Kayu Kokka

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan berkenaan kayu kokka. Benarkah ia mengandungi kelebihan tertentu sebagaimana didakwa, lebih-lebih lagi dikatakan Nabi Nuh A.S membuat bahtera daripada kayu tersebut, begitu juga dikatakan tongkat Nabi Musa A.S diperbuat daripada kayu tersebut. Sehinggakan sesetengah orang percaya tasbih dan cincin yang diperbuat daripada kayu kokka, jika direndam dalam air dapat menyembuhkan penyakit bagi orang yang meminumnya dan melindungi pemakainya daripada syaitan dan sihir? Apakah pandangan Islam mengenainya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terlebih dahulu kami ingin nyatakan bahawa pandangan Islam mesti berasaskan kepada kitab Allah (al-Quran) atau sunnah Nabi SAW atau ijma‘ para Imam yang mujtahid berkenaan dengan sesuatu pendapat atau hukum tertentu. Sekiranya al-Kitab, al-Sunnah dan Ijma‘ ulama tidak ada menyebutkan apa-apa hukum atau pendapat mengenai sesuatu perkara, maka perkara tersebut tidak boleh dikatakan sebagai pendapat menurut Islam atau pandangan menurut lensa Syariah Islamiyyah.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa sesungguhnya al-Kitab, al-Sunnah dan pendapat para fuqaha tidak ada yang menyebutkan atau menyentuh berkenaan isu berkaitan kayu kokka; sama ada yang menyatakan bahawa Nabi Nuh A.S membuat bahteranya daripada kayu tersebut, begitu juga dengan tongkat Nabi Musa A.S, begitu juga berkenaan pembuatan tasbih dan cincin daripadanya. Justeru, selagi mana syarak diam atau tidak menyebutkan apa-apa berkenaannya, maka tidak boleh sesiapapun mendakwa bahawa bahtera Nabi Nuh A.S dan tongkat Nabi Musa A.S diperbuat daripada kayu tersebut.

Sekalipun begitu, berkenaan pembuatan tasbih dan cincin daripada kayu tersebut termasuk dalam perkara yang diharuskan kerana syarak diam (tidak menyebutkan apa-apa) mengenai hukumnya. Jadi, ia kembali kepada hukum asalnya iaitu diharuskan. Hal ini adalah bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Adapun berkenaan dakwaan bahawa merendamkan kayu kokka tersebut ke dalam air dapat memberikan kesembuhan beberapa penyakit, maka kami katakan bahawa ia bergantung atau kembali semula kepada konsep tajribah (pengalaman) dengan syarat-syarat tertentu dan ia tidak ada kaitan dengan syarak.

Sebahagian ahli tafsir menyebutkan dalam kitab tafsir mereka, ketika menafsirkan ayat 38 daripada Surah Hud:

وَيَصْنَعُ ٱلْفُلْكَ وَكُلَّمَا مَرَّ عَلَيْهِ مَلَأٌۭ مِّن قَوْمِهِۦ سَخِرُوا۟ مِنْهُ ۚ قَالَ إِن تَسْخَرُوا۟ مِنَّا فَإِنَّا نَسْخَرُ مِنكُمْ كَمَا تَسْخَرُونَ

Maksudnya: “Dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu, dan tiap-tiap kali sepuak dari kaumnya melalui tempat ia membina bahteranya, mereka mengejek-ejeknya. Nabi Nuh pun menjawab: ‘Jika kamu memandang kami bodoh (kerana membuat bahtera ini), maka sesungguhnya kami juga memandang kamu bodoh (kerana keingkaran kamu), sebagai (balasan) ejekan kamu.’

(Surah Hud: 38)

Mereka menyebutkan bahawa bahtera Nuh A.S diperbuat daripada kayu saj (الساج – Tectona). Kemudian, Imam al-Razi selepas menyebut hal tersebut secara panjang lebar dalam Mafatih al-Ghaib (17/345) bahawa ketahuilah bahawa topik seperti ini tidak menarik perhatianku sama sekali. Tidak ada keperluan untuk mengetahuinya sama sekali, dan tidak ada manfaat daripada pengetahuan itu. Membincangkannya hanyalah soal ingin tahu, terutamanya dengan keyakinan bahawa tidak ada apa-apa di sini yang menunjukkan sisi yang benar.

Ini juga adalah seperti jawapan yang dikemukakan oleh Dr. Ali Jum‘ah dalam fatwanya ketika diajukan soalan yang hampir sama dalam Dar al-Ifta’ al-Misriyyah.[1]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.daralifta.org/ar/fatawa/14879/امتيازاتشجرةالكوكومدىقدرتهاعلىالشفاءوالحمايةمنالسحر. Diakses pada 22 November 2023.