#4434: Peri Pentingnya Patuh kepada Ketua

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah iktibar yang dapat diambil dalam perang Uhud yang terkait kepada kepatuhan kepada pemimpin? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Syeikh Mutawalli al-Sya‘rawi suruhan taat kepada pemerintah disertakan dengan ketaatan kepada Allah dan juga ketaatan kepada Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah perlulah pemerintah itu didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya dengan itu masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan daripada penindasan terhadap rakyat di bawahnya.

Justeru, setiap pemerintah itu dituntut untuk menunaikan amanah dengan sempurna dan setiap pemerintah itu juga dituntut agar mereka sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya ini tidak berlaku, maka mereka itu akan digelar sebagai pemerintah yang zalim. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 4/2360)

Dalam menjawab soalan di atas, sebagaimana yang kita ketahui, peperangan Uhud merupakan peperangan kedua yang berlaku dalam sejarah penyebaran agama Islam. Peperangan tersebut berlaku dalam bulan Syawal tahun ketiga Hijrah di antara orang Islam Madinah di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW dengan orang Quraisy Makkah di bawah pimpinan Abu Sufyan dan dibantu oleh Khalid bin al-Walid yang ketika itu masih belum memeluk Islam. Peperangan ini merupakan peperangan balas dendam dan menuntut bela orang Quraisy terhadap orang Islam kerana kekalahan mereka dalam Perang Badar.

Pertempuran ini disertai 1,000 orang tentera Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW menuju ke Uhud tetapi hanya 700 orang sahaja yang berjaya sampai ke medan Uhud. Hal ini kerana di pertengahan jalan seramai 300 orang telah berpatah balik ke Madinah setelah dihasut oleh Abdullah bin Ubai iaitu ketua orang munafik. Tentera kafir Quraisy seramai 3,000 orang diketuai oleh Abu Sufyan ibni Harb. Dalam Perang Uhud ini tentera Islam telah menerima kekalahan yang teruk dan 70 orang sahabat Nabi telah gugur syahid termasuk bapa saudara Nabi iaitu Saidina Hamzah.

Perancangan dan strategi yang disusun oleh Rasulullah SAW adalah sempurna dan keberkesanannya dapat dilihat pada peringkat awal lagi, namun pengakhiran peperangan tidak seperti yang diharapkan. Kekalahan tentera Islam adalah berpunca daripada lupa kepada arahan Rasulullah SAW dan tamak kepada harta rampasan. Sejarah merekodkan bahawa 40 orang daripada kumpulan pemanah itu turut turun ke kawasan kaki bukit untuk sama-sama meraih harta tinggalan tentera musuh. Ini bertentangan dengan apa yang diperintahkan Rasulullah SAW sebelum tercetusnya perang supaya kumpulan itu tidak sesekali meninggalkan kawasan puncak bukit itu kerana ia adalah posisi pertahanan yang strategik. Kumpulan pemanah yang dipimpin Abdullah bin Jubair itu adalah ‘senjata rahsia’ yang digarap Rasulullah SAW dalam usaha menggempur kekuatan pasukan musuh. Senjata rahsia itu pada peringkat awalnya menunjukkan keberkesanan yang jitu. Bagaimanapun, akibat kecuaian dan ‘terlupa’ pada pesanan Rasulullah SAW, tentera Islam kemudian kembali berada dalam kekalutan yang memeritkan.

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, banyak iktibar yang dapat diambil dalam Peperangan Uhud, antara yang penting perlu diingatkan dan diawasi iaitu bahayanya apabila melanggar arahan pemimpin yang tegas dan jauh pandangannya yang  pastinya akan membawa kepada kerugian dalam pertempuran.

Ini terjadi dalam Peperangan Uhud. Jika para pemanah yang ditempatkan oleh Rasulullah SAW di belakang tentera Baginda tetap tidak berganjak dari tempat mereka sebagaimana yang diarahkan, nescaya tentera musyrik tidak dapat mengepung tentera Islam. Tentera musyrik juga tidak akan berjaya menukar kekalahan mereka pada permulaan pertempuran kepada kemenangan. Demikianlah kesan melanggar perintah pemimpin. Ia boleh melenyapkan peluang dan memberi kemenangan kepada musuh. Allah SWT telah memberi amaran azab kepada orang-orang Mukmin sekiranya mereka melanggar perintah rasul mereka.

Allah SWT berfirman:

فَلْيَحْذَرِ ٱلَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِۦٓ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: “Oleh itu, mereka yang melanggar perintah Rasulullah SAW berasa takut ditimpa bala bencana atau azab yang amat pedih.”

(Surah al-Nur: 63)

Dapat disimpulkan bahawa sekuat manapun strategi yang diatur, seandainya kepatuhan ahli pasukan tidak kental maka ia akan membawa musibah besar. Patuh kepada pemimpin adalah pengajaran utama kepada umat Islam apabila kita berbicara tentang Perang Uhud. Selain itu kesepakatan tunjang kekuatan ummah manakala perpecahan dan perbalahan menatijahkan kerugian dan kerosakan. Perpecahan dan ketidaksepakatan yang berlaku ketika itu hanya dalam satu pasukan kecil sahaja daripada keseluruhan tentera Islam tetapi kesan dan musibahnya amat besar dialami oleh semua pihak. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/516-518).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami.” (Lihat Ibtihalat wa Da’awat oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 68)