#4488: Jangan Berhujjah Dengan Orang Yang Bodoh

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Mengapa kita dilarang berhujjah dengan golongan yang bodoh sombong?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan saudara, kami menukilkan firman Allah SWT dari Surah al-Rum:

وَلَقَدْ ضَرَبْنَا لِلنَّاسِ فِى هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانِ مِن كُلِّ مَثَلٍۢ ۚ وَلَئِن جِئْتَهُم بِـَٔايَةٍۢ لَّيَقُولَنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِنْ أَنتُمْ إِلَّا مُبْطِلُونَ (٥٨) كَذَٰلِكَ يَطْبَعُ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِ ٱلَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ (٥٩)

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai kisah dan perbandingan di dalam Al-Quran ini; dan demi sesungguhnya jika engkau membawa kepada mereka sebarang keterangan, sudah tentu orang-orang kafir itu akan berkata: ‘Kamu ini tidak lain hanyalah orang-orang yang membuat dakwaan palsu.’ Demikianlah Allah meteraikan hati orang-orang yang tidak mahu menerima jalan mengetahui (kebenaran).”

(Surah al-Rum: 58-59)

Di dalam ayat-ayat di atas, Allah SWT memperingatkan kepada Rasulullah SAW sikap orang kafir yang keras kepala dan angkuh sehingga dalil dan hujah kesemuanya tidak dapat merubah mereka. Ini kerana sesiapa yang begitu mudah mendustakan dan menyangkal sesuatu dalil, dia juga mudah untuk mendustakan dan menyangkal semua bentuk dalil dan bukti. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 21/121)

Allah SWT menjelaskan bahawa Dia telah mengemukakan pelbagai misalan dan perbandingan, namun tetap juga golongan kafir itu enggan menerima kebenaran. Menurut al-Razi bahawa telah cukup segala bukti dan keterangan yang diperlukan untuk seseorang itu beriman dengan kebenaran al-Quran dan tiada lagi alasan untuk mengingkarinya. Maka jika mereka masih meminta bukti lain setelah kebenaran dijelaskan, maka itu membuktikan kedegilan dan keingkaran mereka terhadap dalil itu sendiri, maka tiada lagi keperluan mengemukakan dalil lain kepada mereka. Lantaran itu, kita wajib menjauhi daripada melayani kedegilan mereka yang ingkar, kerana ia hanya akan menambah lagi kedegilan mereka serta mensia-siakan waktu kita sendiri. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 25/112-113)

Satu kaedah penting ada menyebutkan:

لِكُلِّ مَقَامٍ مَقَالٌ

Maksudnya: “Pada setiap tempat/situasi itu ada perkataan yang sesuai untuk diucapkan.”

Ada waktunya, perdebatan itu perlu berlangsung jika pihak lawan benar-benar ingin mencari kebenaran dan sedia mendengar hujahan berbeza. Namun apabila terbukti perdebatan akan menjadi pertengkaran yang tidak berkesudahan, bahkan tiada titik temu yang boleh dicapai, lebih baik ia ditamatkan.

Difahami juga melalui ayat ini, suruhan supaya Rasulullah SAW bersikap sabar dan tabah dalam menghadapi gangguan, penentangan, ejekan dan sikap keras kepala mereka. Malahan tidak menghiraukan keingkaran mereka.

Ayat ini mengandungi petunjuk dan pengajaran supaya Nabi SAW menerima segala perkara yang tidak disukainya dengan dada yang lapang. Bahkan tetap konsisten dalam meneruskan misi dakwahnya. Ini kerana, janji Allah SWT kepada rasul-Nya adalah benar bahawa Baginda akan memperoleh kemenangan serta meneguhkan posisi Baginda bersama para sahabat serta pengikutnya di bumi. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 20/120; Tafsir al-Maraghi, 21/69; al-Tafsir al-Munir, 21/121-122)

Kesabaran adalah senjata utama bagi orang beriman merentas jalan perjuangan yang amat panjang dan penuh berduri, kadang-kadang kelihatan tidak mempunyai batas penghabisannya. Selain itu, senjata perjuangan mereka juga adalah keyakinan terhadap janji Allah yang benar dan ketabahan tanpa sedikit pun rasa gelisah, goyah, dan ragu-ragu. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 5/2777-2778)

Kesimpulan

Natijah dari perbahasan ringkas ini, kita hendaklah sentiasa memelihara akhlak dan tingkah laku serta mempersiapkan diri dengan ilmu apabila berhujjah. Dalam masa yang sama, kita perlu menjauhkan diri daripada berhujjah di atas kebatilan sebagaimana yang digambarkan Allah SWT tentang kafir musyrikin di atas.

Renungilah hadith Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan daripada Abu Umamah al-Bahili R.A, sabda Baginda SAW:

مَا ضَلَّ قَوْمٌ بَعْدَ هُدًى كَانُوا عَلَيْهِ إِلَّا أُوتُوا الْجَدَلَ

Maksudnya: “Tidak akan tersesat sesuatu kaum yang telah mendapat hidayah selagimana mereka berada di atas jalan tersebut melainkan mereka yang gemar berdebat.”

Riwayat al-Tirmizi (3253), Ibn Majah (48) dan Ahmad (22164)

Semoga Allah SWT memelihara dan menjauhkan lidah dan akhlak kita daripada perkara-perkara yang keji lagi munkar. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Wallahu a‘lam