#4511: Sikap Muslim Terhadap Non Muslim

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah sikap muslim yang sepatutnya terhadap golongan bukan islam? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ﴿٨﴾ إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.  Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

(Surah al-Mumtahanah: 8-9)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, Allah SWT tidak melarang kamu berbuat baik kepada orang-orang kafir yang tidak memerangi kamu kerana agama, seperti kaum wanita dan orang-orang yang lemah di antara mereka. Allah hanya melarang kamu bersahabat dengan orang-orang yang telah melancarkan permusuhan terhadap kamu, kemudian mereka memerangi dan mengusir kamu dan membantu mengusir kamu. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-Azim, 8/135)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan diharuskan berbuat baik kepada orang-orang bukan Islam yang tidak memusuhi agama Islam dan penganutnya. Bahkan dalam konteks kenegaraan, pemerintah Islam diwajibkan memberikan hak yang sewajibnya ke atas orang kafir yang berlindung dalam negara Islam yang digelar ahli Zimmah. Yusof al-Qaradawi pernah mengungkapkan pernyataan berikut:

Hak-hak yang ditetapkan oleh Islam bukan sahaja termaktub di atas kertas, bahkan merupakan hak-hak suci yang ditetapkan oleh syariat Allah SWT. Tidak ada seorang pun dalam kalangan manusia yang boleh membatalkannya kerana hak-hak tersebut dipelihara oleh pelbagai bentuk jaminan. Antaranya ialah jaminan akidah dalam setiap diri individu Muslim yang sentiasa berusaha mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi larangannya.

Selain itu, terdapat jaminan bentuk lain yang mendasari masyarakat Islam secara keseluruhannya, khususnya jaminan para ulama yang berperanan menjaga syariat. Demikian juga, para hakim yang adil, di mana terdapat dalam kalangan mereka yang menjatuhkan hukuman memihak kepada ahli zimmah yang dizalimi oleh pemerintah Muslim. Kita juga mendapati bahawa al-Auza’i bersama-sama memberi sokongan kepada ahli zimmah menentang pemerintah dari Abbasiyah yang terdiri dari kerabat khalifah pada waktu itu. Diberitakan juga bahawa Imam Ibn Taimiyah menggesa Temur Lang (pemimpin Monggol) supaya membebaskan tawanan yang ada bersamanya. Temur Lang pada asalnya hanya ingin membebaskan tawanan beragama Islam sahaja. Namun, Ibnu Taimiyyah enggan menerima tawaran tersebut, sebaliknya beliau berkeras ingin membebaskan kesemua tawanan termasuklah ahli zimmah. (Lihat Fatawa Mu’asirah, 2/672.)

Justeru, kami nyatakan di sini bahawa  Allah SWT tidak melarang umat Islam untuk berlaku adil kepada mereka yang tidak memerangi orang Islam. Bahkan Allah SWT tidak menghalang umat Islam menyalurkan kebaikan kepada mereka bahkan diharuskan untuk  mendoakan hidayah kepada mereka.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahua’lam