#7858: Sebab Nuzul Surah al-Ikhlas

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan sebab turunnya Surah al-Ikhlas?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ (١) ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ (٢) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (٣) وَلَمْ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدٌۢ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”

(Surah al-Ikhlas: 1-4)

Pada zaman Rasulullah SAW, surah ini lebih dikenali sebagai Surah Qul Huwallahu Ahad. Ia adalah berdasarkan riwayat-riwayat hadith yang menunjukkan bagaimana Baginda dan para sahabat memanggil dan mengenali surah ini melalui ayat pertamanya. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/609)

Walau bagaimanapun, kebanyakan mushaf al-Quran menamakan surah ini dengan Surah al-Ikhlas. Penamaan ini menjadi popular disebabkan kerana namanya yang ringkas, serta ia mengandungi mesej utama surah, iaitu memperkukuhkan asas akidah. Perkataan ‘al-ikhlas’ membawa intipati utama surah ini, iaitu membimbing pembaca kepada penghayatan mengabdikan diri atau mengikhlaskan seluruh hidupnya untuk Allah SWT. Dalam mushaf yang diterbitkan di Tunisia, surah ini tertulis sebagai Surah al-Tauhid yang turut memberikan mesej yang hampir sama dengan ‘al-ikhlas’, iaitu menyucikan Allah SWT serta membersihkanNya dari segala kesyirikan. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/609)

Dalam menjawab persoalan di atas, antara hadith yang menunjukkan penurunan surah ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ubai bin Ka’ab, katanya:

أَنَّ المشْرِكِينَ قَالُوا لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: انْسُبْ لَنَا رَبَّكَ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ: {قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ  ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ}. فَالصَّمَدُ: الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ، لِأَنَّهُ لَيْسَ شَيْءٌ يُولَدُ إِلَّا سَيَمُوتُ، وَلَيْسَ شَيْءٌ يَمُوتُ إِلَّا سَيُورَثُ، وَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَمُوتُ وَلَا يُورَثُ: { وَلَمْ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدٌۢ} قَالَ: «لَمْ يَكُنْ لَهُ شَبِيهٌ وَلَا عِدْلٌ وَلَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ» 

Maksudnya: Sesungguhnya kaum musyrikin berkata kepada Rasulullah SAW: Nyatakan kepada kami nasab tuhanmu. Maka Allah SWT menurunkan ayat: {قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ  ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ}. Al-Somad adalah yang tidak melahirkan dan tidak dilahirkan, kerana tiada sesuatu yang dilahirkan kecuali akan mati dan tiada yang akan mati, kecuali akan diwarisi. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mati dan tidak diwarisi { وَلَمْ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدٌۢ} beliau berkata: Tiada bagi-Nya yang serupa, setara dan tiada yang seumpama sedikit pun dengan-Nya. 

Riwayat al-Tirmizi (3364). dan Ahmad (21257). Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari (8/611) menyatakan bahawa Imam al-Tirmizi juga meriwayakan dengan wajah yang lain daripada Abu al-‘Aliyah secara mursal.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”