#7861: Perangai Isteri Abu Lahab Yang bernama Ummu Jamil

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh kisahkan kepada kami, bagaimana sebenarnya perangai Ummu Jamil yang juga isteri Abu Lahab?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ (١) مَآ أَغْنَىٰ عَنْهُ مَالُهُۥ وَمَا كَسَبَ (٢) سَيَصْلَىٰ نَارًۭا ذَاتَ لَهَبٍۢ (٣) وَٱمْرَأَتُهُۥ حَمَّالَةَ ٱلْحَطَبِ (٤) فِى جِيدِهَا حَبْلٌۭ مِّن مَّسَدٍۭ

Maksudnya: Celakalah kedua belah tangan Abu Lahab dan celakalah dia. Hartanya dan apa yang diusahakannya tidak berguna baginya. Dia akan merasai bakaran neraka yang mempunyai api yang marak membakar. Begitu juga isterinya; menjadi pembawa kayu api yang dahulunya suka menyebar fitnah dan mengadu domba. Di lehernya pada hari kiamat ada tali yang tersimpul mati untuk menariknya ke neraka.

(Surah al-Masad: 1-5)

Allah SWT memberi contoh yang jelas berkaitan orang yang mendapat kerugian sama ada lelaki atau perempuan. Contoh tersebut berlaku kepada bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abu Lahab dan isterinya yang bernama Ummu Jamil. Abu Lahab dan isteri adalah orang yang  banyak melakukan perkara fasiq; tidak menerima janji Allah dan melakukan kerosakan di muka bumi yang menyebabkan mereka ditimpa kesesatan. Surah ini diturunkan di permulaan dakwah Islam. Dan sebagaimana diketahui, ramai pemuka Quraisy yang memerangi Islam di permulaannya seperti Umar Ibn al-Khattab, Khalid Ibn al-Walid, Abu Sufian dan lain-lain tetapi mereka pada akhirnya memeluk agama Islam. 

Dalam surah ini dinyatakan nama Abu Lahab dan isterinya di mana kedua-duanya akan dikenakan azab api neraka. Ini adalah khabar ghaib di mana kedua-duanya akan mati dengan kufur kepada Allah SWT. Walhal ketika surah ini diturunkan, mereka berdua masih hidup dan mempunyai masa yang banyak untuk memeluk agama Islam tetapi ia tidak berlaku. Ini menunjukkan kepada salah satu aspek kemukjizatan al-Quran dalam memberi khabar masa hadapan, dan ia berlaku seperti yang termaktub di dalam al-Quran. Kedua-duanya masuk neraka dan menjadi bahan bakarnya. Mana lagi kerugian yang lebih besar daripada itu? Kerugian sebenar bukanlah kehilangan harta dan anak tetapi kerugian sebenar ialah bilamana seseorang itu mendapat kejian atau hinaan daripada Allah SWT. 

Ketika Ummu Jamil iaitu isteri Abu Lahab mendengar Surah al-Masad yang diturunkan untuk suami dan dirinya sendiri, beliau lalu mencari Nabi SAW yang pada ketika itu sedang duduk di masjid al-Haram bersama sahabatnya Abu Bakr al-Siddiq R.A. Ummu Jamil menggenggam batu untuk dilempar kepada Baginda SAW, namun apabila hampir dengan Rasulullah SAW, tiba-tiba pandangan beliau tidak dapat melihat Rasulullah SAW. Ini adalah kerana Allah SWT telah menghalang pandangan Ummu Jamil daripada melihat Rasulullah dan beliau hanya dapat melihat Abu Bakr al-Siddiq R.A. Ummu Jamil lalu bertanya kepada Abu Bakr: “Telah sampai berita kepada diriku bahawa sahabat kamu mengherdik aku. Demi tuhan, jika aku mendapatinya nescaya aku pukulnya mulutnya dengan batu ini.” Kemudian Ummu Jamil berkata: “Wahai orang yang hina, kami ingkar kepadamu, kami tidak layan arahan kamu dan kami benci agama kamu.” Lalu beliau berlalu pergi. Abu Bakar R.A berkata: “Wahai Rasulullah, tidakkah kamu melihatnya dan dia melihat kamu?” Sabda Nabi SAW: “Dia tidak melihatku kerana sesungguhnya Allah telah mengalih pandangannya daripadaku.”  Kaum Quraisy menghina dan mencerca Nabi SAW dengan berkata: مُذَمَّمًا  bermaksud orang yang dihina, dan ini merupakan gantian kepada kalimahمحمد  yang bermaksud yang terpuji. Nabi SAW bersabda: “Tidakkah kamu merasa hairan bagaimana Allah SWT mengalih daripadaku perbuatan Quraisy yang menyakitkan? Mencerca dan menghina ku dengan مذمم walhal sebenarnya aku ialah محمد.”

Berkenaan dengan perangai Ummu Jamil, semasa hayatnya, dia suka menabur fitnah dalam kalangan manusia. Justeru, azabnya di akhirat ialah dengan membawa dan menanggung seberkas kayu api neraka. 

Ummu Jamil membangkitkan api kemarahan dan perseteruan terhadap Nabi SAW. Abu Su‘ud berkata: “Di waktu malam, Ummu Jamil memikul seberkas kayu yang berduri dan meletakkan ia di tempat laluan Nabi SAW dengan tujuan untuk menyakiti Baginda SAW. Allah SWT menyatakan balasan kepada Ummu Jamil pada hari akhirat ialah lehernya dikalung dengan pintalan yang mengazabkan.” Mujahid Ibn Jabr berkata: “Kalungan di lehernya adalah daripada besi.” Ibn al-Musayyab berkata: “Ummu Jamil mempunyai utas rantai daripada permata dan dia berkata; ‘demi al-Lata dan Uzza aku akan jual dan gunakan nilainya untuk memusuhi Muhammad.” Lalu Allah SWT memberikan balasan kepadanya dengan dikalungkan pada lehernya pintalan daripada api neraka. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/716)

Begitulah balasan bagi Ummu Jamil yang membantu Abu Lahab dalam usaha memusuhi Islam dan menentang dakwah Rasulullah SAW semasa hidupnya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam. 

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”