#7866: Fahaman Tentang Surah al-Nasr 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah dapat difahami dengan turunnya surah al-Nasr?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِذَا جَآءَ نَصْرُ ٱللَّهِ وَٱلْفَتْحُ (١) وَرَأَيْتَ ٱلنَّاسَ يَدْخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفْوَاجًۭا (٢) فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَٱسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ تَوَّابًۢا

Maksudnya: “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan. Engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka bertasbihlah memuji Tuhanmu dan mintalah keampunan daripada-Nya. Dia sesungguhnya Maha Penerima Taubat.”

Berdasarkan persoalan di atas, apa yang dapat difahami ialah apabila kemenangan telah tercapai dan telah terbukti pertolongan, serta manusia pula bersedia menerima kebenaran agama, maka rasa takut akan hilang. Oleh itu, wajiblah bertasbih dan bersyukur kepada-Nya, menghilangkan kebimbangan yang berlaku pada saat sulit dan penuh derita. Akhirnya penderitaan itu tidak lagi mengganggu jiwa para hamba Allah SWT yang ikhlas, ketika mereka telah bertambah banyak bilangannya, keikhlasan mendasari kehidupan mereka dan hati mereka disatukan. 

Berdasarkan firman ini juga, Nabi SAW memahami bahawa misi risalah Baginda telah sempurna, tinggal lagi Baginda perlu menghadap Zat Yang Maha Tinggi, lalu Baginda bersabda dalam salah satu riwayat bahawa Baginda berasakan dirinya telah diberitahu akan kewafatannya.  Lihatlah bagaimana para sahabah mentadabbur ayat ini dengan begitu mendalam. Kata Ibn Abbas R.Anhuma: 

كَانَ عُمَرُ يُدْخِلُنِي مَعَ أَشْيَاخِ بَدْرٍ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ: لِمَ تُدْخِلُ هَذَا الفَتَى مَعَنَا وَلَنَا أَبْنَاءٌ مِثْلُهُ؟ فَقَالَ: «إِنَّهُ مِمَّنْ قَدْ عَلِمْتُمْ» قَالَ: فَدَعَاهُمْ ذَاتَ يَوْمٍ وَدَعَانِي مَعَهُمْ قَالَ: وَمَا رُئِيتُهُ دَعَانِي يَوْمَئِذٍ إِلَّا لِيُرِيَهُمْ مِنِّي، فَقَالَ: مَا تَقُولُونَ فِي إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالفَتْحُ، وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا حَتَّى خَتَمَ السُّورَةَ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ: أُمِرْنَا أَنْ نَحْمَدَ اللَّهَ وَنَسْتَغْفِرَهُ إِذَا نُصِرْنَا وَفُتِحَ عَلَيْنَا، وَقَالَ بَعْضُهُمْ: لاَ نَدْرِي، أَوْ لَمْ يَقُلْ بَعْضُهُمْ شَيْئًا، فَقَالَ لِي: يَا ابْنَ عَبَّاسٍ، أَكَذَاكَ تَقُولُ؟ قُلْتُ: لاَ، قَالَ: فَمَا تَقُولُ؟ قُلْتُ: هُوَ أَجَلُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَعْلَمَهُ اللَّهُ لَهُ: إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالفَتْحُ فَتْحُ مَكَّةَ، فَذَاكَ عَلاَمَةُ أَجَلِكَ: فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا. قَالَ عُمَرُ: «مَا أَعْلَمُ مِنْهَا إِلَّا مَا تَعْلَمُ»

Maksudnya: “Saidina Umar memasukkanku bersama para sahabat dewasa yang turut serta dalam peperangan Badar. Sebahagian mereka berkata: “Mengapa engkau memasukkan pemuda ini bersama kami, sementara kami memiliki anak-anak yang sepertinya?.” Beliau berkata: “Sesungguhnya dia termasuk di antara orang yang telah kamu ketahui”. Pada suatu hari beliau memanggil mereka dan juga memanggilku bersama mereka.” Beliau berkata: “Tidak ada perkara lain dalam fikiranku melainkan bahawa beliau memanggilku untuk memperlihatkan kepada mereka tentang diriku. Beliau berkata: “Apa yang kamu katakan tentang firman-Nya: (Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah dengan berbondong-bondong?) (Dia membaca) sehingga selesai surah tersebut. Sebahagian mereka berkata: “Kita diperintahkan untuk memuji Allah dan memohon keampunan-Nya jika kita diberi pertolongan dan kemenangan.” Sebahagian lagi berkata: “Kami tidak tahu.” Dan sebahagian mereka tidak mengatakan apa pun. Beliau berkata kepadaku: “Wahai Ibn ‘Abbas, adakah sedemikian juga yang engkau katakan?. Aku berkata: “Tidak!.” Beliau berkata: “Lalu apa yang engkau katakan?.” Aku berkata: “Ia adalah ajal Rasulullah SAW. Allah memberitahukan kepada Baginda apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan yang dimaksudkan al-Fath adalah pembukaan kota Makkah maka itulah petanda ajalmu. Untuk itu, hendaklah engkau bertasbih dengan memuji Tuhanmu dan memohon keampunan-Nya, sesungguhnya Dia Maha Penerima taubat.” Saidina Umar berkata: “Sememangnya begitulah yang aku fahami sebagaimana yang kamu faham.”

Riwayat al-Bukhari (4294)

(Lihat Tafsir al-Bayan, 6/704-705)

Melihat kepada riwayat di atas, maka hadith berkaitan tafsiran Ibn Abbas R.nhuma terhadap surah al-Nasr dengan hampirnya ajal Nabi SAW adalah hadith yang sahih. Ini merupakan salah satu daripada jenis di dalam kategori tafsir bi al-Ma’thur iaitu menafsirkan ayat al-Quran dengan hadith Nabi SAW. Di samping itu juga, di sana terdapat juga beberapa kitab yang khusus dalam menyusun tafsiran-tafsiran hadith terhadap ayat al-Quran seperti kitab Sahih al-Tafsir a-Nabawi Min al-Kutub al-Sittah dan banyak kitab-kitab yang lain seperti Tafsir al-Thobari, Tafsir Ibn Kathir dan lain-lain lagi.

Kesimpulannya, hadith berkaitan tafsiran Ibn Abbas R.nhuma terhadap surah al-Nasr dengan hampirnya ajal Nabi SAW adalah hadith yang sahih dan hadith ini juga menunjuk kelebihan yang ada pada Ibn Abbas R.Anhuma. Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”