#4580: Menghina dan Ingkar Kitab Taurat dan Injil

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum seseorang mengingkari kitab Taurat dan Injil serta kitab-kitab samawi yang lain? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي نَزَّلَ عَلَىٰ رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنزَلَ مِن قَبْلُ ۚ وَمَن يَكْفُرْ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا ‎

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.”

(Surah al-Nisa’: 136)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, ayat ini memerintahkan untuk beriman kepada Allah, Rasul-Nya, Al-Quran, dan kitab-kitab sebelumnya. Semua ini merupakan iman yang wajib bagi seorang hamba, yang tidak dapat dianggap beriman kecuali jika ia beriman kepada semuanya ini. Secara umum, ini mencakup semua hal yang belum dijelaskan secara terperinci apa yang telah diketahui tentang iman ini. Sesiapa yang beriman kepada iman yang diperintahkan ini, maka dia telah mendapat petunjuk dan keberhasilan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 209).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, cukuplah kami menjawabnya dengan menukilkan perkataan daripada Ibn al-‘Attar yang menyatakan bahawa sesiapa yang mengingkari kitab Taurat, Injil dan kitab-kitab Allah yang lain yang diturunkan atau kufur dengan kitab-kitab tersebut, atau melaknatnya, atau mencacinya, atau merendah-rendahkan dengannya, maka dia telah dikira kufur atau kafir. (Lihat al-I‘tiqad al-Khalis min al-Syak wa al-Intiqad, hlm. 168-169).

Maksud kitab Taurat dan Injil yang tidak boleh diingkari ialah naskhah asal yang sebenarnya yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Musa AS dan juga kepada Nabi Isa AS sebelum mengalami apa-apa perubahan dan pengubahan daripada tangan pengikut-pengikutnya yang menyeleweng. Hal ini ada berdasarkan kepada nas, firman Allah SWT:

مِّنَ ٱلَّذِينَ هَادُوا۟ يُحَرِّفُونَ ٱلْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِۦ

Maksudnya: “Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar.

(Surah al-Nisa’: 46)

 Begitu juga firman Allah SWT:

وَمِنَ الَّذِينَ هَادُواۛ سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ سَمَّاعُونَ لِقَوْمٍ آخَرِينَ لَمْ يَأْتُوكَ ۖ يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ مِن بَعْدِ مَوَاضِعِهِ ۖ يَقُولُونَ إِنْ أُوتِيتُمْ هَٰذَا فَخُذُوهُ وَإِن لَّمْ تُؤْتَوْهُ فَاحْذَرُوا ۚ

Maksudnya: “Demikian juga dari orang-orang Yahudi, mereka orang-orang yang sangat suka mendengar berita-berita dusta; mereka sangat suka mendengar perkataan golongan lain (pendeta-pendeta Yahudi) yang tidak pernah datang menemuimu; mereka ini mengubah serta meminda perkataan-perkataan (dalam Kitab Taurat) itu dari tempat-tempatnya yang sebenar. Mereka berkata: ‘Jika disampaikan kepada kamu hukum seperti ini maka terimalah dia, dan jika tidak disampaikannya kepada kamu, maka jagalah diri baik-baik’.”

(Surah al-Ma’idah: 41)

Imam Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan ayat di atas, dikatakan bahawa ayat ini diturunkan kepada satu kaum Yahudi yang membunuh seseorang, maka mereka pun berkata: “Mari kita minta hukum dari Muhammad, jika dia kenakan hukuman bayaran diyah maka kalian ambillah, dan jika dia jatuhkan hukuman qisas maka kalian jangan dengar.”

Adapun pandangan yang tepat, ayat ini diturunkan kepada dua orang Yahudi yang berzina, lalu mereka mengubah kitab Allah SWT yang ada pada mereka (Taurat) tentang hukuman rejam bagi penzina yang telah berkahwin. Mereka memalsukannya hukumnya menjadi sebatan sebanyak 100 kali, menghitamkan wajah dengan arang, dan dibonceng secara terbalik (menghadap ke belakang) di atas dua ekor keldai.

Apabila berlaku penzinaan ini selepas tahun hijrah, mereka berbincang sesama mereka: “Mari kita minta hukum dari Muhammad, jika dia kenakan hukuman sebat dan dihitamkan wajah, maka kalian ambillah dan jadikan ianya sebagai hujjah di hadapan Allah bahawa seorang Nabi telah menjatuhkan hukuman tersebut antara kalian. Dan jika dia jatuhkan hukuman rejam, maka janganlah kalian ikuti dia.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/102)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”