#7897: Solat Sebagai Nur dan Bukti

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat hadith yang menunjukkan solat ini menjadi bukti dan cahaya serta penyelamat pada hari Akhirat kelak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Benar sekali. Terdapat hadith yang menunjukkan apa yang ditanya tadi. Ia jelas menunjukkan kepada kita sejumlah amalan yang baik diperintahkan oleh Rasulullah SAW kepada kita.

Menjaga solat mendatangkan petunjuk dan memperbaiki keadaan muslim terhadap manusia, membezakannya dengan akhlak dan perilakunya, sifat wara’ dan taqwanya. Benarlah sabda Nabi SAW:

مَنْ حَافَظَ عَلَيْهَا، كَانَتْ لَهُ نُورًا وَبُرْهَانًا وَنَجَاةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ لَمْ يُحَافِظْ عَلَيْهَا لَمْ يَكُنْ لَهُ نُورٌ وَلا بُرْهَانٌ وَلا نَجَاةٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang memeliharanya (solat) nescaya baginya memperolehi cahaya, bukti dan keselamatan pada hari kiamat, sebaliknya siapa yang tidak memeliharanya (solat) nescaya tiada baginya sebarang cahaya bukti dan keselamatan.”

Riwayat Ibn Hibban (1467)

Seorang muslim hendaklah menggunakan waktu dan umurnya dalam ketaatan kepada Allah serta tidak mengabaikannya kerana kesibukan lain.

Kebersihan lahiriah tidak akan bermakna sekiranya tidak disertai oleh kebersihan maknawi. Oleh kerana itu, semestinya kebersihan tubuh badan disertai dengan kesucian hati, ketulusan niat, kesahihan matlamat dan kelurusan amalan oleh setiap individu mukmin.

Segala tindakan dan keputusan yang dibuat mempunyai risiko serta akibat yang tersendiri. Seseorang yang taat dan patuh kepada Allah SWT, dia membebaskan dirinya daripada api neraka. Sebaliknya, seseorang yang ingkar dan derhaka kepada Allah SWT, dia telah menghumbankan dirinya ke lembah kebinasaan.

Setiap manusia perlu bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadahnya sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Daripada amal ibadah ini, mereka akan memperoleh keredaan Allah SWT dan pembebasan daripada api neraka.

 Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)