#7899: Perbuatan Allah dan Ciptaan-Nya Adakah Makhluk?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana pandangan Islam yang terkait dengan perbuatan Allah, sifat dan perlakuannya kepada penciptaan-Nya seperti langit, bumi. Adakah semua ciptaan-Nya itu dianggap makhluk atau tidak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sudah barang tentu difahami, selain daripada Allah adalah makhluk dan semuanya berdasarkan ciptaan Allah melalui kehendak dan kudrat-Nya. Al-Imam al-Bukhari telah menulis satu tajuk mengenai riwayat tentang penciptaan langit dan bumi serta makhluk-Nya yang lain. Kemudian Imam al-Bukhari berkata:

وَهُوَ فِعْلُ الرَّبِّ تَبَارَكَ وَتَعَالَى وَأَمْرُهُ، فَالرَّبُّ بِصِفَاتِهِ وَفِعْلِهِ وَأَمْرِهِ وَكَلاَمِهِ، وَهُوَ الخَالِقُ الْمُكَوِّنُ، غَيْرُ مَخْلُوقٍ، وَمَا كَانَ بِفِعْلِهِ وَأَمْرِهِ وَتَخْلِيقِهِ وَتَكْوِينِهِ، فَهُوَ مَفْعُولٌ مَخْلُوقٌ مُكَوَّنٌ.

Maksudnya: “Itu adalah perbuatan Allah dan perintah-Nya. Maka Allah dengan sifat-sifat-Nya, perbuatan-Nya, perintah-Nya dan perkataan-Nya adalah Yang Maha Pencipta, Yang Membentuk, bukan makhluk. Adapun sesuatu yang terjadi kerana perbuatan, perintah, dan penciptaan-Nya, maka ia adalah yang dicipta, makhluk yang dibentuk.”

 

Seterusnya, beliau menukilkan hadith Nabi SAW, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

بِتُّ فِي بَيْتِ مَيْمُونَةَ لَيْلَةً، وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَهَا، لِأَنْظُرَ كَيْفَ صَلاَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِاللَّيْلِ، «فَتَحَدَّثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَعَ أَهْلِهِ سَاعَةً ثُمَّ رَقَدَ، فَلَمَّا كَانَ ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ، أَوْ بَعْضُهُ، قَعَدَ فَنَظَرَ إِلَى السَّمَاءِ فَقَرَأَ»: {إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ} إِلَى قَوْلِهِ {لِأُولِي الأَلْبَابِ}، «ثُمَّ قَامَ فَتَوَضَّأَ وَاسْتَنَّ، ثُمَّ صَلَّى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً»، ثُمَّ أَذَّنَ بِلاَلٌ بِالصَّلاَةِ، «فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ خَرَجَ فَصَلَّى لِلنَّاسِ الصُّبْحَ»

Maksudnya: “Pada suatu malam aku bermalam di rumah Maimunah – ketika itu giliran Baginda SAW di tempatnya (Maimunah) – agar aku boleh melihat bagaimana solat Rasulullah SAW pada malam hari. Rasulullah SAW kemudian berbicara sejenak dengan keluarganya, lalu tidur. Pada sepertiga malam terakhir atau sebahagiannya, Baginda SAW (telah bangun daripada tidurnya dan) duduk lalu memandang ke langit, lantas membaca: (Firman Allah SWT): “إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ” (Maksudnya: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.”) [Surah Ali ‘Imran: 190]. Kemudian Baginda SAW berdiri, lalu berwudhu’ dan bersugi, kemudian solat sebelas rakaat. Setelah itu Bilal R.A melaungkan azan (untuk) solat, maka Baginda SAW pun solat dua rakaat, kemudian keluar lalu solat Subuh mengimami orang ramai.”

Riwayat al-Bukhari (7452)

Kami akhiri dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَن يَقُولَ لَهُ كُن فَيَكُونُ (82) فَسُبْحَانَ الَّذِي بِيَدِهِ مَلَكُوتُ كُلِّ شَيْءٍ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ” Jadilah engkau! “. Maka ia terus menjadi. Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) – Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

(Surah Yasin: 82-83)

Imam al-Tabari menukilkan perkataan Qatadah. Kata beliau (Qatadah): “Tidak ada di dalam kalam arab yang lebih ringan dan mudah daripada kata-kata Allah. Maka Allah Maha Berkuasa dan amat mudah bagi Allah untuk buat perkara tersebut.” (Lihat Jami’ al-Bayan ʿan Taʾwil al-Qurʾan, 20/556)

Imam al-Razi menyatakan: “Ayat ini membawa makna bahawa penciptaan dan kejadian yang Allah kehendaki tidak hanya berlaku jika ada alat dan sebagainya. Juga tidak memerlukan air mani ayah dan Rahim ibu. Ini dibuktikan bahawa Allah menjadikan ayah kita yang awal iaitu Nabi Adam tanpa ada ayah. Ini membuktikan bahawa Allah menjadikan dan menciptakan sesuatu tanpa perlu ada perantaraan.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 17/201)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”