#7909: Keharmonian Rumahtangga

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami bagaimana cara yang Islam ajarkan untuk mengekalkan keharmonian rumahtangga?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, dalam melayari bahtera perkahwinan ini, setiap dari lelaki dan perempuan memikul tanggungjawab yang amat besar dalam pengukuhan dan pendidikan sesebuah keluarga. Ini jelas sebagaimana dalam riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى أَهْلِ بَيْتِ زَوْجِهَا، وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ

Maksudnya: “Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang wanita juga pemimpin terhadap rumah suaminya dan anak-anaknya, maka dia bertanggungjawab terhadap mereka semua.”

Riwayat al-Bukhari (7138)

Sebagai tuan yang memegang tanggungjawab itu, kedua-dua lelaki dan perempuan juga memegang amanah Allah SWT terhadap tanggungjawab yang diberikan. Oleh yang demikian, adalah penting bagi setiap pasangan suami isteri untuk mengetahui tanggungjawab serta peranan yang perlu dimainkan, kerana ini akan membentuk satu usaha dan kerjasama yang baik dalam memenuhi misi baiti jannati serta dapat memastikan keharmonian rumahtangga kekal utuh.

Antara lainnya adalah, mempamerkan dan mempraktikkan akhlaq yang mulia. Ini merupakan satu ciri yang sepatutnya ada pada diri setiap muslim, sebagaimana yang diteladani dari suri ikutan kita iaitu Rasulullah SAW. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlaq.”

Riwayat Ahmad (8952)

Akhlaq yang mulia tidak terhad hanya pada bercakap benar, melakukan kebaikan, bersifat pemurah, dan lain-lain lagi sifat baik. Bahkan ia lebih menyeluruh dan meliputi semua aspek, termasuklah menunjukkan akhlaq yang mulia dengan Allah SWT, iaitu dengan ketaqwaan serta tawakkal penuh kepada-Nya. Termasuk juga berakhlaq mulia dengan Rasul-Nya, iaitu dengan cara menjadikan Baginda SAW ikutan dalam hidup.

Allah SWT berfirman:

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍۢ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”

(Surah al-Qalam: 4)

Justeru, mengamalkan akhlaq baik adalah hak dan tanggungjawab suami serta isteri yang perlu dikongsi bersama. Ia harus dititikberatkan kerana pasangan kita adalah yang paling akrab dalam hidup kita, disamping ianya dapat mengekalkan hubungan yang sihat antara pasangan. Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِهِمْ خُلُقًا

Maksudnya: “Kaum mu’min yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaqnya antara mereka, dan yang paling baik antara kalian adalah yang paling baik kepada isteri-isterinya.”

Riwayat al-Tirmizi (1162)

Seterusnya, berkata benar dengan pasangan dan tidak berbohong. Allah SWT sentiasa memuji kebenaran dan menyifatkan keprihatinan terhadap kebenaran ini sebagai ciri seorang yang beriman. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَكُونُوا۟ مَعَ ٱلصَّـٰدِقِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.”

(Surah al-Taubah: 119)

Kejujuran itu juga akan membawa mereka bersama ke arah baiti jannati yang diidamkan. Ini sebagaimana yang thabit dalam riwayat ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga.”

Riwayat al-Bukhari (6094) dan Muslim (2607)

Bagi memastikan keharmonian sesebuah rumahtangga itu juga, suami dan isteri perlu menanamkan sifat rendah hati. Ia merupakan suatu sifat yang amat dituntut oleh Islam, dan Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW untuk menunjukkan sifat kerendahan hati ini kepada umat manusia. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Iyadh bin Himar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَإِنَّ اللَّهَ أَوْحَى إِلَىَّ أَنْ تَوَاضَعُوا حَتَّى لاَ يَفْخَرَ أَحَدٌ عَلَى أَحَدٍ وَلاَ يَبْغِي أَحَدٌ عَلَى أَحَدٍ 

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku bahawa kalian mesti menunjukkan kerendahan hati, maka tidak ada di antara kalian yang akan bermegah-megah terhadap orang lain, dan tidak ada di antara kamu yang akan mencabuli orang lain. ”

Riwayat Muslim (2865) dan Abu Dawud (4895)

Perkara ini seharusnya difahami oleh setiap pasangan suami isteri dengan baik, dan tidak sepatutnya mereka bermegah-megah tentang kekayaan, status sosial, kepintaran, kecantikan, persaudaraan, nenek moyang atau perkara-perkara lain dengan tujuan untuk berbangga diri dengan pasangan masing-masing. Perbuatan bercakap besar inilah yang boleh mengakibatkan tidak adanya sekufu di antara pasangan, bahkan ia boleh membawa kepada perbalahan. Ini adalah tanda kejahilan dan sifat tidak matang, yang tidak seharusnya dilakukan oleh seorang dewasa.

Suami dan isteri juga boleh membudayakan amalan meminta maaf sekiranya terlanjur melakukan kesilapan. Orang yang beragama Islam tidak seharusnya mempunyai sifat dendam, terutamanya terhadap pasangan sepanjang hayat kita. Hal ini kerana rasa dendam ini pada akhirnya akan membunuh perasaan kasih dan rasa selamat terhadap pasangan masing-masing. 

Alangkah indahnya Islam ini, sehinggakan sikap pemaaf itu boleh menjadikan seseorang itu layak untuk mendapat keampunan dari Allah SWT. Diriwayatkan daripada ‘Umar al-Khattab R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ، وَلاَ يُغْفَرُ مَنْ لاَ يَغْفِرُ

Maksudnya: “sesiapa yang tidak menaruh belas kasihan, Allah tidak akan memberi belas kasihan kepadanya. Dan sesiapa yang tidak memaafkan, tidak akan diampunkan.”

Riwayat al-Bukhari (381) di dalam al-Adab al-Mufrad

Setiap pasangan juga hendaklah berlaku adil dan mengelakkan dari melakukan penindasan terhadap pasangan dengan apa jua cara sekali pun. Suami tidak sewajarnya mengambil kesempatan terhadap isteri, begitu juga sebaliknya isteri tidak sepatutnya menganiaya si suami. Penindasan adalah satu perkara yang sama sekali ditegah oleh syara‘ kerana ia merupakan suatu bentuk kezaliman. Sedangkan Allah SWT telah berfirman sebagaimana dalam hadith qudsi:

يَا عِبَادِي، إنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي، وَجَعَلْتُهُ بَيْنَـكُمْ مُحَـرَّمًا؛ فَلَا تَظَالَمـُوا

Maksudnya: “Wahai hamba-Ku, sesungguhya Aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku telah mengharamkan kezaliman antara kamu, maka janganlah kamu saling melakukan kezaliman.”

Riwayat Muslim (2577)

Ikatan perkahwinan juga harus sentiasa bersih dan terhindar daripada perkataan kesat atau lucah. Ia seharusnya dipimpin berlandaskan ajaran Islam, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, dan kemudiannya diteladani oleh anak-anak kita di rumah. Perkara ini amat penting kerana anak-anak akan membesar dengan melihat bagaimana ibu bapanya bertutur dalam kehidupan seharian. Oleh yang demikian, jadikan tutur bicara kita itu penuh dengan puji-pujian kepada Allah SWT, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman. 

Akhir kata, setiap pasangan perlu sentiasa memikirkan jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah antara satu sama lain. Perselisihan dan perbezaan ini akan menyebabkan salah seorang berpaling dan membuat keputusan secara terburu-buru tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang. Budayakanlah perdamaian dalam rumahtangga, yang mana ianya disifatkan sebagai jalan terbaik antara suami dan isteri yang mempunyai salah faham.

Allah SWT berfirman:

وَإِنِ ٱمْرَأَةٌ خَافَتْ مِنۢ بَعْلِهَا نُشُوزًا أَوْ إِعْرَاضًۭا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَآ أَن يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًۭا ۚ وَٱلصُّلْحُ خَيْرٌۭ ۗ وَأُحْضِرَتِ ٱلْأَنفُسُ ٱلشُّحَّ ۚ وَإِن تُحْسِنُوا۟ وَتَتَّقُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًۭا

Maksudnya: “Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya ‘nusyuz’ (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan), dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Nisa’: 128)

Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan mereka yang kuat menjalankan tanggungjawab sebagai ketua rumahtangga, memimpin keluarga kita ke arah kebaikan demi menggapai sakinah, mawaddah dan rahmah. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam