#7922: Pahala Membantu Janda

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah terdapat pahala bagi mereka yang membantu janda, sementalahan lagi yang miskin dan terdapatnya keperluan yang mendesak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Mereka yang memerlukan bantuan tanpa mengira kedudukan statusnya amat perlu dibantu bahkan Islam menganjurkannya. Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Firman Allah SWT:

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا ‎﴿٨﴾‏ إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا ‎﴿٩﴾‏ إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوْمًا عَبُوسًا قَمْطَرِيرًا 

Maksudnya: Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, “Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut.”

(Surah al-Insan: 8-10)

Al-Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa mereka memberi makan kepada orang miskin, anak yatim serta orang tawanan dengan hanya mengharapkan keredhaan dari Allah SWT. Mereka tidak mengharapkan balasan serta ucapan terima kasih dari manusia. Bahkan perbuatan mereka itu tidak lain dan tidak bukan untuk mengharapkan rahmat dan kelembutan Allah di mana nanti pada hari kiamat hari di mana kesempitannya berpanjangan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/289)

Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Mereka memberi makanan kepada orang yang berhajat seperti orang miskin, anak-anak yatim dan tawanan perang dalam masa yang sama mereka juga menyukai harta dan makanan tersebut. Akan tetapi, mereka lebih mencintai Allah daripada diri mereka sendiri. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.90)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami tegaskan ya, pahalanya besar dalam membantu orang seperti janda, orang miskin dan yang memerlukannya. 

Daripada Safwan bin Sulaim, beliau meriwayatkannya secara marfu’ kepada Nabi SAW, Baginda bersabda:

السَّاعِي عَلَى الأَرْمَلَةِ وَالمِسْكِينِ كَالْمُجَاهِدِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَ: كَالَّذِي يَصُومُ النَّهَارَ وَيَقُومُ اللَّيْلَ. 

Maksudnya: “Orang yang berusaha untuk mengurus para janda dan orang-orang miskin ialah seperti orang yang berjihad di jalan Allah, dan seperti orang yang berpuasa pada siang hari dan berdiri (menunaikan solat) di malam hari.” 

Riwayat al-Bukhari (6006)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”