#7938: Pengumpulan al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh kisahkan bagaimana berlakunya pengumpulan al-Quran mengikut sunnah dan hadith? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, Imam al-Bukhari ada menukilkan sekurang-kurangnya tiga hadith atau riwayat yang menceritakan berkenaan pengumpulan al-Quran. Hadith-hadith tersebut adalah sebagaimana berikut:

Pertamanya, daripada riwayat Zaid bin Thabit R.A, beliau berkata:

أَرْسَلَ إِلَيَّ أَبُو بَكْرٍ مَقْتَلَ أَهْلِ اليَمَامَةِ، فَإِذَا عُمَرُ بْنُ الخَطَّابِ عِنْدَهُ. قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: إِنَّ عُمَرَ أَتَانِي فَقَالَ: إِنَّ القَتْلَ قَدْ اسْتَحَرَّ يَوْمَ اليَمَامَةِ بِقُرَّاءِ القُرْآنِ، وَإِنِّي أَخْشَى أَنْ يَسْتَحِرَّ القَتْلُ بِالقُرَّاءِ بِالْمَوَاطِنِ، فَيَذْهَبَ كَثِيرٌ مِنَ القُرْآنِ. وَإِنِّي أَرَى أَنْ تَأْمُرَ بِجَمْعِ القُرْآنِ. قُلْتُ لِعُمَرَ: كَيْفَ تَفْعَلُ شَيْئًا لَمْ يَفْعَلْهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ عُمَرُ: هَذَا وَاللَّهِ خَيْرٌ. فَلَمْ يَزَلْ عُمَرُ يُرَاجِعُنِي حَتَّى شَرَحَ اللَّهُ صَدْرِي لِذَلِكَ، وَرَأَيْتُ فِي ذَلِكَ الَّذِي رَأَى عُمَرُ. قَالَ زَيْدٌ: قَالَ أَبُو بَكْرٍ: إِنَّكَ رَجُلٌ شَابٌّ عَاقِلٌ لاَ نَتَّهِمُكَ، وَقَدْ كُنْتَ تَكْتُبُ الوَحْيَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَتَتَبَّعِ القُرْآنَ فَاجْمَعْهُ. فَوَاللَّهِ، لَوْ كَلَّفُونِي نَقْلَ جَبَلٍ مِنَ الجِبَالِ مَا كَانَ أَثْقَلَ عَلَيَّ مِمَّا أَمَرَنِي بِهِ مِنْ جَمْعِ القُرْآنِ. قُلْتُ: كَيْفَ تَفْعَلُونَ شَيْئًا لَمْ يَفْعَلْهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: هُوَ وَاللَّهِ خَيْرٌ. فَلَمْ يَزَلْ أَبُو بَكْرٍ يُرَاجِعُنِي حَتَّى شَرَحَ اللَّهُ صَدْرِي لِلَّذِي شَرَحَ لَهُ صَدْرَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. فَتَتَبَّعْتُ القُرْآنَ، أَجْمَعُهُ مِنَ العُسُبِ وَاللِّخَافِ وَصُدُورِ الرِّجَالِ، حَتَّى وَجَدْتُ آخِرَ سُورَةِ التَّوْبَةِ مَعَ أَبِي خُزَيْمَةَ الأَنْصَارِيِّ لَمْ أَجِدْهَا مَعَ أَحَدٍ غَيْرِهِ: {لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ} حَتَّى خَاتِمَةِ بَرَاءَةَ، فَكَانَتِ الصُّحُفُ عِنْدَ أَبِي بَكْرٍ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ، ثُمَّ عِنْدَ عُمَرَ حَيَاتَهُ، ثُمَّ عِنْدَ حَفْصَةَ بِنْتِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ.

Maksudnya: “Abu Bakar mengirim (utusan) kepadaku setelah peristiwa perang ahli Yamamah, dan Umar bin al-Khattab berada di sisinya.” Abu Bakar R.A berkata: Umar datang kepadaku dan berkata: Sesungguh peperangan pada peristiwa Yamamah telah memanaskan (mengorbankan) para penghafal al-Quran, dan sesungguhnya aku khuatir sekiranya peperangan terus mengorbankan para penghafal al-Quran di berbagai tempat, maka sebahagian besar daripada al-Quran akan hilang, dan aku berpendapat sebaiknya engkau perintahkanlah untuk mengumpulkan al-Quran. Aku berkata kepada Umar: “Bagaimana kamu hendak melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan Rasulullah SAW?” Umar berkata: Demi Allah, ini adalah perkara baik. Maka Umar terus-menerus mengajukan pandangannya kepadaku sehingga Allah melapangkan dadaku untuk perkara ini (mengumpulkan al-Quran), dan aku pun berpandangan dalam hal itu seperti pandangan Umar.” Zaid berkata: Abu Bakar berkata: Sesungguhnya engkau seorang pemuda yang cerdas dan kami tidak pernah mengesyakimu (melakukan pendustaan). Dan dahulu engkau menulis wahyu untuk Rasulullah SAW. Jejakilah al-Quran dan kumpulkanlah ia. “Demi Allah, sekiranya mereka pertanggungjawabkan kepadaku untuk memindahkan salah satu gunung, maka itu tidak lebih berat (yakni itu lebih mudah) bagiku daripada apa yang dia perintahkan kepadaku, iaitu mengumpulkan al-Quran.” Aku berkata: “Bagaimana kalian melakukan sesuatu yang tidak dilakukan Rasulullah?” Dia berkata: Demi Allah, ia adalah perkara yang baik. Abu Bakar terus menerus mengajukan (mengusuli) pandangannya kepadaku sehingga Allah melapangkan dadaku untuk perkara yang dilapangkan dada Abu Bakar dan Umar R.Anhuma melakukannya. Maka aku pun menjejak al-Quran, mengumpulkannya dari pelepah kurma, hamparan batu-batu, dan dada-dada (yakni hafalan) orang. Sehingga aku menemui akhir surah al-Taubah bersama Abu Khuzaimah al-Ansari, dan aku tidak mendapatinya ada pada orang lain, (ayat) “لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ” (Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman) [Surah al-Taubah: 128], sehingga akhir surah Bara’ah. Maka lembaran-lembaran itu berada pada Abu Bakar sehingga Allah mewafatkannya, kemudian berada pada Umar selama hidupnya. Setelah itu berada pada Hafsah binti Umar R.Anhuma.”

Riwayat al-Bukhari (4986)

Kemudian, keduanya, riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa:

أَنَّ حُذَيْفَةَ بْنَ اليَمَانِ، قَدِمَ عَلَى عُثْمَانَ وَكَانَ يُغَازِي أَهْلَ الشَّأْمِ فِي فَتْحِ أَرْمِينِيَةَ، وَأَذْرَبِيجَانَ مَعَ أَهْلِ العِرَاقِ، فَأَفْزَعَ حُذَيْفَةَ اخْتِلاَفُهُمْ فِي القِرَاءَةِ، فَقَالَ حُذَيْفَةُ لِعُثْمَانَ: يَا أَمِيرَ المُؤْمِنِينَ، أَدْرِكْ هَذِهِ الأُمَّةَ، قَبْلَ أَنْ يَخْتَلِفُوا فِي الكِتَابِ اخْتِلاَفَ اليَهُودِ وَالنَّصَارَى، فَأَرْسَلَ عُثْمَانُ إِلَى حَفْصَةَ أَنْ أَرْسِلِي إِلَيْنَا بِالصُّحُفِ نَنْسَخُهَا فِي المَصَاحِفِ، ثُمَّ نَرُدُّهَا إِلَيْكِ، فَأَرْسَلَتْ بِهَا حَفْصَةُ إِلَى عُثْمَانَ، فَأَمَرَ زَيْدَ بْنَ ثَابِتٍ، وَعَبْدَ اللَّهِ بْنَ الزُّبَيْرِ، وَسَعِيدَ بْنَ العَاصِ، وَعَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ الحَارِثِ بْنِ هِشَامٍ فَنَسَخُوهَا فِي المَصَاحِفِ، وَقَالَ عُثْمَانُ لِلرَّهْطِ القُرَشِيِّينَ الثَّلاَثَةِ: إِذَا اخْتَلَفْتُمْ أَنْتُمْ وَزَيْدُ بْنُ ثَابِتٍ فِي شَيْءٍ مِنَ القُرْآنِ فَاكْتُبُوهُ بِلِسَانِ قُرَيْشٍ؛ فَإِنَّمَا نَزَلَ بِلِسَانِهِمْ. فَفَعَلُوا، حَتَّى إِذَا نَسَخُوا الصُّحُفَ فِي المَصَاحِفِ، رَدَّ عُثْمَانُ الصُّحُفَ إِلَى حَفْصَةَ، وَأَرْسَلَ إِلَى كُلِّ أُفُقٍ بِمُصْحَفٍ مِمَّا نَسَخُوا، وَأَمَرَ بِمَا سِوَاهُ مِنَ القُرْآنِ فِي كُلِّ صَحِيفَةٍ أَوْ مُصْحَفٍ أَنْ يُحْرَقَ

Maksudnya: “Huzaifah bin al-Yaman datang kepada Uthman, dan dia bergabung (berjihad bersama) dengan penduduk Syam ketika pembukaan Armenia, dan bersama dengan penduduk Iraq di Azerbaijan. Huzaifah terkejut dengan perbezaan mereka dalam bacaan al-Quran . Maka Huzaifah berkata kepada Uthman: “Wahai Amirul mukminin, susulilah (satukanlah) umat ini sebelum mereka berselisih tentang al-Kitab (al-Quran) sebagaimana perselisihan orang-orang Yahudi dan Nasrani.” Maka Uthman mengirim utusan kepada Hafsah (untuk mengatakan): “Kirimkanlah kepada kami lembaran-lembaran itu, kami akan menyalinnya ke dalam mushaf-mushaf, kemudian kami akan mengembalikannya kepadamu.” Lantas Hafsah mengirimkannya (lembaran-lembaran itu) kepada Uthman, lalu Uthman memerintahkan Zaid bin Thabit, dan Abdullah bin al-Zubair, dan Sa‘id bin al-‘As, dan ‘Abd al-Rahman bin al-Harith bin Hisyam, maka mereka menyalinnya ke dalam mushaf-mushaf. Maka, Uthman berkata kepada jemaah (yang terdiri daripada) tiga orang Quraisy itu: “Sekiranya kalian berselisih dengan Zaid bin Thabit pada apa-apa perkara tentang al-Quran, maka tulislah menurut dialek Quraisy, kerana ia (al-Quran itu) turun mengikut dialek mereka.” Maka mereka pun melakukannya sehinggalah ketika mereka selesai menyalin lembaran-lembaran itu ke dalam mushaf-mushaf, Uthman pun mengembalikan lembaran-lembaran tersebut kepada Hafsah, lalu mengirimkan mushaf yang telah mereka salin itu ke seluruh pelusuk (negara Islam), dan dia memerintahkan setiap lembaran atau mushaf selain daripada (yang disalin itu) supaya dibakar.”

Riwayat al-Bukhari (4987)

Kemudian, ketiganya, riwayat daripada Zaid bin Thabit R.A, beliau berkata:

فَقَدْتُ آيَةً مِنَ الأَحْزَابِ حِينَ نَسَخْنَا المُصْحَفَ، قَدْ كُنْتُ أَسْمَعُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ بِهَا، فَالْتَمَسْنَاهَا فَوَجَدْنَاهَا مَعَ خُزَيْمَةَ بْنِ ثَابِتٍ الأَنْصَارِيِّ: {مِنَ المُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ} فَأَلْحَقْنَاهَا فِي سُورَتِهَا فِي المُصْحَفِ.

Maksudnya: “Aku tidak menemukan satu ayat Surah al-Ahzab ketika kami menyalin mushaf, dan aku telah mendengar Rasulullah SAW membacanya, maka aku mencarinya dan mendapatinya bersama Khuzaimah bin Thabit al-Ansari: “مِنَ المُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ”(Dalam kalangan orang-orang mukmin itu ada orang  yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah.) [Surah al-Ahzab: 23] Kami pun menggabungkannya ke dalam surahnya dalam mushaf.

Riwayat al-Bukhari (4988)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”