#4649: Penghuni Neraka Saqar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah penghuni neraka Saqar seperti yang disebut dalam al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مَا سَلَكَكُمْ فِى سَقَرَ ٤٢ قَالُوا۟ لَمْ نَكُ مِنَ ٱلْمُصَلِّينَ ٤٣ وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ ٱلْمِسْكِينَ ٤٤ وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ ٱلْخَآئِضِينَ ٤٥ وَكُنَّا نُكَذِّبُ بِيَوْمِ ٱلدِّينِ ٤٦ حَتَّىٰٓ أَتَىٰنَا ٱلْيَقِينُ ٤٧ فَمَا تَنفَعُهُمْ شَفَـٰعَةُ ٱلشَّـٰفِعِينَ ٤٨ فَمَا لَهُمْ عَنِ ٱلتَّذْكِرَةِ مُعْرِضِينَ ٤٩ كَأَنَّهُمْ حُمُرٌۭ مُّسْتَنفِرَةٌ

Maksudnya: “Apakah yang menyebabkan kamu dihumban ke dalam Neraka Saqar? Mereka berkata, “Dahulu kami bukan dalam  kalangan mereka yang menunaikan solat.” “Kami juga tidak memberi makan kepada fakir miskin.” “Kami sentiasa membicarakan kebatilan bersama-sama dengan orang yang batil.” Kami pula mendustakan hari pembalasan ini. Sehinggalah maut menjemput kami. Maka tidak bermanfaat bagi mereka syafaat daripada pemberi syafaat. Mengapakah dahulu mereka berpaling daripada peringatan? Seolah-olah sekawan keldai yang lari berkeliaran.”

(Surah al-Muddatthir: 42-50)

Berdasarkan ayat-ayat di atas, Ahli syurga yang dikenali sebagai Ashab al-Yamin ini bertanyakan soalan terhadap orang kafir, apakah yang menyebabkan mereka masuk ke dalam Neraka Saqar? Lalu mereka menjawab bahawa mereka bukanlah dari golongan yang melaksanakan solat fardhu. Mereka juga tidak pernah memberikan makanan atau sesuatu perkara yang menjadi kewajipan ke atas mereka memberinya terhadap orang miskin. Ayat 43 dan 44 ini menunjukkan bahawa mereka jelas memperakui kesalahan mereka dengan kata-kata penafian yang berterusan, iaitu mereka sentiasa berterusan menafikan bahawa mereka tidak menunaikan solat fardu, dan mereka juga sentiasa berterusan menafikan bahawa mereka tidak memberikan makan kepada golongan fakir miskin. Di samping itu, mereka juga sering mengambil bahagian dalam memperkatakan sesuatu yang batil bersama dengan orang yang turut sama memperkatakannya.

Al-Jaza’iri mentafsirkan, mereka turut mendustakan hari pembalasan termasuklah tidak mempercayai adanya balasan pahala dan dosa sehinggalah datang kematian (اليقين) kepada mereka. Pada saat itu, mereka tiada lagi ruang untuk bertaubat. (Lihat Aysar al-Tafasir, 5/472)

Dalam pada itu, tiada sesiapa pun dari kalangan pemberi syafaat akan memberikan syafaat kepada golongan yang melakukan segala kemungkaran yang telah dinyatakan di atas. Jika sekalipun manusia lain dapat memberikan syafaat kepada mereka, syafaat itu sendiri tidak menerima mereka sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Sabuni. (Lihat Safwah al-Tafasir, 3/455)

Ini kerana, selagi mereka bersikap dengan sikap-sikap buruk yang dinyatakan di atas, syafaat orang yang memberi manfaat tetap tidak berfaedah kepada mereka.

Bentuk-bentuk Kesalahan Khusus Penghuni Neraka Saqar Ketika di Dunia

Allah SWT menerangkan bentuk-bentuk kesalahan khusus penghuni Neraka Saqar ketika di dunia. Selain mereka membuat pelbagai tohmahan terhadap al-Quran, terdapat beberapa kejahatan lain yang dilakukan oleh mereka sewaktu di dunia iaitu:

  • Mereka tidak memelihara solat fardu.
  • Mereka tidak membayar zakat dan tidak menginfaqkan harta kepada golongan yang memerlukan.
  • Mereka gemar berbicara sesuatu perkara yang batil bersama kelompok yang suka berkata batil juga, seperti mengumpat, memfitnah, mengadu domba, dan seumpama dengannya.
  • Mereka mendustakan hari pembalasan yang pasti berlaku dan mengingkari adanya kehidupan selepas kematian.
  • Mereka berpaling dari segala peringatan Allah dan rasul-Nya.

Dengan mengetahui segala bentuk kesalahan tersebut, umat Islam wajib berusaha memelihara diri daripada melakukan perbuatan batil tersebut agar tidak tergolong dalam kalangan ahli Neraka Saqar. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/242)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)