#151 Jumpa Duit Tepi Jalan

Soalan

Adakah saya boleh mengambil duit yang saya jumpai di tepi jalan? Kalau tidak boleh, adakah saya perlu membiarkannya ataupun bagaimana? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Harta yang ditemui di suatu kawasan yang tidak dimiliki, tidak dijaga, dan penemu tidak mengenali pemiliknya disebut di dalam Bahasa Arab sebagai Al-Luqatah. Dr Wahbah Zuhaili menjelaskan maksud Al-Luqatah di sisi syarak di dalam kitabnya: Daripada Ibn Qudamah al-Hanbali Al-Luqatah bermaksud “Harta yang hilang dari tuannya dan dijumpai oleh orang lain.” (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuhu, 6/4856).

Selain itu Syeikh Mustafa Bugha di dalam kitabnya menyatakan: “al-Luqatah mengikut Syarak adalah sesuatu barang atau harta yang bernilai (di sisi syarak), dijumpai di tempat yang tidak mempunyai pemilik, dan tidak mengetahui hak miliknya”. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 7/69).

Syeikh Mustafa Bugha mengklasifikasikan harta Al-Luqatah kepada dua bahagian:

  • Harta Al-Luqatah (haiwan) iaitu menjumpai haiwan peliharaan yang bernilai di sisi syarak. Para ulama membahagikannya kepada beberapa bahagian iaitu haiwan yang boleh menguruskan dirinya sendiri seperti unta dan haiwan yang tidak dapat menguruskan dirinya seperti anak lembu.
  • Harta Al-Luqatah (selain daripada haiwan) Syeikh Mustafa Bugha mengharuskan mengambil barang itu dan menjaganya. Ia juga tertakluk kepada hukum syariat samada wajib ataupun tidak. Berkenaan dengan harta Al-Luqatah selain haiwan, Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhaniy, salah seorang sahabat Rasulullah SAW, katanya: Rasulullah SAW ditanya oleh seseorang berkenaan harta Al-Luqatah (harta yang dijumpai) daripada emas atau perak. Baginda SAW bersabda:

‏” اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً فَإِنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ فَإِنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فَأَدِّهَا إِلَيْهِ ‏”‏

Maksudnya: “kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun sekiranya tidak dijumpai (pemiliknya) maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya sekiranya ia dituntut kembali maka kembalikanlah kepadanya.”

Riwayat Muslim (1722)

Berkenaan dengan hukum mengambil harta al-Luqatah fuqaha berbeza pendapat berkenaan dengannya. Mazhab Syafie dan mazhab Hanafi membolehkan kita mengambilnya ini kerana seseorang itu wajib menjaga harta saudaranya. Manakala mazhab Maliki dan mazhab Hanbali melarangnya. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuhu, 6/4857).

Berkenaan dengan hal ini Syeikh Mustafa Bugha menggariskan beberapa pembahagian dalam al-Fiqh al-Manhaji, (7/71):

  • Sunat mengambilnya bagi seseorang yang beramanah dan mampu menjaganya sekiranya merasakan kemungkinan barang yang dijumpai akan hilang.
  • Harus mengambilnya bagi seseorang yang beramanah dan mampu menjaganya sekiranya merasakan barang itu tidak hilang.
  • Wajib mengambilnya bagi seseorang yang beramanah dan mampu menjaganya sekiranya meyakini barang itu akan hilang apabila tidak mengambilnya ini kerana menjaga harta orang islam itu adalah wajib.
  • Makruh mengambilnya sekira ia merasakan tidak dapat menjaga amanah pada masa akan datang.
  • Haram mengambilnya kepada orang yang tidak beramanah dan tidak dapat menjaganya.

Hebahan harta Al-Luqatah yang mempunyai nilai yang besar mengikut jumhur para fuqaha adalah wajib. Ini berdasarkan hadis nabi S.A.W daripada Zaid bin Khalid yang bermaksud “hebahkan ia selama setahun”.

Syeikh Wahbah Zuhaili menulis di dalam kitab beliau berkenaan cara menghebahnya iaitu dengan mengumumkan ke atasnya (harta Al-Luqatah) atau mengiklankannya di tempat yang dijumpai, dan di tempat pengumpulan masyarakat seperti pasar, pintu masjid dan kedai-kedai makan. (Lihat al-Fiqh Al-Islam wa Adillatuhu, 6/4863).

Sekiranya harta tersebut tidak dituntut sebaiknya diserah kepada pihak berautoriti bagi menjamin keselamatannya dan diputuskan oleh qodi atau hakim untuk proses kegunaan bertujuan kemaslahatan umum atau diserahkan kepada baitumal.

Berkenaan dengan barang yang tidak menjadi tumpuan orang ramai dan mudah rosak seperti tali, kayu atau makanan tidak harus mengumumkannya seperti hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, katanya:

رَخَّصَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْعَصَا وَالسَّوْطِ وَالْحَبْلِ وَأَشْبَاهِهِ يَلْتَقِطُهُ الرَّجُلُ يَنْتَفِعُ بِهِ

Maksudnya:Rasullullah SAW memberikan kami rukhsah (kelonggaran) mengambil tongkat, cemeti, tali dan sejenis dengannya yang diambil oleh seseorang bertujuan untuk mengambil manfaat dengannya.”

Riwayat Abu Dawud (1212)

Begitu juga dengan harta yang dijumpai kurang nilainya tetapi menjadi tumpuan orang ramai seperti wang yang kecil nilainya. Maka seharusnya dia mengumumkan selama mana ia merasakan pemiliknya tidak mahu lagi mencarinya ini seperti yang dinyatakan oleh Imam Al-Syaukani di dalam kitabnya bahawa Saidina Ali RA berjumpa dengan Rasullullah S.A.W bertanyakan tentang satu dinar yang dijumpainya. Lalu Baginda menyuruhnya untuk mengumumkan sebanyak 3 kali. Sekiranya tidak ada yang menuntutnya maka manfaatlah kesemuanya. (Lihat Nail al-Autar, 5/404).

Berdasarkan persoalan yang diajukan kepada kami dapat disimpulkan, duit tersebut boleh diambil, tetapi dengan beberapa panduan:

  • Mestilah berazam untuk menjaga dan memulangkan semula wang yang dijumpai tersebut sekiranya dituntut.
  • Membuat hebahan kepada orang ramai di kawasan yang dijumpai selama mana anggaran bahawa pemiliknya tidak akan mencarinya lagi. Kemungkinan selama 3 hari atau kurang mengikut anggaran nilai barang tersebut.
  • Sekiranya di dalam jangka waktu itu tidak ada orang yang menuntut maka ia dibenarkan untuk menggunakannya dan sanggup untuk membayarnya kembali sekiranya ia dituntut.
  • Sebaiknya duit yang dijumpai dihebahkan melalui media sosial seperti facebook dan whatsapp dan seumpamanya. Setelah itu sekiranya masih belum dijumpai pemiliknya dalam tempoh yang tertentu duit itu boleh disedekahkan kepada masjid atau rumah anak yatim. Namun sekiranya nilai yang besar dan berharga diwajibkan untuk mengiklankannya selama satu tahun atau boleh diserahkan kepada pihak yang berautoriti bagi menguruskan harta itu.

Wallahua`lam.

Bertarikh 2 Disember 2021 M bersamaan  27 Rabiul Akhir 1443 H