#4774: Bernikah dengan Perempuan Hamil 8 Bulan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum bernikah dengan perempuan yang sedang hamil 8 bulan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkataan nikah berasal dari perkataan Arab (نَكَحَ يَنْكِحُ نَكْحاً ونِكَاحاً) yang bermaksud bernikah dan perkataan (الاخْتِلَاطُ) yang bermaksud bercampur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/34)

Dari istilah syarak, nikah ialah suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga membawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/671)

Islam mensyariatkan perkahwinan dan menetapkan peraturan yang sempurna berdasarkan prinsip yang kukuh dan menjamin kestabilan masyarakat, kebahagiaan keluarga, tersebarnya kebaikan, pemeliharaan budi pekerti dan mengekalkan generasi manusia. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ

Maksudnya: Maka, kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: Dua, tiga atau empat.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Ibn Kathir berkata: “Dalil ini menunjukkan had bilangan isteri yang boleh dimiliki oleh seorang lelaki, sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Abbas dan jumhur fuqaha. Hal ini menunjukkan kelebihan yang dikurniakan Allah SWT kepada seorang lelaki.”

Firman Allah SWT lagi:

وَأَنكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ ۚ

Maksudnya: Dan kahwinkanlah orang-orang yang ber-sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan.

(Surah al-Nur: 32)

 Begitu juga hadis, daripada Abdullah bin Mas’ud RA, sabda Rasulullah SAW:

يا معشرَ الشَّبابِ، منِ استطاعَ منْكمُ الباءةَ فليتزوَّجْ، فإنَّهُ أغضُّ للبصرِ، وأحصنُ للفَرجِ، ومن لم يستطِعْ، فعليْهِ بالصَّومِ، فإنَّهُ لَهُ وجاءٌ

Maksudnya: Hai para pemuda! Sesiapa di kalangan kamu yang mampu berkahwin, maka kahwinlah kerana ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan. Sebaliknya, jika tidak mampu, hendaklah berpuasa kerana puasa itu merupakan pengekang nafsu.

Riwayat al-Bukhari (4779) dan Muslim (1400)

Menjawab persoalan di atas, kami membahagikan jawapan kepada dua keadaan:

1)    Sekiranya perempuan yang hamil itu dicerai atau kematian suami, maka haram untuk dikahwini kerana masih dalam tempoh iddah iaitu sehingga melahirkan bayi tersebut. Firman Allah SWT:

 وَأُولَاتُ الْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ

Maksudnya: Wanita-wanita yang hamil, waktu iddah mereka adalah sehingga mereka melahirkan kandungan mereka.

Surah al-Thalaq (4)

2)    Sekiranya perempuan tersebut hamil disebabkan zina yang dilakukannya, maka ia dibolehkan tetapi anak tersebut tidak boleh di’bin’kan kepada lelaki yang mengahwini perempuan tersebut. Walaupun begitu, kami cadangkan kahwinlah selepas selesai kelahiran anak supaya ianya lebih yakin dan tenang jiwa di samping keluar daripada khilaf oleh sebahagian ulama’.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a‘lam.