#4809: Munafik Sepanjang Zaman

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah wujudnya munafik di sepanjang zaman?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَيُعَذِّبَ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ وَٱلْمُنَـٰفِقَـٰتِ وَٱلْمُشْرِكِينَ وَٱلْمُشْرِكَـٰتِ ٱلظَّآنِّينَ بِٱللَّهِ ظَنَّ ٱلسَّوْءِ ۚ عَلَيْهِمْ دَآئِرَةُ ٱلسَّوْءِ ۖ وَغَضِبَ ٱللَّهُ عَلَيْهِمْ وَلَعَنَهُمْ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَهَنَّمَ ۖ وَسَآءَتْ مَصِيرًۭا

Maksudnya: “Dan agar Dia menyeksa lelaki dan perempuan munafik dan musyrik, yang berprasangka buruk terhadap Allah; mereka akan mendapat giliran azab yang buruk; Allah memurkai dan melaknati mereka serta menyediakan Neraka Jahannam untuk mereka; dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.”

(Surah al-Fath: 6)

Di dalam ayat ini, Allah SWT mendahulukan lafaz munafik sebelum lafaz musyrik sebagai suatu peringatan terhadap umat Islam terhadap bahaya yang ditimbulkan oleh golongan munafik. Ini kerana golongan munafik membawa ancaman yang lebih besar terhadap umat Islam daripada ancaman orang kafir yang menyatakan kekufuran mereka. Ini kerana golongan munafik ini hidup dalam kalangan umat Islam dengan sangkaan mereka beriman, yang menyebabkan umat Islam lupa dan lalai dengan bahaya yang ditimbulkan oleh mereka. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 10/77)

Ibn ‘Asyur menyatakan bahawa golongan munafik ini tidak seorang pun daripada mereka yang menyertai Rasulullah SAW sewaktu Pembukaan Kota Makkah dan juga sewaktu peristiwa Umrah Qadha’ yang berlaku pada tahun berikutnya. Hal ini kerana mereka tidak mahu golongan musyrikin Makkah melihat mereka bersama umat Islam dalam amalan ibadah serta mereka menyangka bahawa umat Islam akan dihalau dari Makkah dan dikalahkan oleh orang musyrikin dalam peristiwa tersebut. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 26/153)

Justeru, Allah SWT menegaskan sekali lagi bahawa Dia menguasai bala tentera di langit dan di bumi yang mampu merealisasikan kemenangan kepada Nabi SAW dan umat Islam sebagai suatu ancaman kekalahan kepada golongan munafik dan kafir musyrikin yang menentang Islam.

Daripada Abdullah bin Amr R.Anhuma daripada Nabi SAW bersabda:

أَربعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنافِقاً، وإنْ كَانَتْ خَصلةٌ مِنهُنَّ فِيْهِ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفاقِ حتَّى يَدَعَها: مَنْ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وإذا وَعَدَ أَخْلَفَ، وإذا خَاصَمَ فَجَرَ، وإذا عَاهَدَ غَدَرَ

Maksudnya: “Empat perkara, barangsiapa yang ada padanya keempat perkara tersebut maka dia seorang munafiq yang sebenar, jika ada padanya satu di antara sifat tersebut bererti ada padanya satu sifat kemunafikan sehinggalah dia meninggalkannya: Iaitu seorang apabila berbicara ia dusta, apabila berjanji tidak ditepatinya, apabila berselisih melampaui batas dan apabila melakukan perjanjian ingkar.”

Riwayat al-Bukhari (34) (2459) dan Muslim (117) (8) (106)

Kami katakan:

  • Maksud hadis ini ialah perbuatan penyerupaan muslim dengan sifat dan akhlak yang tercela iaitu munafiq. Hadis ini menunjukkan makna yang majazi bukan makna yang hakiki. Inilah pandangan Imam Nawawi.
  • Maksud nifaq di sini ialah nifaq amali (perbuatan) bukan nifaq I’tiqadi (akidah). Ini pandangan al-Qurtubi, dan dirajihkan oleh Ibn Rajab, Ibn Hajar al-Asqalani. Dan inilah pandangan yang paling rajih.
  • Dikatakan yang dikehendaki dengan nifaq di sini ialah peringatan dan pemerhatian daripada terjerumus ke dalam sifat dan perbuatan ini. Inilah yang disetujui oleh al-Khattabi.
  • Sesiapa yang membiasakan diri dengan sifat-sifat nifaq ini sehingga ianya menjadi satu perwatakan pada dirinya dan kebiasaan akhlaknya dan sehingga ia menganggap perkara tersebut sebagai remeh dan sifat-sifat seperti itu baik baginya, maka kebiasaanya itu ialah kerana fasad (buruknya) akidah. (Lihat al-Kafi, 518)

Munafik Penentang Islam Wujud Sepanjang Zaman

Golongan munafik yang menzahirkan keimanan dan menyembunyikan kekufuran sentiasa wujud pada setiap zaman. Golongan ini sentiasa menyebelahi golongan kafir yang memusuhi Islam dan mengharapkan kecelakaan dan kegagalan menimpa Islam dan umatnya.

Pada zaman ini, sering kali kita melihat golongan yang mengaku beragama Islam dan sering menyatakan kebanggaan di atas keislamannya, namun perkataan dan perbuatan mereka sangat memusuhi Islam. Golongan munafik moden ini sering menggunakan platform gerakan liberal, anti-hadis dan kumpulan-kumpulan yang menentang sebarang perlaksanaan syariat Islam. Koordinasi gerakan mereka dalam menyerang agama Islam dilihat seakan-akan senada dengan gerakan kafir yang turut menentang Islam.

Banyak ayat al-Quran yang mendahulukan sebutan lafaz munafik sebelum lafaz musyrik sebagai isyarat peringatan kepada umatnya bahawa bahaya tipu daya golongan munafik ini adalah lebih besar dan tersembunyi daripada bahaya golongan yang menzahirkan kekufurannya.

Justeru, umat Islam perlu sentiasa berwaspada dan tidak mudah alpa terhadap serangan mereka. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/350)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”