#4836: Bertasbih ketika Menuruni Lembah dan Bertakbir ketika Menaiki Tempat Tinggi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah terdapat dalil kita disunatkan untuk bertakbir dan bertasbih dalam musafir mengikut tempat yang kita lalui? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.”

(Surah al-Ahzab: 41)

Kami kemukakan terlebih dahulu fadhilat dan kelebihan bertakbir. Di antaranya:

Pahala Amalan Seperti Melakukan Haji dan Umrah

Diriwayatkan daripada Abu Darda’ R.A, dia mengadu kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya dengan keuntungan mereka, mereka menunaikan haji dan kami tidak mengerjakan haji, mereka berjihad dan kami tidak berjihad, begitu dan seterusnya.” Lalu Baginda SAW bersabda:

أَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إنْ أَخَذْتُمْ بِهِ جِئْتُمْ أَفْضَلَ مِمَّا يَجِيءُ بِهِ أَحَدٌ مِنْهُمْ؟ أَنْ تُكَبِّرُوا أَرْبَعًا وَثَلَاثِينَ، وَتُسَبِّحُوهُ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، وَأَنْ تَحْمَدُوهُ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ

Maksudnya: “Hendakkah kamu aku ajarkan sesuatu yang apabila kalian lakukannya, maka kamu telah melakukan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang dikerjakan (haji) oleh salah seorang dari mereka (orang-orang kaya)? Selepas solat, kamu bertakbir sebanyak 34 kali, bertasbih sebanyak 33 kali, dan bertahmid sebanyak 33 kali.”

Riwayat al-Nasa’i (9902)

Ganjaran pahala seperti yang diterangkan dalam hadith sekiranya berzikir dengan lafaz takbir diseratakan dengan lafaz tasbih dan tahmid.

Ganjaran pahala yang memenuhi antara langit dan bumi

Diriwayatkan daripada seseorang daripada Bani Sulaim bahawa beliau berkata:

عدَّهنَّ رسولُ اللهِ ﷺ في يدي أو في يدِهِ التَّسبيحُ نصفُ الميزانِ والحمدُ للهِ يملؤُهُ والتَّكبيرُ يملَأُ ما بينَ السَّماءِ والأرضِ والصَّومُ نصفُ الصَّبرِ والطُّهورُ نصفُ الإيمانِ.

Maksudnya: Rasulullah SAW menghitungnya pada tanganku atau tangannya, “Bacaan Tasbih adalah setengah timbangan  dan Alhamdulillah memenuhi timbangan tersebut, dan takbir memenuhi antara langit dan bumi, puasa adalah setengah kesabaran, dan bersuci adalah setengah keimanan.

Riwayat al-Tirmizi (3519).[1]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, kita disunatkan untuk bertasbih ketika menuruni lembah dan bertakbir ketika menaiki tempat tinggi.

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, katanya:

كُنَّا إِذَا صَعِدْنَا كَبَّرْنَا، وَإِذَا نَزَلْنَا سَبَّحْنَا

Maksudnya: “Apabila kami mendaki  kami bertakbir ketika mendaki dan apabila turun, kami bertasbih.”

Riwayat al-Bukhari (2993)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

 

Nota kaki:

[1] Syeikh Syu’aib Arna’ut menilai hadith ini sebagai Sahih Li Ghairih dalam Takhrij al-Musnad (hlm. 23073).