#4912: Ayam Jantan Melihat Malaikat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah ayam jantan melihat malaikat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan mengemukakan sedikit pengenalan ringkas berkenaan ayam. Ayam merupakan sejenis unggas bela jinak dan subspesies kepada ayam hutan merah. Ayam merupakan antara haiwan bela jinak yang paling umum dan meluas sekali dengan jumlahnya melebihi 19 bilion ekor setakat tahun 2011. Manusia membela ayam terutamanya sebagai sumber makanan dalam bentuk daging mahupun telurnya. Ayam umumnya tidak dapat terbang, dapat dijinakkan dan dipelihara.

Kajian genetik menunjuk ke arah pelbagai asal-usul sakanya di Asia Selatan, Tenggara dan Timur, bahkan dengan kladnya[1] ditemui di benua-benua Amerika, Eropah, Timur Tengah dan Afrika yang berasal dari subbenua India. Ayam bela jinak diimport dari India ke negara Lydia di barat Asia Kecil, kemudian ke Yunani menjelang abad ke-5 Sebelum Masihi. Ayam sudah dikenali di Mesir sejak pertengahan abad ke-15 Sebelum Masihi, dengan kedatangan “burung yang beranak setiap hari” ke Mesir dari tanah di antara Syria dan Shinar, Babylonia, menurut babad Thutmose III. Genom ayam kurang sekali berubah daripada leluhur berbulu pelepah yang terhapus oleh peristiwa kepupusan Kapur–Paleogen berbanding genom dinosaur keburungan yang telah dijujukkan setakat ini.

Ayam merupakan haiwan maserba (omnivor). Ayam liar lazimnya mengais tanah dengan cakar untuk mencari benih, serangga ataupun haiwan yang lebih besar seperti cicak, ular kecil ataupun tikus muda.

Ayam boleh hidup selama lima ke sepuluh tahun bergantung pada bakanya. Ayam yang tertua di dunia pernah tercatat merupakan Matilda si ayam betina yang mati akibat kegagalan jantung pada umur 16 tahun, menurut Guinness World Records.

Ayam jantan sering dibezakan daripada ayam betina dengan bulu ekor yang lebih panjang dan berkilat dan bulu sua yang runcing di leher, yang lazimnya berwarna cerah dan garang berbanding ayam betina yang sama bakanya. Akan tetapi dalam sesetengah baka, misalnya ayam Sebright, yang jantan bulu suanya tidak terlalu runcing, apatah lagi sama warna dengan yang betina. Jantina ayam dikenal pasti dengan memandang bentuk balung ataupun perkembangan cakar susuh atau jalu pada kaki ayam jantan (dalam sesetengah baka, anak ayam pun dibezakan jantina daripada warna). Ayam dewasa mempunyai jambul yang berisi pada kepala yang dipanggil balung, dan kelepak kulit yang terjuntai pada paruh yang dipanggil pial. Kesemua bonggol daging yang terdedah pada kepala dan leher ini dipanggil karunkel. Ayam jantan dan betina sekali gus berbalung lagi berpial, tetapi lebih ketara pada yang jantan kebanyakan baka.

Sesetengah baka ayam mengalami mutasi yang berupa seakan-akan “janggut” iaitu bulu yang lebih lebat di bawah muka ayam. Ayam yang dibela jinak tidak mampu terbang jarak jauh, sungguhpun ayam yang ringan-ringan pada umumnya mampu terbang jarak dekat, misalnya secukup melompat pagar atau menghinggap pokok (iaitu tempat bertenggek semula jadinya). Sekali-sekala ada ayam yang terbang sekejap-sekejap untuk menjelajah sekeliling, tetapi pada umumnya hanya untuk melarikan diri dari bahaya.[2]

Keduanya, ayam termasuk dalam haiwan yang halal untuk dimakan. Justeru, tidak kira ayam jantan, ayam betina mahupun anak ayam, kecil ataupun besar, kesemuanya termasuk dalam jenis binatang yang dihalalkan oleh Allah SWT untuk dimakan.

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat Abu Musa al-Asy‘ari bahawa beliau berkata:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْكُلُ دَجَاجاً

Maksudnya: “Aku telah melihat Nabi SAW makan (daging) ayam.”

Riwayat al-Bukhari (5517)

Al-Mubarakfuri menyebutkan, hadith di atas menunjukkan bahawa diharuskan untuk memakan ayam jinak dan ayam liar secara sepakat para ulama. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/450).

Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, ayam jantan boleh melihat malaikat. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمْ صِيَاحَ الدِّيَكَةِ فَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ، فَإِنَّهَا رَأَتْ مَلَكًا

Maksudnya: “Apabila kamu mendengar kokokan ayam jantan, maka mohonlah kepada Allah akan kurniaan-Nya kerana sesungguhnya ia melihat malaikat.”

Riwayat al-Bukhari (3303)

Rasulullah SAW menjadikan bunyi kokok ayam jantan, sebagai tanda kebaikan, iaitu datangnya Malaikat dan kita dianjurkan berdoa. Hal ini menunjukkan keistimewaan ayam jantan.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalanimenyebutkan, ayam jantan memiliki keistimewaan yang tidak dimiliki binatang lain, iaitu ia mengetahui perubahan waktu di malam hari. Ia berkokok di waktu yang tepat dan tidak pernah ketinggalan. Ia berkokok sebelum subuh dan selepas subuh, ia tidak pernah tersalah waktu. Sama ada pada malamnya yang panjang atau yang singkat. Oleh sebab itu, sebahagian ulama Syafi‘iyah memfatwakan untuk berpegang bahawa ayam jantan mujarab dalam menentukan waktu.

Beliau juga dalam kitabnya, turut menukilkan kata-kata ‘Iyadh:

كَانَ السَّبَبُ فِيهِ رَجَاءَ تَأْمِينِ الْمَلَائِكَةِ عَلَى دُعَائِهِ وَاسْتِغْفَارِهِمْ لَهُ وَشَهَادَتِهِمْ لَهُ بِالْإِخْلَاصِ وَيُؤْخَذُ مِنْهُ اسْتِحْبَابُ الدُّعَاءِ عِنْد حُضُور الصَّالِحين

Maksudnya: “Sebab kita dianjurkan berdoa ketika ayam berkokok adalah mengharapkan ucapan amin daripada Malaikat untuk doa kita dan permohonan ampun mereka kepada kita, serta persaksian mereka akan keikhlasan kita. Faedah yang boleh diambil daripada hadith ini adalah tuntutan untuk berdoa ketika hadirnya orang-orang yang soleh.” (Lihat Fath al-Bari, 6/353)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

 

Nota kaki:

[1] Klad ialah sepatah istilah dalam bidang kladistik. Untuk tujuan praktik, “klad” biasanya merujuk kepada:

  • satu cabang dalam kladogram; kladogram ialah gambar rajah pohon yang dihasilkan oleh penganalisisan klad.
  • kumpulan monofili organisma, iaitu sekumpulan organisma yang mempunyai leluhur yang sama, dan termasuk leluhur dan semua keturunannya. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Klad. Diakses pada 2 Disember 2023).

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Ayam. Diakses pada 2 Disember 2023.