#5077: Berselawat untuk Selain Nabi Muhammad SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin adakah dibolehkan untuk berselawat selain Nabi Muhammad SAW? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sesungguhnya amalan berselawat ke atas Rasulullah SAW merupakan satu amalan yang agung dan besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Dalam menggambarkan keagungan dan kebesaran amalan tersebut, Allah SWT memulakan perintah untuk berselawat dengan dzat-Nya dan para malaikat terlebih dahulu, sebelum kita sebagai orang-orang beriman dituntut untuk mengucapkan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

(Surah al-Ahzab: 56)

Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Wahai orang beriman, doakanlah supaya Nabi SAW mendapat rahmat, muliakan Baginda walau dengan apa cara yang kamu mampu lakukan. Umpamanya mengikut Baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu juga, dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan lidahmu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/5511)

Al-Qadhi Iyadh dalam kitab al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa  menyebut: Menurut Ibn Abbas R.Anhuma, makna ayat ini adalah, Allah SWT dan para malaikat sentiasa melimpahkan berkat kepada Nabi SAW. Ada juga yang mengertikan ayat ini dengan menyebut: Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa melimpahkan rahmat kepada Nabi.(Lihat al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa,hlm. 138-139)

Diriwayatkan daripada Husin Bin Ali Bin Abi Tolib bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Maksudnya: “Orang yang bakhil adalah orang yang apabila disebutkan namaku, maka dia tidak berselawat ke atasku.”

Riwayat Tarmizi(3546) dan Ahmad(1736)

Syeikh al-Mubarakfuri menukilkan bahawa Imam Ibn Kathir ada menyatakan selepas menyebut berkaitan hadith daripada Ali dan juga hadith daripada Abu Hurairah menunjukkan akan dalil wajibnya berselawat ke atas Nabi SAW setiap kali mendengar nama Baginda SAW. Ini merupakan pandangan sebahagian mazhab daripada ulama seperti al-Tahawi dan al-Halimi. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/373)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami  katakan berselawat ke atas selain daripada nabi merupakan perkara yang diperselisihi di kalangan ulama.  Namun kami lebih cenderung kepada pandangan jumhur ulama yang berpandangan bahawa tidak berselawat kepada selain nabi kerana amalan selawat hanyalah dikhususkan untuk para anbiya’ dan para malaikat.

Dalam isu ini Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Ulama telah bersepakat tentang disyariatkan selawat ke atas Baginda nabi Muhammad SAW dan mereka juga telah berijma’ tentang keharusan dan sunat berselawat ke atas sekalian para nabi dan malaikat. Adapun selain dari Nabi, jumhur ulama’ berpandangan tidak boleh berselawat ke atas mereka. Oleh yang demikian tidak boleh mengatakan: Abu Bakar sallallahu ‘alaihi wasallam. Namun larangan ini diperselisihi di kalangan ulama. Sebahagan Ashab kami berkata: Ia adalah haram dan  sebahagian lain pula mengatakan makruh tanzih. Begitu juga kebanyakan daripada mereka juga berpandangan ia bukanlah makruh namun ia menyelisihi perkara yang lebih utama (Khilaf aula). Pandangan yang sahih menurut kebanyakan para ulama adalah ianya makruh tanzih kerana ia merupakan syiar ahli bid’ah dan kami melarang daripada syiar-syiar mereka. Para ashab kami berkata: Yang muktamadnya adalah ia dikhususkan kepada para anbiya’. (Lihat al-Azkar, hlm 118)

Begitu juga Ibn Hajar al-Haitami dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj beliau menyebutkan: “Sallallahu ‘alaihi wasallam” yang merupakan rahmat yang dikaitkan dengan kebesaran. Istilah ini dikhususkan bagi para Nabi. Oleh itu tidak digunakan untuk selain mereka kecuali sebagai tanda penghormatan terhadap kedudukan mereka yang tinggi. Begitu juga  para malaikat kerana tergolongnya mereka dalam ‘ismah . (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 1/27)

Sebagai kesimpulannya kami katakan di sini, adalah lebih utama untuk berselawat atau mengamalkan selawat ke atas para nabi khususnya nabi kita Muhammad SAW sepertimana yang telah dinaskan dalam al-Quran dan al-Hadith. Adapun berselawat selain daripada nabi kami lebih cenderung kepada pandangan yang muktamad yang mengatakan ianya makruh. Justeru, marilah kita sama-sama memperbanyakkan amalan selawat kerana Nabi SAW pernah bersabda:

فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.”

Riwayat Muslim (384)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Wallahua’lam