Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat hadith apabila seseorang masih berada di tempat solat yang dia solat padanya, dan dia tidak berhadas, maka mendapat doa dari malaikat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ
Maksudnya: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.
(Surah al-Baqarah: 238)
Imam al-Qurtubi dalam mentafsirkan maksud perkataan ‘حَافِظُوا’ (“peliharalah”), berkata: Ia merujuk kepada suruhan Allah SWT ke atas hambanya supaya memelihara serta menjaga solatnya dengan mengerjakan solat tersebut dalam waktunya dan memenuhi syarat-syaratnya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/212)
Galakan solat berjemaah adalah sebagaimana hadith Nabi SAW, daripada Abu Hurairah bahawa Baginda SAW bersabda:
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya : “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.”
Riwayat Muslim (1509)
Di dalam riwayat lain menyatakan:
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا
Maksudnya: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat kalian yang secara bersendirian sebanyak 25 bahagian.”
Riwayat Muslim (1504)
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya. Ada yang dapat 25 darjat dan ada yang dapat 27 berdasarkan kesempurnaan solatnya dan sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/183)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan ia adalah benar. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW, daripada Abu Hurairah: Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ المَلاَئِكَةَ تُصَلِّي عَلَى أَحَدِكُمْ مَا دَامَ فِي مُصَلَّاهُ الَّذِي صَلَّى فِيهِ، مَا لَمْ يُحْدِثْ، تَقُولُ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ، اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ.
Maksudnya: “Sesungguhnya para malaikat beristighfar dan memohon rahmat daripada Allah untuk seseorang daripada kamu selama mana dia berada di tempat solatnya dan selagi dia tidak berhadas. Para malaikat itu berkata: ‘Ya Allah ampunilah dia, ya Allah rahmatilah dia.’”
Riwayat al-Bukhari (445)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Sabda Baginda, ‘مَا دَامَ فِي مُصَلَّاهُ’ (selama mana dia berada di tempat solatnya). Logiknya, apabila dia telah berpindah dari tempat solatnya, maka terputuslah hal-hal tersebut. Sabda Baginda, ‘مَا لَمْ يُحْدِثْ’ (selagi dia tidak berhadas). Kalimat ini menunjukkan bahawa hadas membatalkan semua itu, meskipun dia masih tetap duduk di masjid. (Lihat Fath al-Bari, 3/182)
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”
Surah Ibrahim (40-41)