#5103: Larangan Solat Selepas Subuh 

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah dilarang kita solat selepas Subuh sehingga jelasnya terbit matahari?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya:Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

(Surah al-Nisa’: 103)

Ibn Mas’ud RA dalam menafsirkan ayat ini berkata bahawa setiap solat itu mempunyai waktu-waktunya yang tertentu yang wajib untuk dilaksanakan padanya sama seperti waktu-waktu yang ditentukan bagi pelaksanaan ibadah haji. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 4/258)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan benar. Hal ini berdasarkan hadith Ibn Abbas R.Anhuma, yang berkata:

شَهِدَ عِنْدِي رِجَالٌ مَرْضِيُّونَ وَأَرْضَاهُمْ عِنْدِي عُمَرُ: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ الصَّلاَةِ بَعْدَ الصُّبْحِ حَتَّى تَشْرُقَ الشَّمْسُ، وَبَعْدَ العَصْرِ حَتَّى تَغْرُبَ.

Maksudnya: Orang-orang yang aku redhai telah memberitahuku, dan yang paling aku redhai dalam kalangan mereka adalah Umar: “Bahawasanya Nabi SAW melarang daripada menunaikan solat selepas Subuh sehingga naik matahari, dan selepas Asar sehingga matahari terbenam.”

 Riwayat al-Bukhari (581)

Hikmah larangan solat pada waktu tersebut kerana sebagai sadd al-zari’ah dengan kesyirikan dan juga menyekat tasyabbuh atau penyerupaan dengan orang-orang musyrikin. Ini kerana mereka menyembah matahari ketika terbit dan tenggelamnya, kerana itu ia dianggap sebagai dua tanduk syaitan.

Ibn al-Qayyim berkata: Dan dia menyebut jenis-jenis penyembah berhala. Antara mereka menyembah matahari. Mereka menyangka bahawa adanya malaikat yang mempunyai nafas dan akal iaitu asal cahaya bulan dan bintang. Dan kewujudan alam bawah semuanya di sisi mereka daripada matahari atau malaikat tersebut. (Lihat Ighasah al-Lahfan, 2/974)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)