#5130: Kisah Aminah Meninggal Dunia

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kisahkan kepada kami, ibu Baginda SAW yang bernama Aminah meninggal dunia?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami terangkan terlebih dahulu berkenaan ibu Nabi SAW, Aminah.

Nama beliau ialah Aminah binti Wahb bin Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab. (Lihat Zad al-Ma’ad, 1/85)  Datuknya Kilab bertemu bersama dengan datuk Abdullah, iaitu Kilab bin Murrah bin Ka’ab. Beliau ialah ibu kepada Nabi SAW dan dikatakan, suaminya Abdullah bin Abd al-Muttalib meninggal dunia sedang Nabi SAW masih dalam kandungannya. Aminah binti Wahab merupakan salah seorang wanita terhormat dari kalangan keturunan Quraisy kerana bapanya Wahab bin Abd Manaf merupakan penghulu Bani Zuhrah.

Adapun nasab ibunya dari sebelah ibu, dia merupakan anak perempuan kepada Barrah bin Abd al-Uzza dari Bani Abd al-Dar bin Qusai bin Kilab. Aminah dipelihara dan dijaga dengan penuh tatasusila dan adab oleh bapa saudaranya Wuhaib bin Abd Manaf. Beliau digelar sebagai bunga bagi orang Quraisy atau zahratu Quraisy dan dia juga disebut sebagai anak perempuan Bani Zuhrah. Ada pendapat mengatakan, ketika Abdullah bin Abd al-Muttalib meminangnya, beliau ialah semulia pemudi Arab Quraisy dari sudut nasab dan kedudukan.

Menjawab persoalan di atas, terkenangkan kepada suaminya yang telah meninggal dunia, Aminah bercadang untuk menziarahi kubur suaminya di Yathrib. Lalu, Aminah keluar dari Makkah dengan membawa bersama-samanya anak yatimnya, Muhammad SAW dan pelayan wanitanya, Ummu Aiman. Rombongan mereka diketuai oleh Abd al-Muttalib. Di Madinah, mereka menetap selama sebulan. Setelah itu, mereka beredar pulang. Dalam perjalanan pulang, Aminah jatuh sakit; keadaannya adalah tenat sejak awal perjalanan tersebut lagi. Akhirnya beliau meninggal dunia di Abwa iaitu suatu tempat di antara Makkah dan Madinah. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 69)

Abwa’ merupakan sebuah tempat di antara Mekah dan Madinah. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 69). Ia adalah satu daerah yang terletak di tengah perjalanan antara kota Madinah dan Makkah. Jaraknya lebih kurang 140 km dari Madinah menuju ke arah Makkah.

Sesungguhnya musibah kehilangan ayah dan ibu menjadikan perasaan simpati dan kasih sayang kepada anak kecil yang sedang membesar itu semakin bertambah dalam hati Abd al-Muttalib. Beliau tidak membiarkan Baginda keseorangan seperti anak-anak yatim yang lain. Sebaliknya beliau sentiasa membawa Muhammad SAW bersamanya ke majlis-majlis umum. Apabila beliau duduk di atas hamparannya di sisi Ka’bah, beliau mendudukkan Baginda berdekatannya. Sementara para pembesar Mekah yang lain duduk di sekeliling beliau. (Lihat Zad al-Ma’ad oleh Ibn al-Qayyim, 1/75)

Aminah meninggal dunia di Abwa’, iaitu kawasan antara Makkah dan Madinah, tetapi lebih dekat dengan makkah. Ada riwayat mengatakan beliau dikebumikan di perkuburan al-Hujun. Dikatakan beliau meninggal dunia pada tahun 577 Masihi bersamaan 47 tahun sebelum Hijrah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”