#5134: Surah Taha Yang Melembutkan Hati Umar R.A Untuk Menerima Islam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya boleh terangkan berkenaan surah taha 1-14. Kenapa ayat ini dapat melembutkan hati saidina umar yang waktu itu samseng & memusuhi islam kepada memeluk islam dan menjadi pejuang islam. Selepas membaca 1-14 surah taha itu Saidina Umar mengatakan: Betapa indah dan mulianya ucapan ini\”. Adakah indah ayat quran itu dari segi tatabahasa arabnya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih. 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الْآفَاقِ وَفِي أَنفُسِهِمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ ۗ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

Maksudnya: Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?

(Surah al-Fussilat: 53)

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyatakan: “(Allah) akan tunjukkan bukti-bukti serta dalil-dalil di alam ini yang menunjukkan bahawa Al-Quran ini adalah benar yang diturunkan daripada Allah ke atas RasulNya SAW dengan dalil-dalil daripada luar (mukjizat). (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 7/187)

Rasulullah SAW dikurniakan dengan pelbagai mukjizat. Namun mukjizat yang paling agung yang dianugerahkan Allah kepada Baginda ialah al-Quran. Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

مَا مِنَ الأَنْبِيَاءِ نَبِيٌّ إِلَّا أُعْطِيَ مَا مِثْلهُ آمَنَ عَلَيْهِ البَشَرُ، وَإِنَّمَا كَانَ الَّذِي أُوتِيتُ وَحْيًا أَوْحَاهُ اللَّهُ إِلَيَّ، فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَكْثَرَهُمْ تَابِعًا يَوْمَ القِيَامَةِ

Maksudnya: “Setiap Nabi diberikan mukjizat yang dapat membuat manusia beriman, Sedangkan yang diberikan kepadaku hanyalah wahyu yang diturunkan oleh Allah. Justeru, aku berharap aku menjadi nabi yang paling banyak pengikutnya (dibandingkan dengan) mereka pada Hari Kiamat”

Riwayat al-Bukhari (4981) dan Muslim (152)

Al-Quran adalah mukjizat yang paling besar dari segala mukjizat yang pernah diberikan Allah SWT kepada seluruh Nabi dan Rasul-Nya karena al-Quran bukan saja untuk mematahkan segala bantahan dan syubhah daripada kaum musyrikin kepada kebenaran wahyu yang dibawah Rasulullah SAW. Bahkan al-Quran juga diturunkan kepada seluruh umat manusia.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan antara mukjizat al-Quran adalah ia  mampu melembut dan mencairkan  hati manusia serta memberi hidayat kepada manusia. Hal ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT:

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتُهُۥ زَادَتْهُمْ إِيمَـٰنًۭا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah; hati mereka menjadi gementar dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya; keimanan mereka bertambah dan mereka bertawakal hanya kepada Tuhan mereka.

(Surah al-Anfal: 2)

Allah SWT mengemukakan pula beberapa sifat terpenting golongan Mukmin yang dirakamkan dalam kumpulan ayat ini. Sifat tersebut adalah apabila disebutkan nama Allah SWT kepada mereka, hati mereka bergetar serta bertambah takut kepada-Nya, tunduk serta berasa gusar akan balasan buruk daripada-Nya. Selain itu, apabila mereka mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran, mereka membenarkan segala kandungannya, menghayati pembacaannya, serta meyakini bahawa al-Quran datang daripada Allah SWT. Dengan demikian, keimanan mereka semakin bertambah. Seterusnya, mereka tidak bergantung harap melainkan hanya kepada Allah SWT dan juga tidak takut melainkan hanya kepada-Nya. Menurut Abu Hayyan, berdasarkan ayat ke-2 daripada Surah al-Anfal, terdapat tiga peringkat golongan beriman, iaitu bermula dengan maqam khauf (takut), disusuli dengan maqam pertambahan keimanan, seterusnya maqam tawakal, yakni pergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/132)

Begitu juga firman Allah SW:

لَوۡ أَنزَلۡنَا هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ عَلَىٰ جَبَلٖ لَّرَأَيۡتَهُۥ خَٰشِعٗا مُّتَصَدِّعٗا مِّنۡ خَشۡيَةِ ٱللَّهِۚ وَتِلۡكَ ٱلۡأَمۡثَٰلُ نَضۡرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.”

(Surah al-Hasyr :21)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa:  Jika gunung yang kuat dan gagah, seandainya dia memahami makna al-Quran ini, lalu merenungkannya, nescaya ia akan tunduk terpecah belah kerana rasa takut kepada Allah. Lalu bagaimana patut bagi kamu, wahai sekalian umat manusia, apabila hati kamu tidak bersikap tunduk dan patuh kerana rasa takut kepada Allah, padahal kamu dapat memahami perintah Allah dan merenungkan Kitab-Nya? (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/125)

Berbalik kepada kisah Umar Bin al-Khattab bahawa beliau menunjukkan sikap permusuhan terhadap Islam sejak awal dakwah Rasulullah SAW. Beliau  adalah di antara orang Quraisy yang paling tegar melawan Islam. Hatinya keras dan umat Islam menjauhinya kerana kebencian yang teramat  terhadap mereka.

Namun setelah beberapa ketika, telah dikisahkan di dalam Sirah Amir al-Mukmin ‘Umar Bin Khattab bahawa: Umar bin Khattab merenungkan keadaannya dan menyedari bahawa dia perlu mendengar Al-Quran yang dibacakan oleh mereka. Kemudian, saudara perempuannya  membawakan lembaran yang mengandungi Surah Taha. Umar membacanya sehingga Allah membuka dadanya dengan keimanan lalu Dia berkata, “Tunjukkanlah aku kepada Muhammad.” Mereka membimbingnya ke tempat Nabi SAW di mana Baginda tinggal bersama sahabat-sahabatnya, iaitu Dar Al-Arqam di dekat bukit Safa. (Lihat  Sirah Amir al-Mukmin ‘Umar Bin Khattab, 18-19 )

Begitu juga Anas bin Malik yang menceritakan bahawa Saidina Umar keluar bersama pedangnya dengan tujuan untuk membunuh Rasulullah SAW. Ketika dalam perjalanan, beliau diberitahu bahawa saudara perempuannya telah menjadi pengikut Baginda Nabi SAW. Lantas beliau terus meluru ke rumah saudaranya, apabila sampai di rumah tersebut beliau terdengar suara Khabbab membaca surah Taha. Lalu beliau meminta mushaf yang ditulis di dalamnya surah tersebut kemudian dia membacanya. Setelah itu, beliau berkata:

مَا أَحْسَنَ هَذَا الْكَلَامَ وَأَكْرَمَهُ

Maksudnya: “Alangkah cantik dan mulianya kata-kata ini.”

Antara ayat al-Quran yang dikisahkan mampu melembutkan hati Saidina Umar al-Khattab RA, adalah  ayat 1-5 surah Taha:

طه (1) مَا أَنزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لِتَشْقَىٰ (2) إِلَّا تَذْكِرَةً لِّمَن يَخْشَىٰ (3) تَنزِيلًا مِّمَّنْ خَلَقَ الْأَرْضَ وَالسَّمَاوَاتِ الْعُلَى (4) الرَّحْمَٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ

Maksudnya: “Taa’ Haa. Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah. (Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.”

(Surah Taha:1-5)

Bahkan ada riwayat yang menyatakan bahawa Umar al-Khattab ketika membaca lembaran yang mengadungi Surah Taha beliau membaca sehingga ayat yang ke 15 iaitu (لِتُجْزَى كُلّ نَفْسٍ بِمَا تَسْعَى) kemudian Beliau mengatakan: Betapa indahnya kata-kata ini. (Lihat Mu’jizat al-Quraniyah Haqaiq ‘ilmiah Qat’iyah, hlm.54)

Rasulullah SAW juga mengharapkan agar Allah membuka hati Umar untuk menerima Islam dengan mendoakan:

اللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ بِأَحَبِّ هَذَيْنِ الرَّجُلَيْنِ إِلَيْكَ بِأَبِى جَهْلٍ أَوْ بِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ . قَالَ وَكَانَ أَحَبَّهُمَا إِلَيْهِ عُمَرُ

Maksudnya: “Ya Allah, muliakanlah Islam dengan salah seorang yang lebih Engkau cintai dari kedua laki-laki ini: Abu Jahal atau Umar bin Al-Khaththab.”

Riwayat al-Tirmizi (3681)

Justeru kami katakan di sini bahawa al-Quran itu sendiri merupakan mukjizat yang mampu melembutkan hati manusia dalam menerima hidayah. Hal yang demikian bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya;

(Surah al-Isra, 82)

Para ulama mentafsirkan perkataan syifa’ pada ayat di atas sebagai ubat penawar iaitu sebagai penawar bagi hati dari segala kejahilan kemudian dianugerahkan kepadanya kesembuhan dengan diberi ilmu kefahaman. Perkara ini sebagaimana yang disebut oleh  Imam al-Qurtubi dengan menukilkan pandangan para ulama yang menyatakan bahawa:

Sesungguhnya ia (al-Quran) merupakan penawar bagi hati dengan menghilangkan kejahilan dan keraguan serta membuka hati yang tertutup daripada penyakit kejahilan untuk memahami mukjizat dan perkara yang menunjukkan kekuasaan Allah SWT. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 10/316)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahua’lam.