#5135: Terlupa Niat Mandi Wajib

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah sah hukum mandi hadas besar jika seseorang terlupa untuk berniat sebelum mandi hadas dan apa hukum mandi hadas jika niat itu selepas mandi iaitu selepas dia sudah memakai baju dan sebagainya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

 إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Secara umumnya, mandi wajib ialah mandi yang tidak sah ibadat tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkan mandi. Sebab-sebabnya ialah janabah, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73).

Seterusnya, para ulama telah menetapkan bahawa syarat fardhu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  • Niat
  • Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
  • Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Lihat Matan Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 21).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami mengatakan bahawa sekiranya seseorang itu mandi tetapi terlupa untuk berniat mandi wajib, tetapi tujuan asalnya dia mandi untuk mengangkat hadas besar. maka mandinya dikira sah. Begitu juga, jika dia niat selepas selesai mandi wajib adalah tidak sah dan perlu niat dan mandi semula.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Wallahu a’lam