#5142: Status Talak: “Jangan Panggil Aku Suamilah!”

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah perkataan ini ialah lafaz talak jika suami menulis di whatsapp “jangan panggil i suami lah”. Dia berkata sedemikian kerana saya berkata “suami penipu”. Dia berkata sedemikian kerana dia tak suka perkataan suami diletakkan bersama perkataan penipu.”

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut Imam al-Baijuri: “Talak yang sarih tidak memerlukan kepada niat.Iaitu niat jatuhnya talak. Kerana tidak diihtimal kepada selain daripada talak.” (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abu Syuja’, 2/263)

Manakala lafaz kinayah adalah lafaz yang samar-samar. Sama ada jatuh atau tidak talak adalah bergantung kepada niat si suami. Kata Ibnu al-Qasim al-Ghazzi:

“Kinayah ialah setiap lafaz yang membawa makna talak ataupun selain daripada itu. Dan ianya memerlukan kepada niat. Jika berniat untuk menceraikan ketika melafazkan lafaz kinayah maka jatuhlah talak. Jika tidak, talak tidak jatuh.” (Lihat Syarh Ibnu al-Qasim ‘ala Matan Abi Syuja, 2/264) 

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan lafaz “Jangan panggil saya suamilah!”, bukanlah lafaz cerai tetapi lebih kepada ungkapan ketika marah sahaja kerana tidak suka dikatakan penipu. Namun begitu, suka kami sarankan untuk merujuk kepada Mahkamah Syariah bagi membuat permohonan pengesahan lafaz talak. Kaedah menyebut:

حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf.”

Nasihat kami janganlah bermudah-mudahan untuk mengucap kalimah yang mempunyai unsur-unsur cerai kerana dikhuatiri akan terjatuh. Sekalipun marah, janganlah menggunakan kalimah/ayat-ayat sebegitu kerana diakhir kemarahan itu akan wujudnya penyesalan.

Justeru, perlu difahami setiap perkahwinan mempunyai konflik dan cabaran, namun sejauh mana seseorang itu menghadapinya hendaklah berpandukan kepada hukum syara’.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)