#5170: Musafir Dari Hotel ke Tapak Projek

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berkenaan solat jamak dan qasar. Saya bekerja sebagai juruaudit dan selalu berada di luar kawasan. Andai kata audit ke Mersing selama seminggu, saya akan bertolak pada Ahad dan pulang pada hari Jumaat. Saya menetap di hotel saja, sekadar untuk tidur. Saya masih lagi perlu bergerak ke tapak projek yang berbeza jaraknya, dan terkadang itu tidak melebihi 2 marhalah.

Contohnya, dari Mersing sebagai tempat bermukim, bergerak ke tapak projek di Nitar atau Kluang. Apabila selesai audit, saya akan pulang ke hotel. Adakah saya masih boleh untuk solat jamak dan qasar?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Solat secara jamak dan qasar merupakan nikmat rukhsah yang Allah SWT kurniakan kepada sekalian hamba-Nya agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Ini sebagaimana yang dijelaskan dalam firman-Nya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِى ٱلْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا۟ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’: 101)

Imam al-Nawawi berkata, ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan permusafiran. Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut. (Lihat al-Majmu‘, 4/346)

Akan tetapi, rukhsah ini juga terikat dengan beberapa syarat yang telah ditetapkan agar umat Islam tidak bermudah-mudah untuk mengambil rukhsah setiap kali mereka bermusafir, tanpa mengira jarak dan sebab permusafiran tersebut. Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji telah menggariskan beberapa noktah sebagai syarat-syarat yang harus dipenuhi untuk membolehkan seseorang itu solat secara jamak atau qasar, antaranya:

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km. Kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat).
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut ‘uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)

Syarat terakhir yang disebutkan oleh pengarang ini merupakan jawapan kepada persoalan saudara. Sekiranya saudara telah berniat untuk bermukim di Mersing, lalu saudara bermusafir ke tapak projek di Nitar yang jaraknya kira-kira 20 km, maka saudara tidak boleh untuk melakukan solat secara qasar atau jamak kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan. Jika saudara bergerak ke tapak projek di Kluang yang jaraknya mencapai 87 km dari Mersing, maka saudara telah memenuhi syarat terakhir yang disebutkan. Ketika itu, barulah saudara boleh menunaikan solat secara qasar dan jamak.

Sebaliknya, jika saudara tidak menetapkan sebarang tempat untuk bermukim, sebaliknya bermusafir tanpa berhenti, maka tidak menjadi masalah untuk saudara terus melakukan solat qasar dan jamak.

Akan tetapi, melihat kepada keadaan saudara ini, sebaiknya saudara meraikan zuruf atau persekitaran yang saudara bermukim tersebut sekiranya tidak perlu bergerak ke tapak projek lain di luar Mersing, dengan menunaikan solat berjemaah di masjid atau surau yang berdekatan. Syeikh ‘Abd al-‘Aziz ibn Baz pernah ditanya tentang masalah yang sama, lalu beliau menjawab, jika seorang yang bermusafir itu masih dalam perjalanan, maka tidak menjadi masalah. Akan tetapi, jika telah sampai ke tempat untuk bermukim, maka dia hendaklah solat berjemaah secara sempurna. (Lihat Majmu‘ Fatawa, 12/297)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata, tuntutan solat berjemaah tidak digugurkan dari orang yang bermusafir tersebut, kerana Allah SWT tetap memerintahkan Rasulullah SAW untuk solat berjemaah meskipun dalam peperangan. Firman-Nya:

وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ ٱلصَّلَوٰةَ فَلْتَقُمْ طَآئِفَةٌۭ مِّنْهُم مَّعَكَ وَلْيَأْخُذُوٓا۟ أَسْلِحَتَهُمْ فَإِذَا سَجَدُوا۟ فَلْيَكُونُوا۟ مِن وَرَآئِكُمْ وَلْتَأْتِ طَآئِفَةٌ أُخْرَىٰ لَمْ يُصَلُّوا۟ فَلْيُصَلُّوا۟ مَعَكَ وَلْيَأْخُذُوا۟ حِذْرَهُمْ وَأَسْلِحَتَهُمْ ۗ

Maksudnya: “Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendaklah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing.”

(Surah al-Nisa’: 102)

Oleh yang demikian, sekiranya orang yang bermusafir itu bermukim di sesuatu tempat, hendaklah dia menghadiri masjid dan menunaikan solat berjemaah apabila mendengar azan. Dikecualikan jika dia menetap jauh atau khuatir ditinggalkan rakan sepermusafirannya. (Lihat Majmu‘ Fatawa, 15/252)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan ini, kami saudara mempunyai 3 keadaan yang perlu diambil kira:

  • Jika saudara bergerak ke tapak projek di Nitar yang kurang dari 2 marhalah, maka saudara tidak boleh melakukan solat jamak dan qasar kerana saudara telah berniat untuk bermukim di Mersing melebihi 3 hari 3 malam.
  • Jika saudara bertolak untuk melakukan tugasan di tapak projek di Kluang yang melebihi 2 marhalah, maka saudara boleh melakukan solat secara qasar dan jamak kerana jarak perjalanan mencukupi 2 marhalah dari tempat bermukim.
  • Jika saudara hanya melakukan kerja di sekitar Mersing, saudara tidak boleh lagi menunaikan solat secara jamak atau qasar. Sebaliknya saudara dituntut untuk menunaikan solat secara berjemaah di masjid atau surau yang berdekatan.

Beginilah serba ringkas yang dapat kami perjelaskan kepada saudara berkenaan solat secara jamak dan qasar. Semoga perbahasan ini, sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam melaksanakan perintah Allah dalam kehidupan harian kita. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahu a‘lam