#5305:  Mengikuti Bacaan al-Quran di Mp3

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya suka memasang mp3 bacaan Al-Quran di kereta. Soalan saya bolehkah saya mengikuti bacaan mp3 tersebut dan apakah hukumnya? Saya senang menghafal apabila mengikuti bacaan tersebut.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad bi Ka’ab al-Qurazi menyebut, aku mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan.”

Riwayat al-Tirmizi (2910)

Selain itu, di antara kelebihan membaca al-Quran ianya boleh memberi syafaat ketika pada hari kiamat kelak. Ini seperti hadith yang diriwayatkan ole Abu Umamah RA bahawa ia mendengar Nabi SAW bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

Maksudnya: “Bacalah al-Quran, kerana sesunggunhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya.”

Riwayat Muslim (804)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak mengapa untuk mengikuti bacaan al-Quran di mp3 atau radio. Imam al-Nawawi berkata di dalam kitab al-Azkar: “Membaca Al Qur’an dengan membuka mushaf lebih utama daripada membaca dengan hafazan sebagaimana yang dinyatakan di dalam mazhab kami, pendapat ini juga terkenal dalam kalangan salaf, namun hal ini bukanlah segalanya. Bahkan jika seseorang itu membaca al-Quran dengan hafazannya dalam keadaan mampu menghadirkan tadabbur, tafakkur, menyatukan hatinya lebih banyak daripada membaca mushaf, maka membaca dengan hafazan adalah lebih utama. Namun jika dia membaca melalui mushaf ataupun hafazan dalam keadaan yang sama sahaja maka membaca dengan mushaf adalah lebih utama, inilah yang dimaksudkan oleh generasi salaf.” (Lihat al-Azkar, hlm. 90-91)

Justeru, sekiranya dengan cara mendengar dan mengikuti bacaan di mp3 atau radio lebih memudahkan anda untuk mengingati al-Quran, maka ia digalakkan kerana dengan cara itu hati akan sentiasa mengingati ayat-ayat suci al-Quran.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”