#5312: Ucapan Saidina Umar R.A Terhadap Tanggungjawabnya Walaupun Kepada Seekor Kambing

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Saidina Umar R.A pernah berucap bagaimana rasa bertanggungjawabnya walaupun seekor kambing yang mati di tepi Sungai Furat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Jawabnya, benar. Hal ini berdasarkan kepada ucapannya:

لَوْ مَاتَتْ شَاةٌ عَلَى شَطِّ الْفُرَاتِ ضَائِعَةً لَظَنَنْتُ أَنَّ اللَّهَ تَعَالَى سَائِلِي عَنْهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

MaksudnyaKalaulah mati seekor kambing di tebing Sungai Furat dalam keadaan kehilangan rakan taulannya, nescaya aku merasa Allah SWT akan bertanya kepadaku pada Hari Kiamat. (Lihat Hilyah al-Auliya’ oleh Abi Nu’aim, 1/53)

Bahkan kita dapat lihat sifat adilnya Umar dalam pemerintahan. Hal ini berdasarkan sirah dan sejarahnya. Pada zaman beliau, wilayah-wilayah Islam yang telah berkembang luas telah dibahagikan kepada beberapa bahagian. Setiap bahagian ditadbir oleh seorang gabenor. Mereka diberi kuasa dalam menguruskan urusan-urusan pentadbiran termasuklah memungut cukai di bahagian masing-masing. Walaubagaimanapun, kuasa mutlak dalam memutuskan sesuatu kes atau masalah berkaitan cukai tanah akan dirujuk kepada Khalifah Umar ibn al-Khattab R.A.

Tanah-tanah tersebut akan diukur dan dinilai terlebih dahulu sebelum ditentukan kadar cukai. Tanah yang telah ditentukan jenisnya itu, kemudian akan ditetapkan kadar cukai mengikut jenis tanah tersebut. Hal ini jelas menunjukkan keadilan sistem yang diterapkan oleh Khalifah Umar RA dalam sistem pemerintahannya. (Lihat Milkiyyah al-‘Aradi fi al-Islam: Tahdid al-Milkiyyah wa al-Ta’mim oleh Muhammad ‘Abd al-Jawwad)

Berkenaan kadar cukai pertanian, Khalifah Umar RA telah menetapkan iaitu 10 dirham bagi tanaman kurma dan 5 dirham bagi tanaman anggur. Cukai bagi setiap tanah yang sampai air sama ada diusahakan atau tidak adalah sebanyak satu dirham atau satu gantang (sa’). Manakala cukai sebanyak 1/10 dikenakan ke atas tanaman tamar yang diairkan dengan hujan sedangkan kadar 1/20 pula dikenakan untuk tanaman yang diairkan dengan tenaga sendiri. (Lihat Kitab al-Kharaj oleh Abu Yusuf, hlm. 46-47)

Walaupun begitu, sekiranya sesuatu tanah tidak mempunyai hasil pertanian, atau hasilnya terkena penyakit atau bencana alam, maka cukai tidak dikenakan. Cukai hanya dikenakan bagi tanah yang mempunyai hasil. Penetapan cukai kurma dengan kadar 10 dirham adalah disebabkan penanamannya yang memerlukan kepada tenaga, penjagaan yang rapi serta tanah yang subur.

Manifestasi keadilan pemerintahan Khalifah Umar RA dalam menentukan kharaj jelas terlihat dengan mengenakan cukai sebanyak satu dirham dan segantang bagi tanah yang sampai air sama ada ia diusahakan atau sebaliknya. Ini juga dapat menggalakkan para pemilik tanah untuk mengusahakannya. Begitu juga sikap adil beliau dapat dilihat pada kadar cukai 1/10 dan 1/20 sepertimana yang dijelaskan menzahirkan sikap beliau dalam menilai dan menghargai tenaga yang dicurahkan oleh pengusaha. (Lihat Milkiyyah al-Aradi fi al-Islam: Tahdid al-Milkiyyah wa al-Ta’mim, oleh Muhammad ‘Abd al-Jawwad)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)