#5216: Pengguguran Janin Kerana Dibimbangi Kemiskinan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum pengguguran janin kerana bimbang akan kemiskinan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن سُلَالَةٍ مِّن طِينٍ (12) ثُمَّ جَعَلْنَاهُ نُطْفَةً فِي قَرَارٍ مَّكِينٍ (13) ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ ۚ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ (

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.”

(Surah al-Mukminun: 12-14)

Dalam ayat ini, Allah SWT menyatakan empat peringkat perkembangan yang disebut di dalam hadis di atas dan menambah tiga peringkat yang lain. Dengan ini ia menjadi tujuh peringkat. Ibn Abbas R.Anhuma pernah berkata: “Anak Adam telah diciptakan dari tujuh peringkat kemudian beliau membaca ayat ini.” (Lihat al-Wafi fi Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah, hlm. 26).

Menurut Fatawa Lajnah al-Daimah (no. 3710) menyebut, jika dinyatakan seperti di atas sebagai alasan pengguguran maka hukumnya termasuk dalam dosa besar kerana su’ al-zan dengan Allah. Lihat Fatawa Lajnah al-Daimah (19/329).

Dalam menjawab persoalan ini, kami nyatakan dua nas:

Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ ۚ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepada kefakiran. Kami yang memberi rezeki kepada mereka (anak-anak) dan kepada kamu. Sesungguhnya membunuh mereka (anak-anak) itu adalah satu kesalahan yang besar.”

Surah al-Isra’ (31)

Menurut Imam al-Tabari dalam tafsirnya, ayat ini menjelaskan bahawa janganlah kamu semua membunuh anak-anak kamu disebabkan takut kepada kefakiran atau kemiskinan. Kerana golongan jahiliyyah dahulunya membunuh anak-anak mereka disebabkan takut miskin. Lalu Allah SWT pun memberikan amaran kepada mereka berkenaan hal tersebut serta mengkhabarkan kepada mereka bahawa rezeki mereka dan rezeki anak-anak mereka itu adalah di bawah tanggungjawab Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Tabari, 17/437)

Di sana terdapat satu ayat yang hampir sama, tetapi dengan perbezaan taqdim dan ta’khir (pada beberapa lafaznya). Firman Allah SWT:

 وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُم مِّنْ إِمْلَاقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ ۖ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.”

(Surah al-An’am: 151)

Syeikh al-Sya’rawi berkata: Firman Allah SWT: ‘وَلاَ تقتلوا أَوْلاَدَكُمْ مِّنْ إمْلاَقٍ’, (Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan) yakni daripada kemiskinan yang ada. Selagimana kefakiran itu wujud, maka seseorang itu tidak mahukan anak kerana ia akan menambah kefakirannya. Disebabkan itu, Allah SWT berfirman, ‘نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ’ (Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka). Maksudnya, kedatangan anak-anak tidak akan menjadikan kamu lebih fakir. Ini kerana, bagi kamu ada rezeki kamu, dan bagi mereka ada rezeki mereka (yang telah ditetapkan). Dan ini tidaklah bermakna bahawa dengan rezeki mereka itu, maka ia akan mengurangkan rezeki kamu. Tetapi, bagi bapa itu, ada rezekinya dan bagi anaknya, ada pula rezekinya.

Adapun berkenaan ayat, ‘وَلاَ تقتلوا أَوْلادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلاقٍ’, (“dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepada kefakiran,”) maka ia seolah-olah kefakiran itu tidak wujud. Tetapi dia (ibu bapa itu) bimbang bahawa apabila mempunyai anak, maka dia akan jadi fakir. Allah SWT berfirman kepadanya, ‘نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُم’ (Kami yang memberi rezeki kepada mereka (anak-anak) dan kepada kamu). Maksudnya, rezeki mereka akan datang kepada mereka sebelum rezeki kamu. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 1/320)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”