#5250: Pembahagian Qiyas

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah qiyas mempunyai banyak bahagian seperti qiyas aula dan lain-lain. Boleh terangkan kepada kami pembahagiannya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan terlebih dahulu takrif qiyas:

Dari sudut bahasa, Qiyas merupakan kata sandaran dari kata kerja (قَيَسَ) dan (قَاسَ). Dikatakan: (قَايَسَ – يُقَايِسُ – قِيَاسًا – مُقَايَسَةً), dan diqiyaskan sesuatu dengan yang lain, yakni mengumpamakan sesuatu dengan apa yang serupa dengannya. Dikatakan juga, kayu ini diqiyaskan dengan jari, yakni ukurannya sama dengan panjang jari. Dan dikatakan, diqiyaskan antara dua perkara, apabila disamakan antara keduanya. (Lihat Lisan al-Arab, 6/186)

Dari sudut istilah, Qiyas bermaksud mengembalikan perkara cabang (far‘u) kepada asal (asl) kerana wujudnya ‘illah yang menghimpunkan keduanya dalam suatu hukum. (Lihat Matn al-Waraqat, hlm. 16; al-Burhan, 2/747)

Seterusnya kami katakan bahawa Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya Usul al-Fiqh al-Islami (1/667) menyebutkan berkenaan pembahagian qiyas seperti berikut:

  1. Qiyas Aula

Iaitu ‘illah yang terdapat pada al-far‘u (cabang fiqh) mempunyai neraca hukum yang lebih utama dari ‘illah yang terdapat pada asal (pokok). Sebagai contohnya dalam isu haram memukul kedua orang tua, yang mana diqiyaskan dengan hukum haram mengucapkan “ah” (herdik) sebagaimana firman Allah SWT:

فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ

Maksudnya: “Maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’.”

(Surah al-Isra’: 23)

Berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa sedangkan di dalam al-Quran, Allah SWT melarang umatnya mengatakan “ah” (atau herdikan) kepada kedua orang tua, inikan pula memukul ibubapa yang mana lebih teruk dari mengherdik.

  1. Qiyas Musawi

Iaitu ‘illah yang terdapat pada al-far‘u (cabang fiqh) mempunyai neraca hukum yang sama dengan ‘illah yang terdapat pada asal (pokok). Sebagai contoh dalam isu membakar atau merosakkan harta anak yatim. Firman Allah SWT:

وَآتُوا الْيَتَامَىٰ أَمْوَالَهُمْ ۖ وَلَا تَتَبَدَّلُوا الْخَبِيثَ بِالطَّيِّبِ ۖ وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَهُمْ إِلَىٰ أَمْوَالِكُمْ ۚ إِنَّهُ كَانَ حُوبًا كَبِيرًا

Maksudnya: “Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang sudah baligh) harta mereka, jangan kamu menukar yang baik dengan yang buruk dan jangan kamu makan harta mereka bersama hartamu. Sesungguhnya tindakan-tindakan (menukar dan memakan) itu, adalah dosa yang besar.”

(Surah al-Nisa’:2)

Illah hukum pengharaman merosakkan harta anak yatim tersebut sama neracanya dengan memakan harta anak yatim.

  1. Qiyas Adna

Iaitu ‘illah yang terdapat pada al-far‘u (cabang fiqh) mempunyai neraca hukum yang lebih rendah daripada ‘illah yang terdapat pada asal (pokok). Sebagai contoh dalam isu hukum bunga bank dengan riba. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَذَرُوا۟ مَا بَقِىَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓا۟ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman.”

(Surah al-Baqarah: 278)

Berdasarkan ayat diatas, dapat difahami bahawa ayat ini menjelaskan perintah meninggalkan riba. Bunga yang dikenakan oleh pihak bank selalu disamakan dengan riba nasi’ah, akan tetapi bunga bank pada zaman kini, nilainya lebih rendah berbanding riba pada zaman dahulu. Oleh itu, bunga bank juga dikira haram hukumnya. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, 1/667)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)