#5223: Tafsir Ayat 11 dan 12 Surah al-Kahfi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, tafsir ayat 11 dan 12 daripada surah al-Kahfi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

فَضَرَبْنَا عَلَىٰ آذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًا

Maksudnya:Lalu Kami menidurkan mereka di dalam gua bertahun-tahun lamanya.

(Surah al-Kahfi: 11)

Secara literal, kalimah (ضَرَبَ) bererti memukul, namun dalam konteks ayat ini, disebutkan ayat memukul telinga di sini adalah sebagai suatu bentuk metafora yang menunjukkan Allah SWT menidurkan pemuda Ashabul Kahfi dengan tidur yang begitu nyenyak. Al-Zajjaj berkata, Allah SWT menghalang mereka daripada mendengar kerana orang yang tidur apabila dia mendengar, dia akan tersedar. (Lihat Bahr al-Ulum, 2/290; al-Siraj fi Bayan Gharib al-Quran, 1/130; al-Tafsir al-Munir, 15/211)

Lafaz (الضَّرْبُ) di sini bermaksud meletakkan, sebagaimana dikatakan: (ضَرَبَ عَلَيْهِ حِجابًا) yakni meletakkan ke atasnya hijab atau penghadang. Dalam ayat ini juga, maf‘ul kepada (ضَرَبْنا) dihazafkan kerana ia sudah jelas dalam konteks ayat ini, lalu menjadikan maknanya: “Kami letakkan di telinga-telinga mereka penutup atau penghadang daripada sebarang bunyi.” Hal ini adalah sebagaimana dikatakan: (بَنى عَلى امْرَأتِهِ) yakni binalah ‘rumah’ ke atas isterinya. Tambahan lagi, lafaz (الضَّرْبُ عَلى الآذانِ) yakni ‘meletakkan penutup di telinga-telinga mereka’ merupakan kinayah kepada tidur kerana tidur yang nyenyak melazimkan seseorang itu tidak dapat mendengar. Hal ini kerana, tiada yang dapat menghalang atau menutup pendengaran yang sihat melainkan tidur, berbeza dengan penglihatan kerana ia boleh dihalang dengan perbuatan menutup kelopak mata. Maka, kinayah ini adalah termasuk dalam keistimewaan al-Quran, yang mana ia tidak diketahui sebelum daripada ayat ini dan ia merupakan antara mukjizat al-Quran. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 15/268)

Syeikh al-Sya‘rawi berkata al-Dharb (الضَّرْبُ) dengan maksud pukulan rahmah, bukannya seksaan atau azab. Ini kerana mereka dapat tidur dengan nyenyak, menghilangkan kerunsingan, ketakutan dan digantikan dengan kerehatan. Sekiranya Allah SWT tidak menjadikan suasana luaran yang khusus buat mereka, tidak mungkin mereka dapat tidur tetap begitu selama 309 tahun. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 13/7902)

Imam al-Qurtubi berkata: “فَضَرَبْنَا عَلَىٰ آذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًا” merupakan kisah yang terdapat dalam Al-Quran mengenai ibarat yang Allah ingin sampaikan berkenaan tidur kepada pemuda-pemuda di dalam gua. Ayat ini antara fasihah al-Quran yang mengakui orang Arab dalam ketidakmampuan mereka untuk menyamai sesuatu yang serupa dengannya. Berkenaan maksud “فَضَرَبْنَا عَلَىٰ آذَانِهِمْ”:

  • Al-Zajjaj berkata: “Kami menghalang mereka daripada mendengar, kerana orang yang tidur akan terjaga jika mendengar.”
  • Ibnu Abbas berkata: “Kami menutup telinga mereka dengan tidur, iaitu melindungi telinga mereka daripada penembusan bunyi.”
  • Dikatakan: Maksudnya ialah “Kami memukul telinga mereka,” iaitu kami mengabulkan doa mereka dengan menghindarkan mereka dari kejahatan kaum mereka, dan memberi mereka keamanan. Semua makna ini bersifat serupa.
  • Qutrub berkata: “Ini seperti kata orang Arab, ketika pemimpin memukul tangan rakyatnya untuk mencegah kemungkaran, dan tuan memukul tangan hamba yang diberi izin dalam perdagangan jika dia melanggar perintah.” (Lihat Jami’ li Ahkam al-Quran, 10/363)

Firman Allah SWT:

 ثُمَّ بَعَثْنَاهُمْ لِنَعْلَمَ أَيُّ الْحِزْبَيْنِ أَحْصَىٰ لِمَا لَبِثُوا أَمَدًا

Maksudnya: “Kemudian Kami bangunkan mereka supaya terzahir ilmu Kami tentang siapakah antara dua golongan yang lebih tepat kiraan tempoh mereka berada di gua.”

(Surah al-Kahfi: 12)

Syeikh al-Sya‘rawi berkata, datangnya kalimah (بَعَثْنَاهُمْ) memberi makna seolah-olah mereka telah mati dan dibangkitkan semula. Sedangkan dalam isu ini mereka ditidurkan dalam tempoh yang amat lama lebih panjang dari usia manusia yang biasa sehingga menjadi kisah yang ajaib dan menjadi tanda kekuasaan Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 14/8351)

Imam al-Tabari berkata, dalam menafsirkan firman-Nya, “ثُمَّ بَعَثْنَاهُمْ لِنَعْلَمَ أَيُّ الْحِزْبَيْنِ أَحْصَى” bermaksud: Kemudian, Kami membangkitkan mereka, iaitu para pemuda yang telah Kami bimbing ke dalam gua setelah Kami menyebabkan mereka tidur dalamnya selama beberapa tahun, untuk melihat dan mengetahui, di antara dua golongan, golongan mana yang lebih tepat dalam menghitung bilangan masa mereka tidur di gua itu.

Maksud (أَحْصَى لِمَا لَبِثُوا أَمَدًا) adalah: Mereka dikembalikan dengan tepat untuk menghitung tempoh mereka tinggal di dalamnya, dan istilah “أمدًا” di sini bermaksud tempoh atau jangka waktu, sebagaimana yang diucapkan oleh Al-Nabighah:

إِلَّا لِمِثْلِــكَ أوْ مَــنْ أنْـتَ سـابِقُهُ             سَـبْقَ الجَـوَادِ ِإذا اسْـتَوْلَى عَلَى الْأَمَدِ

“Melainkan bagi orang sebanding denganmu atau yang telah mendahuluimu,

               Kejarlah kuda yang tangkas, jika ingin bersaing dalam perlumbaan panjang.”

Pada kalimah “أَيُّ الْحِزْبَيْنِ”, disebutkan bahawa yang diperselisihi dalam perkara ini iaitu adalah dari kalangan mereka, iaitu golongan para pemuda. Ada yang mengatakan: Kedua golongan itu sama-sama kafir. Ada yang mengatakan: Sebaliknya, salah satunya adalah Muslim, dan yang lainnya adalah kafir. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 15/176)

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penerangan yang lebih lanjut, sila rujuk e-Bahth Ilmi kami yang bertajuk: Menelusuri Kisah Ashab al-Kahfi di dalam apps kami, al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”