#5258: Manusia di Atas Agama Pemerintah Mereka

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat ucapan: Manusia mengikut agama pemerintah mereka.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Ungkapan tersebut dikatakan termasuk dalam bidalan orang Arab atau amthal. Ada juga yang menisbahkan kepada Saidina Umar di mana dinyatakan:

النَّاسُ عَلَى دِينِ مُلُوكِهِمْ

Maksudnya: “Rakyat akan hidup mengikut agama dan cara hidup pemimpin-pemimpin mereka.”

Ibn Kathir ada menukilkan ungkapan di atas ketika menyebut biografi al-Walid bin ‘Abd al-Malik, katanya: Khalifah al-Walid seorang yang cenderung kepada pembangunan dan pembinaan. Maka rakyatnya juga demikian. Apabila seorang lelaki berjumpa lelaki yang lain, dia akan bertanya: “Apakah yang telah kamu bina? Apakah yang kamu telah bangunkan?” Adapun Khalifah Umar bin ‘Abd al-’Aziz cenderung dalam membaca al-Quran, melakukan solat dan beribadah. Maka demikian juga rakyatnya. Apabila seorang lelaki berjumpa dengan lelaki yang lain, mereka akan bertanya, “Berapa banyak kamu berwirid? Berapa banyak kamu baca al-Quran setiap hari? Kamu solat apa semalam?” Dan orang ramai berkata: “Rakyat akan hidup mengikut cara hidup pemimpin mereka.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/165)

Ketika Sa’ad bin Abi Waqqas R.A sebagai panglima tentera Islam memasuki istana Parsi, beliau segera mengarahkan kepada Amru bin Amru bin Muqarrin untuk mengumpulkan semua harta rampasan perang yang mereka telah peroleh, sekaligus harta benda yang terdapat di istana dan kamar-kamarnya. Amru diperintahkan untuk menghitung seluruh harta tersebut.

Sementara itu, ketika penduduk Mada’in menyedari bahawa mereka telah dikalahkan oleh kaum Muslimin, dengan cepat sebahagian mereka melarikan diri dengan membawa harta Kaisar. Namun, tentera Islam dengan cepat mengejar mereka, sehingga sampai di Nahrawan. Akhirnya tidak seorang pun daripada mereka yang terlepas.

Tentera Islam meminta mereka untuk menyerahkan apa yang telah mereka bawa, dan penduduk Mada’in pun segera menyerahkannya dan mengembalikan semua harta yang mereka ambil sebelumnya. Harta-harta itu kemudian digabungkan bersama harta rampasan perang yang lain. Harta yang dimaksudkan adalah harta yang pertama, yang telah berjaya mereka kumpulkan iaitu dari istana putih, dari kamar-kamar kerajaan dan dari tempat-tempat yang lain.

Tatkala bungkusan harta rampasan perang yang dikirimkan kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab sampai kepada beliau, termasuk di antaranya pedang kaisar, pengikat pinggang dan batu permatanya, Umar R.A berkata:

 وَاللَّهِ إِنَّ أَقْوَامًا أَدَّوْا هَذَا لَذَوُو أَمَانَةٍ.

Maksudnya: “Demi Allah! Sesungguhnya orang-orang yang mengirimkan semua harta ini adalah orang-orang yang memiliki sifat amanah yang tinggi.”

‘Ali bin Abi Talib lalu berkata:

 إِنَّكَ عَفَفْتَ، فَعَفَّتِ الرَّعِيَّةُ.

Maksudnya: “Engkau telah bersifat ‘iffah (menjaga diri daripada perbuatan dosa), maka rakyat engkau pun turut bersifat ‘iffah (dengan  meniru perbuatan engkau).”

(Lihat Tarikh al-Rusul wa al-Muluk, 4/23; Futuh al-Buldan oleh al-Balazuri, hlm. 262; Tarikh Dimasyq oleh Ibn ‘Asakir, 44/343; al-Muntazam fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam, 4/209)

Tidak peliklah Saidina Umar ibn al-Khattab R.A telah mencapai tahap amanah yang tinggi kerana ingin mengikut titah perintah Allah dan Rasul-Nya. Semoga Allah SWT merahmati Saidina Umar.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)