#5291: Jenazah Sudah Menerima Seksaan di Alam Barzakh, Adakah Ia Dikurangkan di Padang Mahsyar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Sekiranya jenazah sudah menerima seksaan di alam barzakh, adakah ia akan dikurangkan apabila di padang mahsyar kelak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mentakrifkan terlebih dahulu alam barzakh. Al-Jurjani menyebutkan, al-Barzakh (البَرْزَخ) disebut sebanyak tiga kali dalam al-Quran dan semuanya disebut dalam bentuk kata nama. Dari segi bahasa ia bermakna sesuatu atau penghalang antara dua perkara. (Lihat al-Ta‘rifat, hlm. 45). Alam barzakh ialah alam yang dilalui oleh manusia setelah meninggal dunia. Barzakh dari sudut bahasa adalah pemisah antara dua benda. Alam selepas kematian dinamakan alam barzakh. Ini kerana, ia menjadi pemisah antara alam dunia dan alam akhirat. (Lihat Safwah al-Tafasir, 2/293).

Menurut Ibn Manzur, makna alam barzakh ialah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar, iaitu daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh. (Lihat Lisan al-‘Arab, 3/8).

Manakala disebutkan dalam Mukhtar al-Sihah (hlm. 73), makna barzakh ialah dinding pembatas antara dua benda. Ia juga membawa makna apa yang terdapat di antara alam dunia dan alam akhirat sejak dari waktu kematian seseorang sehingga dia dibangkitkan. Jadi siapa yang mati maka itu bermakna dia telah masuk ke dalam alam barzakh.

Dalam menjawab soalan di atas,  kami katakan bahawa orang yang selamat dalam alam barzakh menunjukkan kebiasaannya dia akan selamat pada hari kiamat, tanpa syak lagi. Akan tetapi orang yang tidak selamat di alam barzakh dan diazab di dalamnya, menunjukkan bahawa segala apa yang akan dilaluinya setelah itu akan lebih sukar. Maka, sudah menerima seksaan di alam barzakh tidak memestikan ia akan dikurangkan apabila di padang mahsyar kelak, bahkan sebaliknya ia boleh jadi lebih sukar dan dahsyat. Hal ini kerana alam barzakh merupakan tempat persinggahan yang pertama daripada persinggahan akhirat.

Hal ini dapat dilihat berdasarkan kepada riwayat daripada Hani’ maula Uthman, katanya:

 كَانَ عُثْمَانُ، إِذَا وَقَفَ عَلَى قَبْرٍ بَكَى حَتَّى يَبُلَّ لِحْيَتَهُ، فَقِيلَ لَهُ: تُذْكَرُ الجَنَّةُ وَالنَّارُ فَلَا تَبْكِي وَتَبْكِي مِنْ هَذَا؟ فَقَالَ: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ القَبْرَ أَوَّلُ مَنْزِلٍ مِنْ مَنَازِلِ الآخِرَةِ، فَإِنْ نَجَا مِنْهُ فَمَا بَعْدَهُ أَيْسَرُ مِنْهُ، وَإِنْ لَمْ يَنْجُ مِنْهُ فَمَا بَعْدَهُ أَشَدُّ مِنْهُ

Maksudnya: “Dahulu Uthman apabila berdiri di hadapan kubur, beliau sering menangis sehingga janggutnya menjadi basah. Lalu ditanyakan kepadanya: ‘Apabila kamu diingatkan tentang syurga dan neraka, kamu tidak menangis, tetapi kamu menangis kerana ini?’ Uthman menjawab, Rasulullah SAW pernah bersabda: bersabda: ‘Sesungguhnya kubur adalah tempat persinggahan pertama daripada persinggahan-persinggahan akhirat. Sekiranya seseorang selamat daripadanya, maka segala yang setelahnya akan lebih mudah. Sebaliknya, sekiranya seseorang tidak selamat daripadanya, maka segala yang setelahnya akan lebih sukar.’

Riwayat al-Tirmizi (2308) dan beliau menyatakan, hadith ini hasan gharib, kami tidak mengetahuinya melainkan daripada hadith Hisyam bin Yusuf.

Al-Mubarakfuri menyebutkan, maksud dia tidak selamat daripadanya (alam barzakh) adalah dia tidak terlepas daripada azab kubur serta dosa-dosanya tidak diampunkan dan masih ada sesuatu daripada dosa tersebut yang berhak untuk diazabkan. Oleh itu, segala yang setelahnya akan lebih sukar kerana azab neraka adalah lebih berat dan dahsyat. Justeru, apa yang berlaku kepada mayat dalam kubur menjadi petunjuk kepada apa yang akan terjadi selepasnya. (Lihat Mir‘ah al-Mafatih, 1/229).

Daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا القَبْرُ رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الجَنَّةِ أَوْ حُفْرَةٌ مِنْ حُفَرِ النَّارِ

Maksudnya:Sesungguhnya kubur satu taman daripada taman-taman Syurga atau satu gaung daripada gaung-gaung neraka.”

Riwayat al-Tirmizi (2460). Kata Imam al-Tirmizi, hadis ini gharib. Tidak aku ketahui kecuali jalan ini. Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam al-Tahzib (7/200-202) menyatakan Sanad ini amat dha’if. Ini kerana Athiyyah ibn Sa’d al-‘Aufi al-Qisi dha’if dan didha’ifkannya oleh al-Nasa’ie, Abu Zur’ah, al-Saji dan lain-lain.

Syeikh Sulaiman bin Nasir berkata: Hadith ini menjadi dalil bahawa kubur terkadang menjadi cahaya bagi pemiliknya, dan terkadang menjadi satu kegelapan. (Lihat Syarh Kitab al-Jana’iz min al-Bulugh, hlm. 11)

Syeikh Khalid al-Muslih menyatakan di dalam kitabnya Syarah al-Tahawiyah: Hadith ini membahagikan manusia di dalam kubur kepada mendapat nikmat dan yang mendapat azab. Kubur merupakan tempat dikebumikan orang mati. Taman atau al-Raudhah pula berdasarkan bahasa arab adalah tempat banyaknya air, tempat yang cantik dan luas. Maka tempat yang lapang, luas yang banyak airnya dan dihadiri ramai di dinamakan al-Raudhah di dalam istilah bahasa arab. Kubur pula merupakan salah satu tempat tinggal daripada tempat-tempat hari akhirat, dan ianya merupakan tempat yang nikmat yang benar dan ianyat merupakan taman dari taman-taman syurga. Hal ini kerana apabila matinya manusia dan dikebumikan, maka dia akan melihat tempatnya di syurga sekiranya dia daripada ahli syurga. Dia juga akan melihat tempatnya di neraka sekiranya dia daripada ahli neraka.

Justeru, Kubur adalah  tempat nikmat yang dijanjikan untuk ahli iman, kerana ianya menunjukkan tempatnya di syurga dan bukan bermakna syurga itu berada di kubur, tetapi ianya menunjukkan bahawa pada syurga itu terdapatnya kenikmatan. Kemudian ruh ini tidak semestinya berada di dalam jasad, tetapi ianya berada di syurga sekiranya ianya adalah ruh orang yang beriman. (Lihat Syarh al-Tahawiyah, 18/5)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”