#5293: Kematian Disebabkan Vaksin Adakah Dikira Mati Dibunuh?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, sebagaimana yang kita maklum kematian adalah ketentuan Allah SWT. Namun sekiranya kita mengambil vaksin dan dengan mengambilnya menyebabkan jantung terhenti (cardiac arrest) serta menyebabkan kematian. Soalan saya adakah kematian itu dikira mati dibunuh dan adakah ia dikira mati syahid ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً

Maksudnya: “Allah tidak akan menurunkan sesuatu penyakit melainkan Dia akan menurunkan ubatnya”.

 Riwayat al-Bukhari (5678)

Imam Al-Khattabi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan sabitnya ilmu perubatan dan keharusan mendapatkan rawatan bagi mengubati penyakit, dan ia juga sebagai isyarat bahawa kesakitan dan kesembuhan itu semuanya daripada Allah SWT. (Lihat A’lam al-Hadis Syarh Sahih al-Bukhari, 3/1204).

Syeikh Musa Shaheen menyatakan yang dimaksudkan dengan ‘Allah akan menurunkan ubat di bumi’ ialah Allah menurunkan ilmu yang berkaitan dengan perubatan dan rawatan kepada manusia di muka bumi ini. (Lihat Fath al-Mun’im, 8/582).

Apakah Imunisasi dan Vaksin?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization) mendefinisikan “imunisasi” sebagai proses di mana seseorang itu dijadikan imun atau tahan penyakit berjangkit, biasanya melalui pengambilan vaksin. Vaksin merangsang sistem imun badan sendiri untuk melindungi seseorang itu daripada jangkitan berikutnya atau sebarang jenis penyakit.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, vaksin mengandungi antigen, yang diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk meransang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

Pada hari ini, kebanyakan vaksin adalah dalam bentuk kombinasi; iaitu beberapa jenis vaksin digabungkan dalam satu suntikan agar kanak-kanak mendapat perlindungan terhadap beberapa jenis penyakit dengan hanya satu suntikan. Ia menjadikan pemberian vaksin lebih praktikal dan kurang menyakitkan. (Lihat Soalan Lazim Mengenai Vaksin Dan Imunisasi, Kementerian Kesihatan Malaysia & JAKIM.)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa  pengambilan vaksin merupakan satu ikhtiar untuk mencegah dan mengurangkan resiko jangkitan khususnya ketikamana negara dilanda wabak covid19 atau apa-apa wabak sekalipun. Bahkan badan berautoriti dan sarjana Islam seluruh dunia mengharuskan penggunaan vaksin dalam usaha mencegah penularan dan keterukan jangkitan.

Seperkara yang perlu difahami, vaksin merupakan usaha pencegahan dan ia bukan bermaksud akan dibanteras seratus peratus atau kepada sifar satu-satu penyakit dengan sebab vaksin. Contoh yang paling mudah, terlalu banyak vaksin yang telah dikeluarkan seperti campak dan beberapa lagi, tetapi sehingga kini masih wujud penyakit-penyakit tersebut kecuali dalam bentuk terkawal. Itulah yang sepatutnya difahami.

Ini juga bertepatan kaedah fiqh yang masyhur:

الضَّرَرُ يُزَالُ

Maksudnya: “Kemudaratan itu hendaklah dihilangkan.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazair hlm.83)

Imam al-Syatibi berkata: “Kami dapati Syarak menghendaki kemaslahatan hamba sedangkan hukum-hukum adat berjalan mengikut keadaannya. Kadang-kadang kami dapati satu masalah ditegah dalam satu keadaan kerana tiada padanya maslahat, sedangkan pada keadaan lain jika terdapat maslahat, maka hukumnya harus.” (Lihat al-Muwafaqat, 2/306)

Begitu juga Imam al-Suyuti menyatakan: Ketahuilah bahawa kaedah ini banyak diguna pakai dalam pelbagai bab di dalam ilmu Fiqh. Ini kerana didatangkan syariat bertujuan untuk menghindarkan sesuatu daripada berlakunya kemudharatan. (Lihat al-Ashbah wa al-Nazair, 1/84)

Oleh yang demikian merujuk kepada persoalan di atas kami katakan  kesan pengambilan vaksin adalah lebih jauh memberi manfaat kepada kesihatan berbanding dengan tidak mengambilnya, tanpa menafikan adanya kesan buruk terhadap beberapa golongan. Oleh itu, jika seseorang meninggal dunia disebabkan pengambilan vaksin tersebut, ia tidak boleh dianggap sebagai pembunuhan. Ini kerana vaksin tidak diberikan melainkan setelah mendapat kelulusan daripada pakar yang mengkaji keberkesanan vaksin dan doktor yang merawat pesakit sebelum pemberian vaksin tersebut.

Tambahan lagi pemerintah atau kerajaan tidak akan membenarkan  sesuatu perkara melainkan dengan adanya maslahah. Kaedah fiqh menetapkan:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.

Adakah orang yang meninggal disebabkan pengambilan  vaksin dikira mati syahid?

Dalam isu ini kami berpandangan orang yang mati disebabkan pengambil vaksin dan penyakit termasuk dalam golongan yang mati syahid. Yang demikian sepertimana yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada  Jabir bin ‘Atik bahawa:

أَنَّ عَبْدَ اللهِ بْنَ ثَابِتٍ لَمَّا مَاتَ قَالَتْ ابْنَتُهُ: وَاللهِ إِنْ كُنْتُ لَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ شَهِيدًا، أَمَا إِنَّكَ قَدْ كُنْتَ قَضَيْتَ جِهَازَكَ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ اللهَ قَدْ أَوْقَعَ أَجْرَهُ عَلَى قَدْرِ نِيَّتِهِ، وَمَا تَعُدُّونَ الشَّهَادَةَ؟ قَالُوا: قَتْلٌ فِي سَبِيلِ اللهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الشَّهَادَةُ سَبْعٌ سِوَى الْقَتْلِ فِي سَبِيلِ اللهِ الْمَطْعُونُ شَهِيدٌ، وَالْغَرِقُ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ ذَاتِ الْجَنْبِ شَهِيدٌ، وَالْمَبْطُونُ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ الْحَرِيقِ شَهِيدٌ، وَالَّذِي يَمُوتُ تَحْتَ الْهَدْمِ شَهِيدٌ، وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِجُمْعٍ شَهِيدَة

Maksudnya: “Abdullah bin Thabit ketika meninggal dunia, anak perempuannya berkata: ‘Demi Allah, aku sangat berharap engkau mati syahid. Adapun engkau telah mempersiapkan peralatan engkau (bagi menyediakan peralatan perang dan ekspedisi serta lain-lain).’ Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya Allah telah menjadikan pahalanya setimpal dengan apa yang diniatkannya, dan menurut kamu, siapakah orang yang dikira mati syahid itu?’ Mereka menjawab: ‘(Orang yang mati syahid itu) ialah orang yang terbunuh di jalan Allah.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Orang yang mati syahid yang selain terbunuh di jalan Allah ada tujuh orang, iaitu orang yang mati kerana taun adalah syahid, orang yang mati tenggelam (lemas) adalah syahid, orang yang mempunyai luka pada lambung lalu mati adalah syahid, orang yang mati kerana penyakit perut adalah syahid, orang yang mati dalam kebakaran adalah syahid, orang yang mati tertimpa runtuhan adalah syahid dan seorang wanita yang meninggal dunia sedangkan dia dalam keadaan mengandung adalah syahid.’”

Riwayat Ahmad (23753); riwayat Nasa’i dalam hadith yang panjang dengan sedikit perbezaan lafaz (1846); riwayat Ibn Majah dengan lafaz seumpamanya (2803); Syeikh Syu‘aib al-Arnaut dalam Takhrij al-Musnad (23753) menilainya sebagai sahih. Begitu juga al-Albani dalam Sahih Abi Daud (3111) menilainya sebagai sahih.

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa kesemua jenis kematian itu dianggap sebagai mati syahid disebabkan kelebihan kurniaan Allah SWT kepada mereka kerana dahsyatnya kesakitan dan kepedihan kematian tersebut yang ditanggung mereka.  (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 5/550).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan dalam kitabnya bahawa melalui hadith-hadith yang menyebutkan berkenaan orang-orang yang dikira syahid, kita dapat bahagikan mati syahid itu kepada dua kategori iaitu:

Syahid di akhirat dan syahid di dunia iaitu sesiapa yang gugur (terbunuh) di jalan Allah melawan orang-orang kafir (bagi menegakkan agama-Nya) ikhlas kerana Allah serta dalam keadaan mara ke hadapan dan bukannya berundur melarikan diri — daripada musuh.

Manakala syahid di akhirat  iaitu mereka yang diberikan pahala mati syahid, namun tidak terpakai ke atas mereka hukum syahid tersebut di dunia — yakni mereka masih lagi perlu dimandikan, disolatkan dan sebagainya. (Lihat Fath al-Bari, 6/55).

Sebagai kesimpulannya kami katakan pemberian vaksin oleh pemerintah bertujuan menjaga kemaslahatan dan menolak kemudaratan. Namun sekiranya ditakdirkan meninggal disebabkan pengambilan vaksin itu tidaklah ia dikira mati dibunuh kerana pemberian vaksin tersebut bukanlah bertujuan memudaratkan bahkan demi menjaga kemaslahatan individu itu sendiri. Justeru, orang yang meninggal dunia disebabkan pengambilan vaksin dan penyakit yang dialami, kami berpandangan ia mendapat pahala orang yang mati syahid sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith.

Isunya bukan pengambilan vaksin, tetapi sebab kematiannya kerana Covid-19 yang dikiaskan kepada wabak seperti taun.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Wallahua’lam