#5294: Maksud Anak Pungut (اللّقِيطُ) dan Hukumnya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan anak pungut dan apakah hukum mengambil mereka?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pengertian Anak Pungut

Anak pungut bermaksud kanak-kanak yang terbuang di jalanan atau seumpamanya dan tiada sesiapa yang mengaku sebagai anaknya.

Pensyariatan Mengambil Anak Pungut

Mengambil anak pungut adalah disyariatkan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Serta kerjakanlah amal-amal kebajikan, supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat).”

(Surah al-Hajj: 77)

Al-Syaukani berkata: Yakni segala kebaikan, dan yang paling utama adalah perintah yang wajib, kemudian yang sunat. Dan yang termasuk kebaikan yang paling baik adalah menolong orang lain. (Lihat Fath al-Qadir, 4/223)

Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bersikap tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa.”

(Surah al-Maidah: 2)

Imam Ibn Kathir menyebutkan, Allah SWT melarang mereka daripada bersatu atas kebatilan, dan bertolong-tolongan atau bekerjasama atas perkara dosa dan perkara yang haram. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/13)

Firman-Nya lagi:

وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.”

(Surah al-Maidah: 32)

Hukum Mengambil Anak Pungut

Sesiapa menjumpai kanak-kanak di jalanan yang tidak diketahui siapa penjaganya, maka hendaklah mengambil, menjaga dan mendidiknya. Hukumnya adalah fardhu kifayah. Jika dia tidak diendahkan oleh sesiapa pun dan masih terbiar di situ, maka semua penduduk yang mengetahuinya di negeri, daerah atau kampung berkenaan, berdosa. (Lihat  al-Fiqh al-Manhaji, 4/221)

Jika seorang daripada penduduk mengambil, menjaga dan mendidik anak tersebut, maka kesemua penduduk terselamat daripada ditimpa dosa. Firman Allah SWT:

أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا

Maksudnya: “Bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya, dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.”

(Surah al-Maidah: 32)

Syarat Anak Pungut Boleh Tinggal Bersama-sama Orang yang Mengambilnya

Sepertimana dimaklumi, hukum mengambil anak terbuang adalah fardhu kifayah kepada semua orang Islam apabila mereka menjumpainya tanpa sebarang syarat. Jika seorang daripada penduduk mengambil anak itu untuk dipelihara, dia perlu memenuhi empat syarat yang berikut:

  1. Islam

Anak yang terbuang tidak boleh dipelihara oleh orang kafir kecuali anak itu disahkan kafir. Contohnya, apabila diketahui dengan apa cara sekalipun bahawa ibu bapa anak tersebut orang kafir, ketika itu orang kafir boleh untuk memeliharanya.

  1. Adil

Anak yang terbuang tidak boleh dipelihara oleh orang yang dikenali fasiq. Dia hendaklah diserahkan kepada orang yang adil dan amanah.

  1. Cerdik dan Matang (al-Rusyd)

Jika anak tersebut dipelihara oleh orang yang kurang matang, seperti belum baligh, anak itu hendaklah diambil daripadanya. Begitulah juga jika dia seorang yang bodoh (al-safih) sehingga dihalang daripada menguruskan hartanya, sekalipun sebelumnya dia merupakan seorang yang cerdik dan pintar. Oleh kerana itu, maka anak tersebut pun tidak dibenarkan tinggal bersama-samanya.

  1. Bermukim

Jika orang yang mengambil anak itu ingin bermusafir bersama-samanya ke suatu tempat tertentu, anak itu hendaklah diambil daripadanya. Ini kerana anak tersebut tidak selamat daripada perhambaan atau penipuan. Walau bagaimanapun, bagi memenuhi syarat-syarat tersebut, keputusan membenar dan tidak membenarkan anak itu tinggal bersama-sama orang yang menjumpainya, tertakluk kepada keputusan dan ketentuan oleh hakim. Ini kerana hakim ialah wali kepada mereka yang tidak mempunyai wali. Oleh itu, hakim bertanggungjawab menentukan penjagaan anak terbuang dan menjaga kepentingannya dalam masalah tersebut.

Akhir kalam, semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahu a‘lam