#5363: Pendapat Ulama Terkait dengan Zulqarnain

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh nyatakan, siapakah Zulqarnain mengikut pandangan ulama?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ عَن ذِي الْقَرْنَيْنِ ۖ قُلْ سَأَتْلُو عَلَيْكُم مِّنْهُ ذِكْرًا ﴿٨٣﴾ إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِن كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا

Maksudnya:Mereka bertanya padamu wahai Muhammad tentang Zulkarnain. Jawablah, ‘Aku akan ceritakan kepadamu sebahagian daripada kisahnya.’ Sesungguhnya Kami telah kurniakan kepadanya kuasa pemerintahan di bumi, dan Kami berikan kepadanya asbab untuk mencapai segala visinya.”

(Surah al-Kahfi: 83-84)

Berkenaan persoalan di atas, terdapat beberapa pandangan mengenai siapakah sebenarnya Zulqarnain. Kami kemukakan pandangan-pandangan tersebut seperti di bawah:

  • Pendapat yang menyatakan bahawa beliau adalah seorang raja Himyar, yang memerintah dari 300 hingga 320 sebelum Masihi. Beliau dikhabarkan telah berjaya menakluki kuasa besar di zaman itu, iaitu negara Parsi. Pendapat ini disokong oleh ramai ahli tafsir seperti al-Mas’udi, al-Tha’labi, Muhammad Farid Wajdi dan ramai lagi. (Lihat Zu al-Qarnain oleh Muhammad Khair Ramadhan Yusuf, hlm. 260)
  • Pendapat yang menyatakan bahawa Zulqarnain adalah Raja Kurush, iaitu Raja Parsi yang memerintah selama tiga puluh tahun antara tahun 529 hingga sebelum masihi, iaitu kira-kira 300 tahun sebelum masa Alexander The Great, Cyrus. Nama sebenar Zulqarnain adalah Kurush dalam bahasa Parsi, Kurush mengikut nama yang diberikan oleh bangsa Yahudi, Qurush gelaran nama mengikut bangsa Arab, manakala bangsa Yunani menggelarkannya sebagai Sa’iris. (Lihat Ma‘a Qisas al-Sabiqin fi al-Quran: Durus fi al-Iman wa al-Da‘wat wa al-Jihad oleh Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi, hlm. 261-263)
  • Pendapat lain mengatakan bahawa Zulqarnain pernah mengikuti ajaran Nabi Musa A.S. Beliau pernah mengembara ke seluruh pelosok dunia, timur dan barat sampai ke Cina, dan sehinggalah beliau menyumbang kepada pembuatan kertas, di mana pada zaman itu, kertas hanya ada di Mesir dan diperbuat daripada papirus (papyrus).[1]
  • Pendapat lain menyatakan bahawa Zulqarnain adalah Iskandar yang berasal dari Macedonia dan dilahirkan pada 356 sebelum Masihi. Dalam tempoh sepuluh tahun, beliau berjaya menakluk beberapa buah kerajaan yang berperang sesama sendiri dan diletakkan di bawah jajahan takluknya. Mengikut sejarah, beliau juga pernah melalui dan singgah di Babylon di Iraq. Di sana, beliau tiba-tiba jatuh sakit diserang demam panas selama sebelas hari, dan kemudiannya meninggal dunia di situ pada tahun 323 sebelum Masihi, ketika umurnya menjangkau 33 tahun. (Lihat Zu al-Qarnain oleh Muhammad Khair Ramadhan Yusuf, hlm. 259) Namun, pendapat ini tidak dapat dijadikan bukti kukuh bahawa beliaulah Zulqarnain yang dimaksudkan. (Lihat Wacana Cerita dalam al-Quran: Satu Kajian dalam Surah al-Kahf, 217).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Nota kaki:

[1] Papirus ialah sejenis bahan nipis seumpama kertas yang diperolehi daripada empulur dalam tumbuhan spesies Cyperus papyrus, sejenis rumput liar yang tumbuh di paya delta Nil di Mesir. Ia lazim digunakan untuk tujuan penulisan dalam kalangan masyarakat Mesir Purba, namun ia juga ditemui penggunaannya dalam seberapa bahan lain seperti perahu, tikar, tali, sepatu dan bakul. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Papirus. Diakses pada 12 Januari 2024).