#5384: Maksud Qardh (Hutang) dan Hukumnya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah itu qardh dan boleh Dato jelaskannya secara ringkas agar masyarakat umum lebih memahaminya.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Qardh (Hutang)

Hutang dalam bahasa Arab disebut qardh (القرض). Qardh dari segi bahasa bermaksud potong.

Menurut kamus al-Misbah al-Munir (قرضت الشيء قرضا) maksudnya saya memotong sesuatu. Kata nama perkataaan ini pula membawa maksud satu barangan yang diberikan kepada seseorang sebagai hutang. Perkataan ini digunakan dalam bahasa Arab kerana ia (hutang) memotong hak pemilik terhadap barangan tersebut.

Menurut istilah para fuqaha’, hutang ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan.

Dalam bahasa Arab, proses ini ini dinamakan qardh kerana proses ini menyebabkan tuan punya barangan memotong sebahagian hak miliknya untuk diberikan kepada kepada penghutang. Ini sesuai dengan makna qardh dari segi bahasa.

Firman Allah SWT:

مَّن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً ۚ

Maksudnya: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya?”

(Surah al-Baqarah: 245)

Hukum Memberi Hutang

Berdasarkan dalil-dalil syara’ di atas, kita fahami bahawa memberi hutang adalah sunat sementara meminta hutang adalah harus. Inilah hukum hutang dalam keadaan biasa. Walau bagaimanapun, hukum ini mungkin berubah bergantung kepada niat orang yang berhutang. Oleh itu hutang menjadi:

  1. Haram

Jika pemiutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk tujuan yang diharamkan seperti minum arak, judi dan sebagainya.

  1. Makruh

Jika pemiutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat atau untuk menunjuk-nunjuk. Ataupun penghutang tahu dia tidak mampu membayar semula hutang tersebut.

  1. Wajib

Jika pemiutang mengetahui orang yang berhutang amat memerlukan hutang tersebut untuk menampung hidupnya dan keluarganya dan tiada cara lain untuk dia memperolehinya kecuali dengan cara berhutang.

Akhir kalam, semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.