#5422: Bermain Telefon ketika Khutbah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’. Apakah hukum bermain telefon bimbit ketika sedang khutbah? Mohon penjelasan Dato’.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pada asasnya, terdapat dua perkara umum yang menjadikan seseorang itu dianggap sebagai lagha solat Jumaatnya. Kami nyatakan perinciannya seperti berikut:

Pertama: Perkataan

Terdapat hadith Nabi SAW yang menyebut larangan seseorang itu berkata-kata ketika khatib sedang berkhutbah. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ: أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: “Jika kamu berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat: Diam dan ketika itu imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia).”

Riwayat al-Bukhari (934)

Saidina Ali RA berkata, “Barangsiapa yang sia-sia bererti tidak beroleh apa-apa pada solat Jumaatnya.” Ertinya tidak diperolehi kelebihan Jumaat yang dituntut dan pahala yang diharapkan. (Lihat al-Mu`tamad, 1/533)

Para ulama’ telah berijma’ bahawa afdhal (sebaik-baiknya) bagi sesiapa yang mendengar khutbah imam untuk diam dan dengar. Perbuatan itu lebih afdhal daripada dia menyibukkan diri dengan berzikir secara sendiri, membaca al-Quran atau berdoa. (Lihat Fath al-Bari, 274/8).

Kedua: Perbuatan Anggota Badan

Sebarang pergerakan dan perbuatan yang menyebabkan hilang tumpuan dan fokus kepada khutbah yang disampaikan turut menyebabkan seseorang itu menjadi lagha. Hal ini berdalilkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأَنْصَتَ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ وَزِيَادَةُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk dan dia perelokkan wuduknya, kemudian dia pergi menuju solat jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti, dan diam (semasa khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya dan juga hari jumaat (yang akan datang), serta pertambahan 3 hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia telah lagha.”

Riwayat Muslim (857)

Berdasarkan hadis di atas, dapatlah difahami bahawa perbuatan bermain-main batu kecil ketika khatib sedang berkhutbah adalah dilarang, serta menjadikan pelakunya lagha. Hal ini diluaskan lagi kepada perbuatan-perbuatan lain yang menyebabkan hilangnya fokus dan tumpuan dalam mendengar khutbah. Ia seperti bermain telefon bimbit, tidur, makan dan minum tanpa sebab dan seumpamanya.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan disunatkan bagi orang yang mendengar khutbah untuk diam daripada berkata-kata dan tidak membuat aktiviti lain selain mendengar kepada bacaan khatib.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Salman al-Farisi RA berkata: Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَغْتَسِلُ رَجُلٌ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَيَتَطَهَّرُ مَا اسْتَطَاعَ مِنْ طُهْرٍ، وَيَدَّهِنُ مِنْ دُهْنِهِ، أَوْ يَمَسُّ مِنْ طِيبِ بَيْتِهِ ثُمَّ يَخْرُجُ، فَلاَ يُفَرِّقُ بَيْنَ اثْنَيْنِ، ثُمَّ يُصَلِّى مَا كُتِبَ لَهُ، ثُمَّ يُنْصِتُ إِذَا تَكَلَّمَ الإِمَامُ، إِلاَّ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ الأُخْرَى

Maksudnya: “Seseorang yang mandi dan bersuci pada hari Jumaat sekadar yang termampu, memakai minyak dan wangi-wangian, kemudian ke masjid dan tidak mengganggu para jemaah dan seterusnya mendirikan solat yang ditentukan, diam ketika imam berkhutbah. Maka segala dosa kecilnya akan diampunkan di antara Jumaat dan Jumaat yang akan datang.”

Riwayat al-Bukhari (843)

Saidina Ali RA meriwayatkan:

وَمَنْ لَغَا فَلَيْسَ لَهُ فِى جُمُعَتِهِ تِلْكَ شَىْءٌ

Maksudnya: “Bahawa sesiapa yang Jumaatnya sia-sia dia tidak dapat apa-apa kelebihan dan pahala yang diharapkan daripada Jumaatnya itu.”

Riwayat Abu Daud (1051)

Larangan berkata-kata di sini termasuklah juga menulis bagi mengelakkan situasi berhelah seperti orang menggunakan SMS, Whatsapp dan lain-lain ketika khatib sedang berkhutbah dengan alasan, “Kami tidak bercakap tetapi hanya menulis.”

Ini dikuatkan dengan hadis daripada Abu Hurairah RA:

مَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyapu (bermain-main) batu kerikil (ketika Jumaat) maka hal itu sia-sia.”

Riwayat Muslim (857)

Imam al-Nawawi berkata: “Pada hadis ini terdapat larangan bermain dengan batu dan selain daripada jenis itu kerana itu adalah sebahagian daripada perbuatan sia-sia ketika khutbah (Jumaat). Di sini terdapat isyarat agar ditujukan hati dan anggota badan semata-mata kepada khutbah.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/229).

Justeru, kami katakan bermain telefon ketika khutbah jumaat termasuk perkara-perkara yang dilarang (lagha) meskipun ia tidak membatalkan. Alangkah baiknya jika seseorang meletakkan sepenuh perhatian, pendengaran dan perbuatannya, memberi tumpuan kepada isi khutbah.

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

  رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua`lam.