#5534: Kisah Sedekah Seorang yang Kedekut yang Diterima Allah pada Zaman Nabi Isa AS

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah dato kongsikan satu kisah tentang sedekah pada zaman nabi-nabi terdahulu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Sedekah

Sedekah pada bahasa bermaksud kebenaran atau pemberian ikhlas dari hati yang bersih. Manakala pada istilah pula, ulama’ menyebut sebagai pemberian semata-mata untuk mendekatkan kepada Allah dan mencari keredhaan Allah SWT. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT:

إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 271)

Menjawab persoalan di atas, hakikatnya banyak kisah-kisah teladan berkenaan kelebihan sedekah. Maka, antara yang boleh kami kongsikan ialah:

 

Kisah Sedekah Seorang yang Kedekut yang Diterima Allah

Kisah ini diceritakan terjadi pada zaman Nabi Isa AS. Ditulis di dalam buku Keajaiban Sedekah oleh Muhammad Muhyidin:

Di zaman Nabi Isa AS ada seorang pemuda yang amat terkenal dengan sifat kedekutnya sehingga dia digelar Mal’un. Satu hari ada seorang soleh yang ingin pergi berperang datang berjumpa Mal’un. Orang soleh itu berkata, “Wahai Tuan, sekiranya Tuan tidak keberatan hati, sudilah kiranya Tuan memberikan sebuah pedang kepada saya untuk berperang?”

Mal’un diam dan hanya membiarkan pemuda yang soleh itu berlalu begitu saja. Setelah pemuda itu pergi, Mal’un menyesal. Dia berfikir sendirian, “Mengapa saya membiarkan pemuda ini pergi, tidak memberinya pedang untuk dibawanya berperang?”

Lalu Mal’un memanggil semula pemuda tadi datang yang belum jauh lagi dari rumahnya. Kemudian dia berikan pedang yang dimilikinya itu kepada pemuda itu.

Pemuda itu pun pergi berperang dan ketika dia pulang dia pergi bertemu dengan Nabi Isa AS yang pada ketika itu sedang berjalan bersama seorang ahli ibadah. Ahli ibadah itu telah mengabdikan dirinya kepada Allah selama 70 tahun. Nabi Isa menegur pemuda tadi seraya berkata, “Wahai pemuda, dari manakah kau mendapatkan pedang ini?”

Jawab pemuda itu, “Dari Mal’un, ya Nabi Allah.”

Nabi Isa gembira kerana orang yang selama ini terkenal sangat kedekut dan bakhil itu telah bersedekah sesuatu ke jalan Allah. Kebetulan mereka sedang berada tidak jauh dari rumah Mal’un. Mal’un yang melihat Nabi Isa dan pemuda tadi serta orang ahli ibadah itu segera mempersilakan mereka untuk masuk ke rumahnya.

“Aku akan segera pergi sebelum terbakar dengan apinya,” kata ahli ibadah.

Setelah ahli ibadah mengucapkan kalimat itu, turunlah wahyu dari Allah kepada Nabi Isa, “Hai Isa, katakanlah kepada hamba-Ku Mal’un bahawa Aku sudah mengampuni dosanya. Berkat sedekah pedangnya itu dan kerana dia memuliakanmu. Dan sampaikan juga bahawa ahli ibadah itu adalah kawannya kelak di surga.”

Mendengar penyampaian wahyu dari Nabi Isa itu, si ahli ibadah berkata, “Aku tidak sudi berkawan dengannya di syurga.”

Setelah itu turunlah wahyu kepada Nabi Isa, “Hai Isa, ahli ibadah itu tidak menerima keputusan-Ku dan telah menghina orang, maka Aku masukkan Malun ke dalam syurga sebagai ganti amal yang telah dilakukan oleh ahli ibadah itu.”

Untuk maklumat lanjut berkenaan keajaiban sedekah, kami ada menerbitkan sebuah buku bertajuk, “Keajaiban Sedekah.”  Jika anda berminat untuk mengetahui tentang hebatnya sedekah, pandangan ulama tentangnya, kisah-kisah menarik berkenaan sedekah, anda boleh tekan di link bawah:

https://pck.onpay.my/order/form/Azamramadhan/188

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”