#5666: Kitab dan Karya Imam Syafi’i

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh nyatakan kepada kami berkenaan kitab dan karya Imam Syafi’i?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

(Surah al-Baqarah: 269)

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:

مَنْ يُرِدِ اَللَّهُ بِهِ خَيْرًا, يُفَقِّهْهُ فِي اَلدِّينِ

Maksudnya: “Siapa yang dikehendaki kebaikan yang banyak oleh Allah, nescaya akan difahamkan perihal agamanya.”

Riwayat al-Bukhari (71) dan Muslim (1037)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Dalam hadith ini terdapat keterangan yang jelas tentang kelebihan orang-orang yang berilmu di atas semua manusia. Begitu juga keutamaan ilmu agama di atas ilmu-ilmu yang lain.” (Lihat Fath al-Bari, 1/165)

Imam al-Syafi‘i banyak menyusun dan mengarang kitab-kitab. Mengikut sebahagian ahli sejarah, beliau menyusun 13 buah kitab di dalam beberapa bidang ilmu pengetahuan seperti ilmu fiqh, tafsir, usul sastera (al-Adab) dan lain-lain.

Antara kitab Imam al-Syafi‘i yang lain ialah “al-Risalah” yang membicarakan tentang ilmu usul fiqh. Beliau menyusun kitab al-Risalah atas permintaan ‘Abd al-Rahman bin al-Mahdi kerana beliau adalah imam bagi ahli hadith pada masa itu. Orang ramai dapat menerima dengan baik kitab ini dan berbagai-bagai pendapat dikemukakan manusia tentang kitab ini.

‘Abd al-Rahman bin al-Mahdi Said al-Khattab menyanjung tinggi kitab al-Risalah ini, seterusnya mereka yang ada pada masa itu serta yang hidup selepasnya. Al-Muzani berkata: “Aku membaca al-Risalah sebanyak lima ratus kali. Setiap kali aku membacanya, aku dapati hukum-hukum yang baru.” Beliau berkata lagi: “Aku membaca kitab al-Risalah sejak lima puluh tahun dahulu dan setiap kali aku membacanya, aku mendapat satu perkara yang baru.” (Lihat Muqaddimah al-Majmu’, 1/25).

Kitab karangan Imam al-Syafi‘i yang lain ialah kitab al-Umm, iaitu sebuah kitab yang luas dan tinggi dalam ilmu fiqh. Sesetengah ahli sejarah menafikan kitab al-Umm dikarang oleh Imam al-Syafi‘i. Mereka berpendapat, kitab al-Umm dikarang oleh Abu Ya‘qub bin al-Buwaiti. Sebagai buktinya, Abu Talib al-Makki pernah menyebut di dalam kitabnya “Qut al-Qulub”.

Ada yang mengatakan kitab al-Umm dikaryakan oleh al-Buwaiti. Beliau menyusun kitab al-Umm yang dikatakan pada masa sekarang daripada al-Rabi‘ bin Sulaiman. Sebenarnya, ia adalah himpunan daripada al-Buwaiti, tetapi beliau tidak menyebut namanya di dalam kitab dan diserahkan kitab itu kepada al-Rabi‘. Al-Rabi‘ menambah dan menyebarkannya kepada manusia untuk mengetahuinya.

Selain daripada itu, semasa di Iraq, Imam al-Syafi‘i telah menyusun kitabnya yang lama, yang diberi nama al-Hujjah. Kitab ini telah disahkan oleh empat orang dari ulama yang terbesar, iaitu Imam Ahmad bin Hanbal, Abu al-Thaur, al-Za‘farani dan al-Karabisi.

Selain itu, di antara kitabnya yang lain lagi ialah:

  • Jami’ al-Mizan al-Saghir.
  • Al-Amali.
  • Mukhtasar al-Rabi’.
  • Mukhtasar al-Buwaiti.
  • Al-Imla’.
  • Ikhtilaf al-Hadith.
  • Al-Musnad.
  • Mukhtasar al-Kabir dan lain-lain.

Imam al-Syafi‘i menyusun sebahagian daripada kitab-kitabnya itu ataupun beliau menulisnya sendiri.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”