#5822: Teknik Melangsaikan Hutang

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana cara atau teknik kita untuk melangsaikan hutang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Siri ini adalah rentetan daripada tajuk “cara melangsaikan hutang”. Setelah kita mengetahui cara-cara ataupun langkah-langkah untuk melangsaikan hutang, kita juga perlu mengetahui teknik dalam melangsaikan hutang. Teknik yang dimaksudkan di sini ialah lebih kepada ilmu pengetahuan tentang cara yg pelbagai untuk melangsaikan hutang. Melalui perkongsian kita boleh memilih teknik yang sesuai dengan diri kita dalam usaha untuk melangsaikan hutang.

Kami telah menyebut pada beberapa soalan yang lepas, yang terkait dengan teknik menyelesaikan hutang. Akan tetapi, sepertimana hadith Rasulullah SAW: Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْكَلِمَةُ الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ فَحَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا

Maksudnya:Hikmah kebijaksanaan merupakan harta yang hilang milik orang Mukmin; di mana sahaja dia dapatinya, maka dialah yang paling berhak ke atasnya.”

Riwayat al-Tirmizi (2687)

Secara umumnya, terdapat pelbagai cara untuk melangsaikan hutang. Penulis memetik satu pandangan mengenai tips penyelesaian isu hutang seperti berikut:

  • Mempelajari kesilapan yang lalu antaranya menjauhi riba. Justeru, hendaklah kita berhijrah dari riba kerana ia merupakan perangkap yang cukup bahaya.
  • Niat untuk menolong saudara dan umat Islam serta menegakkan syiarnya ini sudah pasti akan mendapat pertolongan daripada Ilahi.
  • Bersungguh dalam berusaha dan bekerja. Di samping itu perlu mempunyai strategi dan ilmu.
  • Benar dalam percakapan.
  • Keyakinan yang kukuh dan kuat bahawa kita mampu menyelesaikan hutang.
  • Bacalah sejarah orang kaya yang pernah jatuh dengan hutang, tapi dapat bangkit dengan sendiri sehingga menjadi antara orang yang terkaya.[1]
  • Jalinkan hubungan yang kukuh dengan Allah. Memelihara yang fardu dan sunat seperti qiamullail, puasa, solat Dhuha, sedekah dan lain-lain.
  • 80% fokus dalam membangunkan usaha dalam pekerjaan sedangkan 20% dalam menangani permasalahan.
  • Jangan sekali-kali memberikan jaminan peribadi dalam apa jua bentuknya. Yakni, jangan memberikan jaminan peribadi untuk sebarang jenis pinjaman atau hutang.
  • Cari rakan kongsi yang mempunyai hutang yang sama untuk berbincang atau yang sependapat dengan kita.
  • Kaedah bola salji (snowballing). Hal ini sekiranya kita masih mampu membayar hutang dan perniagaan sedang menghadapi kesulitan. Kaedah ini adalah strategi di mana kita membayar hutang daripada yang terkecil sehingga yang terbesar. Ia dapat memberikan momentum dan semangat untuk terus membayar hutang yang lain.
  • Sentiasa melakukan kebaikan walaupun dilanda kesempitan. Contohnya sedekah walaupun sedikit pada saat kita memerlukan banyak lagi wang untuk melangsaikan hutang. Sesungguhnya dengan bersedekah itu mendatangkan keberkatan.[2]
  • Kaedah ‘cut off’. Terdapat beberapa jenis bentuk, antaranya menghentikan pembayaran atau operasi tertentu buat sementara untuk memberi tumpuan kepada projek atau peluang yang lebih berpotensi. Dengan erti kata lain, hendaklah mempunyai strategi.
  • Jangan sekali-kali mengambil kredit jangka panjang dengan jangka pendek. Ia dengan maksud, jangan menggunakan pinjaman jangka pendek untuk tujuan jangka panjang. Ini kerana pinjaman jangka pendek biasanya mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi dan tempoh pembayaran yang lebih singkat.
  • Hutang dibolehkan tetapi mestilah untuk yang penting dan amat penting sahaja.
  • Pelajaran tidak akan berubah sehinggalah kita mengubah diri kita sendiri. Hal ini bermaksud, perubahan sebenar bermula dari diri kita sendiri. Jika kita ingin melihat perubahan dalam hidup kita, kita perlu mula dengan mengubah sikap dan tindakan kita sendiri.
  • Hendaklah berlaku jujur ketika kita berhutang.
  • Selalu menyemak apakah pinjaman yang kita laksanakan satu-satu projek boleh melangsaikan hutang bank.
  • Tingkatkan pendapatan perniagaan, rendahkan kesederhanaan. Ia merujuk kepada strategi untuk meningkatkan pendapatan perniagaan kita sementara mengurangkan kos dan memudahkan operasi. Ini boleh membantu meningkatkan keuntungan dan kecekapan perniagaan kita.
  • Bahagikan pendapatan kepada beberapa bahagian seperti 10% sedekah, 10% simpanan, 10% keluarga dan 30% pembayaran hutang atau sebagainya.
  • Zakat mesti diutamakan.

Penulis berpendapat kehendak seseorang menyelesaikan hutang adalah perlu dengan azam dan tekad yang sungguh disamping berusaha dengan gigih. Juga perlu disulami tawakal kepada yang Maha Esa. Maka sudah pasti menatijahkan keputusan yang baik.

Bacalah sejarah salaf al-Soleh yang jelas menunjukkan dengan sikap yang bersungguh-sungguh sudah pasti ada jalannya. Justeru, sewajarnya kita tanamkan tekad kita agar dapat melaksanakannya disamping menadah tangan bermunajat kepada Allah Maha Esa.

Moga-moga dengan teknik yang disenaraikan ini dapat membantu tuan dan puan dalam melunaskan hutang.

Kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Nota Hujung:

[1] Antaranya kisah Samuel Langhorne Clemens atau lebih dikenali dengan Mark Twain. Beliau telah mencuba untuk menjadi kaya pada usia muda. Beliau memiliki saham di sebuah syarikat perlombongan perak di Nevada, yang nilainya dipercayai setara dengan USD100,000 per unit hari ini.  Dia membeli saham tersebut dengan margin tinggi semasa bull market, dan harganya terus naik. Namun, saham tersebut akhirnya jatuh dan menjadi tidak bernilai, dan Twain jatuh miskin.

Namun, beliau tidak berhenti di situ. Beliau mendapatkan pekerjaan sebagai wartawan dan dalam tempoh yang singkat menjadi terkenal. Beliau kemudian mencuba bidang baharu sebagai penulis dan pensyarah, dan hasil tulisannya mendapat sambutan yang baik. Twain kemudian jatuh cinta dengan bidang penerbitan dan perniagaan. Beliau membangunkan syarikat penerbitan Webster Publishing Company, yang berkembang dengan baik. Sayangnya, syarikat itu terperangkap dalam krisis kewangan, dan akhirnya diisytiharkan muflis pada 18 April 1894. Hal ini menyebabkan Twain berhutang sebanyak USD94,000. Isteri beliau telah menawarkan wang sebanyak USD65,000 bagi menyelamatkan syarikat tersebut, tetapi beliau menolaknya kerana menganggap kesilapan tersebut adalah tanggungjawab beliau sepenuhnya.

Pada usia 58 tahun, beliau diisytiharkan muflis sepenuhnya. Beliau dikehendaki menjual seluruh aset peribadinya untuk membayar hutangnya. Meskipun begitu, beliau berusaha keras untuk bangkit dan membayar semua hutangnya dengan pekerjaannya sebagai penulis dan pensyarah. Pada akhir Januari 1898, beliau berjaya melangsaikan semua hutangnya dalam tempoh kurang daripada empat tahun sejak diisytiharkan muflis. Kejayaannya melangsaikan hutang tersebut dan bangkit daripada kegagalan tersebar dengan cepat, dan namanya menjadi ikon bagi ramai orang. (Lihat Mark Twain, Daripada Seorang Kaya-Raya Kemudian Jatuh Muflis Dan Bangkit Semula di portal Majalah Labur)

[2] Kami nukilkan di sini satu kisah yang menarik, sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

بَيْنَا رَجُلٌ بِفَلَاةٍ مِنَ الْأَرْضِ، فَسَمِعَ صَوْتًا فِي سَحَابَةٍ: اسْقِ حَدِيقَةَ فُلَانٍ، فَتَنَحَّى ذَلِكَ السَّحَابُ، فَأَفْرَغَ مَاءَهُ فِي حَرَّةٍ، فَإِذَا شَرْجَةٌ مِنْ تِلْكَ الشِّرَاجِ قَدِ اسْتَوْعَبَتْ ذَلِكَ الْمَاءَ كُلَّهُ، فَتَتَبَّعَ الْمَاءَ، فَإِذَا رَجُلٌ قَائِمٌ فِي حَدِيقَتِهِ يُحَوِّلُ الْمَاءَ بِمِسْحَاتِهِ، فَقَالَ لَهُ: يَا عَبْدَ اللهِ مَا اسْمُكَ؟ قَالَ: فُلَانٌ – لِلِاسْمِ الَّذِي سَمِعَ فِي السَّحَابَةِ – فَقَالَ لَهُ: يَا عَبْدَ اللهِ لِمَ تَسْأَلُنِي عَنِ اسْمِي؟ فَقَالَ: إِنِّي سَمِعْتُ صَوْتًا فِي السَّحَابِ الَّذِي هَذَا مَاؤُهُ يَقُولُ: اسْقِ حَدِيقَةَ فُلَانٍ، لِاسْمِكَ، فَمَا تَصْنَعُ فِيهَا؟ قَالَ: أَمَّا إِذْ قُلْتَ هَذَا، فَإِنِّي أَنْظُرُ إِلَى مَا يَخْرُجُ مِنْهَا، فَأَتَصَدَّقُ بِثُلُثِهِ، وَآكُلُ أَنَا وَعِيَالِي ثُلُثًا، وَأَرُدُّ فِيهَا ثُلُثَهُ

Maksudnya: “Suatu ketika, ada seseorang berjalan di salah satu tanah lapang yang sunyi. Tiba-tiba dia mendengar suara dari arah awan berkata, “Siramilah kebun si fulan.” Lalu awan itu bergerak dan mencurahkan airnya pada harrah (sebuah tempat yang penuh dengan bebatuan). Lalu kemudian air tersebut turun di salah satu saluran air yang ada di harrah tersebut. Lantas orang itu mengikuti ke arah air tersebut mengalir. Tidak berapa lama berjalan, dia mendapati ada seseorang yang sedang berdiri di kebunnya sambil memegang cangkulnya untuk mengarahkan air. Dia bertanya kepada orang itu, “Wahai hamba Allah, siapakah namamu?” Orang tersebut menjawab, “Fulan,” – namanya sama seperti nama yang dia dengar dari arah awan. – Orang itu bertanya kembali, “Wahai hamba Allah, kenapa engkau tanya namaku?” Dia menjawab, “Aku mendengar suara di awan berkata, ‘Siramilah kebun si fulan,’ dan fulan tersebut adalah namamu. Apa yang engkau lakukan dengan kebunmu?” Dia menjawab, “Kerana engkau mengatakan seperti itu, maka ketika melihat hasil yang keluar dari kebunku, aku sedekahkan sepertiganya, aku makan sepertiganya bersama keluargaku, dan aku kembalikan sepertiganya ke kebun untuk ditanam.” [Riwayat Muslim, no. 2984]