#5965: Hikmah Pensyariatan Solat Istisqa’

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh nyatakan kepada kami beberapa kami, beberapa hikmah pensyariatan solat Istisqa’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sesungguhnya manusia sentiasa diuji sebagai satu sunnatullah sebagaimana firman Allah SWT:

 

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ (155) الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ (156) أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ (157)

Maksudnya:  Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.

(Surah al-Baqarah: 155-157)

Menurut Syeikh al-Maraghi, pada ayat ini, Allah SWT memberi khabar bahawa Dia menguji hamba-hambaNya yang beriman dengan beberapa ujian di saat mereka berada dalam keadaan suka dan duka, dan kesemua ini (mereka yang diuji Allah SWT dalam kalangan hamba-Nya) mendapat pahala jika mereka bersabar terhadapnya. Mereka kemudiannya mengucapkan lafaz istirja’ bukti sebagai seorang yang sabar dan syukur. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/467)

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: Allah SWT memberitahu bahawa Dia pasti akan menguji para hamba-Nya dengan pelbagai mehnah dan ujian. Agar menjadi jelas siapa di antara hamba itu yang benar dan pendusta, yang sabar dan berkeluh kesah. Ini adalah ketetapan Allah SWT ke atas para hamba-Nya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 1/122)

Kadang-kadang ujian yang menyebabkan manusia tidak dapat menghadapinya dan berikhtiar kecuali memohon kepada Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Kuasa untuk melepaskan segala mehnah dan tribulasi tersebut.

Antaranya seperti kemarau yang panjang sehingga mengakibatkan kesukaran manusia dalam melaksanakan kehidupan dengan sempurna. Justeru, hanya memohon kepada-Nya sahaja dapat menurunkan hujan seterusnya melangsungkan kehidupan manusia.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”