#6005: Istimewanya Solat Sunat Tawaf

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah istimewanya solat sunat Tawaf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ ‎

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”

(Surah al-Hajj: 29)

Al-Syaukani menyatakan bahawa tawaf yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah tawaf ifadhah. Kaabah disebut sebagai “الْعَتِيقِ” kerana Allah SWT telah membebaskannya daripada kekuasaan orang yang zalim. Terdapat pendapat lain menyatakan bahawa maknanya ialah mulia. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 437.)

Kami telah nyatakan dalam buku kami bahawa terdapat riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا طَافَ فِي الحَجِّ أَوِ العُمْرَةِ، أَوَّلَ مَا يَقْدَمُ سَعَى ثَلاَثَةَ أَطْوَافٍ، وَمَشَى أَرْبَعَةً، ثُمَّ سَجَدَ سَجْدَتَيْنِ، ثُمَّ يَطُوفُ بَيْنَ الصَّفَا وَالمَرْوَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila tawaf ketika mengerjakan haji ataupun umrah, perkara pertama yang dilakukannya ketika tiba (di Baitullah) ialah berlari-lari anak tiga kali pusingan (tawaf), dan berjalan empat pusingan (tawaf yang selanjutnya). Kemudian Baginda solat dua rakaat lalu melaksanakan sa‘i antara Safa dan Marwah.”

Riwayat al-Bukhari (1616)

Maka solat sunat tawaf boleh diertikan sebagai solat sunat dua rakaat yang dilaksanakan selepas seseorang itu selesai mengerjakan ibadah tawafnya. Hal ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa apabila seseorang itu selesai daripada mengerjakan tawafnya, maka solatlah dua rakaat tawaf. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al- ‘Umrah, hlm. 244).

Adapun pensyariatan solat sunat dan cara melaksanakannya, terdapat sebuah hadith daripada Jabir R.A, beliau berkata:

لَسْنَا نَنْوِي إلَّا الحَجَّ، لَسْنَا نَعْرِفُ العُمْرَةَ، حتَّى إذَا أَتَيْنَا البَيْتَ معهُ، اسْتَلَمَ الرُّكْنَ فَرَمَلَ ثَلَاثًا وَمَشَى أَرْبَعًا، ثُمَّ نَفَذَ إلى مَقَامِ إبْرَاهِيمَ عليه السَّلَام، فَقَرَأَ: {وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى}، فَجَعَلَ المَقَامَ بيْنَهُ وبيْنَ البَيْتِ، فَكانَ أَبِي يقولُ – وَلَا أَعْلَمُهُ ذَكَرَهُ إلَّا عَنِ النَّبيِّ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ – : كانَ يَقْرَأُ في الرَّكْعَتَيْنِ {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ} وَ{قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ}.

Maksudnya:Kami tidak berniat melainkan hanya untuk mengerjakan haji, dan kami belum mengenal umrah. Setelah sampai di Baitullah bersamanya, Baginda mencium salah satu sudutnya — yakni hajarul aswad. (Kemudian Baginda tawaf) dengan berlari-lari anak sebanyak tiga kali dan berjalan biasa sebanyak empat kali. Kemudian Baginda terus menuju ke maqam Ibrahim A.S, lalu membaca ayat: “وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى” (Maksudnya: “Dan jadikanlah oleh kamu maqam Ibrahim itu tempat solat.”) [Surah al-Baqarah: 125]. Lalu dijadikan maqam itu berada di antaranya dengan Baitullah. Sementara itu bapaku berkata — dan aku tidak mengetahui apa yang disebutkannya itu melainkan daripada Nabi SAW — bahawasanya Baginda membaca dalam dua rakaat solatnya surah al-Ikhlas dan surah al-Kafirun.

Riwayat Muslim (1218)

Antara istimewanya solat sunat adalah seperti kata Imam al-Nawawi: Istimewanya solat sunat ini berbanding solat sunat yang lain adalah dengan sesuatu iaitu ia boleh diwakili (dengan orang lain). Orang yang mengambil upah haji boleh mendirikan solat sunat dua rakaat ini untuk yang mengupah. Inilah pendapat yang paling sahih. Namun, terdapat dalam kalangan ashab kami, mereka yang berpendapat bahawa solat yang didirikan oleh orang yang mengambil upah dikira untuk dirinya sendiri. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 188)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”