#6008: Syak Pada Bilangan Sa’ie

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ketika sa’ie, tiba-tiba saya merasa syak, bagaimana caranya? Keduanya adalah, saya yakin telah selesai tujuh pusingan, tetapi datang orang dipercayai/thiqah, menyatakan masih ada baki pusingan yang lain. Bagaimana kedudukan sa’ie ketika itu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِن شَعَائِرِ اللَّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya “Safa” dan “Marwah” itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah.”

Surah al-Baqarah (158)

Daripada Jabir bin Abdillah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ابْدَؤُوا بِمَا بَدَأَ اللَّهُ بِهِ

Maksudnya: “Mulakanlah kamu sa’ie dengan apa yang dimulakan Allah SWT.”

Riwayat Muslim (1217)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan Imam al-Nawawi menyebut:  Ashab kami berpendapat, jika dia melakukan sa’ie atau tawaf, kemudian syak pada bilangannya, hendaklah dia mengambil bilangan yang sedikit. Jika dia yakin sudah sempurna tujuh pusingan sa’ienya. Kemudian diberitahu oleh orang yang thiqah bahawa masih ada  pusingan yang berbaki, maka tidak wajib melakukannya, tetapi hanya disunatkan. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 197)

Ini berbetulan dengan kaedah:

الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: “Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak.”

Kaedah ini bermaksud, sesuatu perkara yang diyakini tidak boleh diangkat semata-mata kerana timbulnya syak atau keraguan, dan tidak dihapuskan keyakinan itu semata-mata kerana keraguan. Ini kerana, sesuatu perkara itu tidak dapat dihilangkan oleh sesuatu yang lebih lemah daripadanya, dan tidak pula boleh ditentang melainkan ia serupa atau lebih kuat. Keyakinan juga tidak diangkat hukumnya dengan keraguan, iaitu al-Syak, sama ada ia sama atau salah satunya diutamakan (iaitu dengan al-Zan), dan inilah yang disokong oleh hujjah akal. (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba‘ah, 1/97)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الشَّكِّ بَعْدَ الْيَقِينِ،

Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada syak selepas yakin.”