Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum guna botol arak yang telah digunakan atas tujuan untuk mengisi kicap yang halal? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji).”
(Surah al-Ma’idah: 90)
Perkataan al-Rijs (الرِّجْسُ) dari segi bahasa merujuk kepada sesuatu yang kotor dan berbau busuk. Adapun minuman-minuman lain yang diperselisihi oleh fuqaha tentangnya, hukum pengharamannya di sisi mereka adalah mengikut hukum kenajisan bagi minuman tersebut. Manakala sebahagian fuqaha’ seperti Rabi‘ah guru kepada Imam Malik, al-San‘ani dan al-Syaukani berpendapat bahawa ia adalah suci dengan berpegang kepada hukum asalnya, dan memahami makna rijs (الرِّجْسُ) dalam ayat tersebut merujuk kepada kotoran maknawi. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/27; 40/93-94).
Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa arak adalah najis di sisi kami (mazhab al-Syafi‘i) dan di sisi Imam Malik, Abu Hanifah, Ahmad serta seluruh ulama melainkan apa yang dinukilkan oleh al-Qadhi Abu al-Tayyib dan selainnya daripada Rabi‘ah guru kepada Imam Malik dan Daud bahawa kedua-duanya berpendapat ia adalah suci sekalipun dihukumkan sebagai haram seperti racun yang merupakan tumbuhan dan begitu juga seperti ganja yang memabukkan.
Namun, al-Syeikh Abu Hamid menukilkan bahawa telah berlaku ijma‘ ulama berkenaan kenajisannya. Begitu juga para ashab kami (ulama al-Syafi‘iyyah) berhujah berdasarkan kepada ayat di atas — iaitu ayat 90 Surah al-Ma’idah. Mereka menyebutkan bahawa tidaklah menjejaskan dengan meletakkan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah setara dengan arak, dalam keadaan benda-benda itu dihukumkan sebagai suci. Hal ini kerana ketiga-tiga benda itu sudah terkeluar daripada dihukumkan sebagai najis berdasarkan ijma‘. Maka yang berbaki atau tinggal lagi hanyalah arak sebagaimana yang telah disebutkan — iaitu dihukumkan sebagai najis. Kemudian, tidak ada dalil yang jelas dalam ayat tersebut yang menunjukkan kepada perkara tersebut. Ini kerana al-Rijs (الرِّجْسُ) di sisi ahli bahasa bermaksud kotoran dan tidak memestikan perkara itu menjadikannya dihukumkan sebagai najis. Begitu juga perintah untuk menjauhinya tidak memestikan ia dikira sebagai najis.
Adapun perkataan pengarang (iaitu al-Syirazi), “Ia haram untuk diminum tanpa sebarang darurat, maka ia adalah najis seperti darah.” Menurut Imam al-Nawawi, kenyataan ini tidak ada sebarang dalil yang menunjukkan kepada perkara tersebut berdasarkan kepada dua alasan. Pertamanya, ia terbatal dengan air mani, hingus dan selainnya. Keduanya, ‘illah yang melarang/mengharamkan pengambilan (meminum) arak dan darah adalah berbeza. Darah dilarang daripada diminum kerana ia dianggap sebagai istikhbath (benda-benda yang kotor dan jijik). Manakala arak pula dilarang daripada diminum kerana ia membawa kepada timbulnya permusuhan dan kebencian serta berpaling daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat sebagaimana dinyatakan secara jelas dalam ayat al-Quran. Pendapat yang aqrab (dekat dengan kebenaran) adalah sebagaimana pendapat yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali bahawa arak dihukumkan sebagai najis bagi tujuan menampakkannya sebagai berat (taghlizan) dan menjauhkannya daripada manusia sebagaimana diqiyaskan ke atas anjing dan apa yang dijilatnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/563-564).
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa arak dianggap sebagai najis hukmi seperti yang dinyatakan dalam al-Quran. Oleh itu, penggunaan bekas atau botol arak untuk menyimpan makanan dan sebagainya adalah tidak dibolehkan kecuali setelah proses pembersihan dilakukan dan dipastikan tiada lagi kesan-kesan arak yang ada.
Hal ini sebagaimana yang diriwayat oleh Abu Tha‘labah, katanya:
إِنَّا نُجَاوِرُ أَهْلَ الْكِتَابِ، وَهُمْ يَطْبُخُونَ فِي قُدُورِهِمْ الْخِنْزِيرَ، وَيَشْرَبُونَ فِي آنِيَتِهِمْ الْخَمْرَ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا، فَكُلُوا فِيهَا وَاشْرَبُوا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا غَيْرَهَا فَارْحَضُوهَا بِالْمَاءِ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا
Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah berjiran dengan Ahli Kitab. Mereka memasak daging babi dalam periuk-periuk mereka dan meminum arak menggunakan bekas-bekas minuman mereka. (Justeru, bolehkah kami menggunakan bekas-bekas itu)? Rasulullah SAW bersabda: ‘Jika engkau dapat menggunakan (perkakas-perkakas) yang lain, maka makan dan minumlah menggunakannya. Jika engkau tidak dapat selainnya, maka cucilah ia dengan air, kemudian makan dan minumlah (dengan menggunakannya).’”
Riwayat Abu Daud (3839)
Al-Khattabi menyebutkan, hukum asal dalam perkara ini adalah jika diketahui bahawa orang bukan Islam itu memasak daging babi dalam periuk-periuk mereka dan meminum arak menggunakan gelas-gelas mereka, maka tidak boleh menggunakan perkakas-perkakas itu melainkan setelah dibasuh dan dibersihkan terlebih dahulu. ( Lihat Ma‘alim al-Sunan, 4/257.)
Telah dinyatakan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah bahawa: Asal dalam menyucikan bekas-bekas arak adalah dengan membasuhnya. Ini adalah pendapat mazhab Hanafi, Maliki dalam pendapat yang sahih di sisi mereka. Begitu juga pandangan mazhab Syafi’i, dan Syeikh Abu al-Faraj al-Maqdisi al-Hanbali.
Dalam hal ini, mazhab Hanafi mengatakan: Bekas tersebut suci dengan membasuhnya tiga kali sehingga tiada lagi bau arak atau kesannya yang tertinggal. Jika masih terdapat bau arak, tidak dibenarkan meletakkan cecair lain di dalamnya kecuali cuka; kerana dengan meletakkan cuka di dalamnya, bekas itu menjadi suci walaupun tidak dibasuh, kerana arak yang ada di dalamnya akan berubah menjadi cuka. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/112)
Justeru, penggunaan bekas arak tanpa pembersihan yang sempurna boleh menyebabkan makanan atau minuman tersebut menjadi tidak suci untuk dimakan atau diminum oleh umat Islam lebih-lebih lagi bercampur dengan sesuatu yang haram. Oleh yang demikian, hendaklah memastikan bekas tersebut dibersihkan dan tidak meninggalkan kesan-kesan arak sebelum ia digunakan kembali bagi tujuan-tujuan yang lain.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”
Wallahua’lam